Halaman

12 Mac 2013

KEMATIAN DI KAMPUNG


Hari Sabtu yang lepas, ummi saya telah menyusun rancangan melawat semua adik-adik saya yang sangat saya rindui. Adik bongsu saya di Mahad Tahfiz Padang Menora, adik kedua bongsu di Tahfiz Kampung Pelet dan kakak mereka, adik di bawah saya sedang belajar dalam semester 2 matrikulasi di Kolej Mara Kulim. Mengikut rancangan awal, seharian akan saya bersama ibu dan ayah saya di Bukit Mertajam dan Kulim.

Benarlah manusia hanya boleh merancang dan Allah yang menentukan. Pagi itu kami mendapat berita kematian ibu saudara saya (sepupu kepada ibu saya). Biar saya panggilnya dengan gelaran Wa sahaja. Kami sekeluarga menyambut berita sedih tersebut dengan ucapan Innalillah. Jenazah bakal disimpan jam sebelas pagi ini, sekarang sudah pukul sembilan, kami masih berada di Sungai Petani. Perjalanan ke Jitra dari Sungai Petani mengambil masa lebih sejam. Adik-adik sedang keterujaan menunggu kami menziarah tanpa mengetahui berita kematian ini.

“Kita berziarah orang yang ditinggal pun sudah cukup.” Ummi memberi kata putus.
Tanpa berlengah saya terus memecut ke Bukit Mertajam dan Kulim untuk memungut seorang demi seorang adik-adik saya. Ketika sampai di Kulim sudah jam sepuluh setengah. Kami terus menghala ke arah Jitra. Sampai di Jitra kami disambut oleh sanak-saudara yang masing-masing dalam kejutan dan kesedihan. Ketika itu sudah pukul 1 tengah hari.

KEMATIAN WA

Beberapa bulan lepas kami telah menziarahi Wa di katil sakitnya. Badannya sangat lemah. Tidak mampu bercakap jelas. Dia tidak mampu berbaring. Dia sentiasa duduk. Namun anehnya ketika dia duduk, kepalanya jatuh ke hadapan seperti ada orang menolak-nolak kepalanya.

Hari ini baru terjawab bila orang kampung saya menceritakan, sehari sebelum Wa meninggal, orang kampung saya telah menjemput seorang tabib untuk merawat beberapa warga desa saya. Kehadiran tabib ke kampung berikutan seorang sepupu saya melihat seorang budak kecil dalam keadaan telanjang bulat berlari ke arah tempat Wa berbaring.

Tabib mendapati beberapa ekor jin pada badan Wa. Tabib tersebut seterusnya menjalankan proses berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran. Tidak lama setelah proses berubat dijalankan, akhirnya Wa kembali ke pangkuan Allah dalam keadaan tenang. Al-fatihah.

Belum habis di situ, seorang atuk saudara saya juga mendapat rawatan dan setelah itu dia merasakan yang badannya tidak sesegar dahulu. Seperti kehilangan sesuatu. Menurut cerita ummi, atuk saudara saya lama dahulu pernah terkeluar lidahnya, panjangnya sehingga ke dada. Wallahua’lam.

Semua orang yang saya kisahkan adalah orang-orang yang baik. Begitupun jin masih tertarik dengan mereka. Saya bermuhasabah, bagaimana pula dengan saya yang selalu sahaja lalai dari mengingati Allah.

Pesan ummi ayat-ayat perlindungan seperti Masturat dan Manzil sangat penting diamalkan setiap hari. Zikir juga sangat mustahak lebih-lebih lagi ketika badan kita dalam keadaan lemah, kerana syaitan dan jin sangat menyukai badan manusia yang lemah. Amalan-amalan yang melekakan yang disukai syaitan dan jin juga seharusnya dikawal andai tidak mampu meninggalkannya secara total. Seperti bermain permainan komputer, berfacebook, leka membaca komik, ralit menonton movie, drama, anime, mendengar lagu-lagu lagha, bergaul bebas lelaki dan perempuan. Bukan saya berniat mengatakan tuan-tuan melakukan aktivit-aktiviti lalai, tetapi saya ingin mengingatkan diri saya yang banyak terlibat dengan kelalaian itu.

Perlu diingatkan bahawa natijah dari amalan-amalan lalai bukan sahaja dalam bentuk dirasuk tetapi juga keterlanjuran-keterlanjuran yang banyak dipapar akhbar-akhbar lewat ini. Terlanjur bergaduh, terlanjur berbunuh, terlanjur berzina, terlanjur beranak... wallahua’lam.

BERJALAN JAUH

Hari itu kami berjalan jauh. Ke Selatan (Bukit Mertajam dan Kulim) kemudian patah balik ke Utara (Jitra). Kira-kira dua ratus kilometer. Perjalanan pergi balik seolah-olah memandu ke Kuala Lumpur. Kami sampai rumah pada jam 10.30 malam. Sesampainya sahaja terus saya tidur keletihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan