Jam 10 pagi, Jumaat 16 November
2012, kami menaiki pesawat Pakistan International Airlines. Sejurus peasawat
bersedia menjalankan penerbangan, kamipun berada di atas udara Malaysia
setinggi 30 ribu kaki dari aras laut dan pesawat bergerak lebih 800km sejam
menuju ke arah barat laut.
Di atas pesawat kami mengisi masa
luang di dalam kabin dengan berbual dan membaca. Antara cerita yang dikisahkan ketua
jemaah kami (Amir Sab), Haji Ahmad bin Samah adalah mengenai pengalamannya
ketika belajar di US dahulu. Diakui bahawa beliau seorang yang mempunyai
pengalaman yang banyak ke luar negara, berkali-kali ke India, Pakistan dan Bangladesh. Pernah
sampai ke Indonesia, Jepun dan Korea. Menurut beliau, beliau mula melibatkan
diri dalam usaha dakwah semenjak pengajiannya di Amerika.
Ramai maklum Amerika sebuah negara
yang berbilang agama dan fahaman, selain Islam Sunni ada juga Islam Syiah. Dan entah
bagaimana suatu hari Pak Ketua kami itu bersembahyang di masjid mereka (orang
Syiah). Segalanya baik sehingga beliau habis sembahyang. Cuma yang anehnya bila
beliau keluar sahaja dari masjid, orang-orang Syiah pantas sahaja membasuh
tempat sembahyang Pak Ketua kami. Pak Ketua gelak dengan gayanya yang riang
bila menceritakan pengalamannya kepada kami.
Penerbangan yang agak bosan lebih
enam jam berakhir bila pesawat mendarat di lapangan terbang Karachi. Kami transit
sebentar di Karachi. Sela masa tiga jam di lapangan terbang kami gunakan
sebaiknya untuk makan, menyegarkan diri dan sembahyang. Walaupun dalam masa
yang singkat, kami sempat sembahyang Asar dan Maghrib kerana pada musim dingin,
masa antara Asar dan Maghrib sangat pendek.
Kami sembahyang Asar berhampiran
dengan tempat memungut bagasi, ruang sembahyang itu bukan sahaja dekat bahkan
dalam kawasan memungut bagasi. Ruang sembahyang cumalah sebuah sudut di tempat
memungut bagasi yang dipisahkan dengan beberapa keping penghadang. Kami bersembahyang.
Selepas sembahyang baru kami perasan di rak ‘surau ringkas’ itu terdapat
beberapa benda yang menarik.
Surau di sudut airport |
Sebelum ini saya hanya berjumpa
kopiah plastik di masjid dan surau di Pulau Pinang. Tapi di ‘surau’ ini bukan
sahaja kopiah plastik, kopiah yang dianyam dengan daun apa pun saya tidak tahu
tetapi seperti tikar mengkuang dibentuk menjadi kopiah. Selain itu kami juga
terjumpa berbelas biji batu-batu bulat yang berukir. Kami hairan dan ingin
tahu.
“Itu batu Syiah sembahyang.” Kata seorang
ahli jemaah tiba-tiba.
Batu |
‘Pertama kali saya melihat batu
solat Syiah, kalau sebelum ini saya mendengar sahaja, hari ini saya melihat
sendiri.’ Saya berkata dalam hati. Mungkin begitu juga detik hati kawan-kawanku
yang lain. Mungkinkah orang-orang Sunni berkongsi tempat sembahyang dengan
orang-orang Syiah? Tidak pula mereka mahu basuh seperti cerita Pak Ketua kami
dalam pesawat tadi?
Kami pergi mencari kaunter untuk
chek-in, untuk penerbangan seterusnya, Karachi - Lahore. Ketika berjalan
mencari dalam hati saya merasa simpati, kasihannya mereka, walaupun negara
Islam, malah 97% adalah Islam, mereka tidak mampu menyediakan tempat sembahyang
yang sempurna. Tidak berapa jauh pun kaunter check-in, di tingkat dua. Ketika berjalan
ke situ kami melihat papan tanda ‘Prayer Room’. Sebuah tempat sembahyang atau
surau yang gah dan indah. Ramai yang singgah ke situ, tidak seperti ruang
sembahyang tadi yang lengang. Kalau benarlah telahan saya, ‘Mungkin surau tadi
adalah surau orang-orang Syiah.’ Saya berkongsi pendapat saya dengan Pak Ketua.
Pak Ketua diam sahaja.
Ketika kami sudah mahu masuk ke
pesawat Pak Ketua berkata.
“Bagaimana mereka (orang-orang
syiah) mahu basuh tempat kita sembahyang petang tadi?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan