SESAMPAINYA DI MALAYSIA
(27/2/2013: 5 Hari Sebelum Pendaftaran)
Setelah tiba di Masjid Sri Petaling,
apa yang timbul dalam fikiran saya pertamanya adalah mahu mencetak pelbagai
dokumen yang berkaitan untuk melicinkan pemeriksaan kesihatan dan dokumen yang
diperlukan untuk pendaftaran nanti. Tetapi letih menarik-narik tubuh saya dan
kaki saya seperti di pasak, kepala terasa berat, semuanya akibat letih duduk
dalam pesawat Tiger Air dan kemudian menjelajah Lapangan Terbang Changi selama
tiga jam dengan perut yang kosong
(kerana makanan yang sangat mahal) pagi tadi. Selepas Zohor saya dan
rakan-rakan yang lain terus tertidur tanpa sedar apa-apa sehinggalah menjelang
waktu Asar.
Selepas Asar setelah mencetak segala
dokumen yang perlu, saya menghubungi kakak saya Doktor Anita (Kak Lina) di
Hospital Serdang dan memintanya membantu saya dan rakan-rakan membuat ujian kesihatan.
UJIAN KESIHATAN
DI HOSPITAL SERDANG & LAPORAN KERJA
(28/2/2013: 4 Hari Sebelum Pendaftaran)
Alhamdulillah, hari ini selesai
dengan ujian kesihatan. Dengan bantuan Kak Lina, ujian kesihatan yang biasanya
sehari suntuk dapat diselesaikan dalam dua jam sahaja. Memandangkan ujian kesihatan telah selesai,
saya dengan lapang hati menerima jemputan kakak untuk bermalam di rumahnya esok
dengan membatalkan niat untuk balik selepas Jumaat esok.
Petang ini kami membentangkan
karkuzari (laporan kerja) sepanjang kami tiga bulan lebih di benua India. Orang
yang dipertanggungjawab mengambil laporan dari kami adalah muqimin (penduduk)
Sri Petaling, Hj. Othman Sipol.
BAYAN TANGGUH
DI MJ. JAME’ SRI PETALING
(1/3/2013: 3 Hari Sebelum Pendaftaran)
Habis sahaja ‘penutup program’
(bayan tangguh) pada jam 12.30, saya, Hussin, dan Zulhelmi menghantar Doktor
Azrul ke TBS dan terus memecut ke Kajang. Kakak mahu saya berjumpa dengan anak-anak
saudara saya. Katanya mereka terkilan bila balik cuti bulan lalu dan mendapati saya
tiada di rumah. Tambahan pula saya mahu melihat anak saudara saya yang baru
lahir, yang belum saya sempat jumpa kerana saya ketika itu telah mula ‘berjalan’.
BALIK RUMAH
(2/3/2013:2 Hari Sebelum Pendaftaran)
Pagi ini anak-anak semua ke Hari
Keluarga Sekolah Sri Ayesha. yang kecil-kecil dihantar ke rumah pengasuh. Abang
Fadli dan Kak Lina membawa sekali baby ke Kursus Haji di Masjid Kajang.
Saya dan Hussein ditinggal bersendirian di rumah, terima kasih kepada Kak Lina
kerana meninggalkan juga kunci kereta dan kad diskaun Kedai Buku Syabab.
Saya dan Hussin sembahyang Zohor di
Surau An-Nur, Taman Kantan Permai (berhampiran rumah Zulhelmi). Zulhelmi berjanji
tadi mahu makan tengah hari bersama setelah Zohor. Seusai Zohor kami memecut ke
Terminal Bas Kajang. Sekeping tiket AB Ekspres berharga RM40, Kajang - Sungai
Petani, pesan kakak kaunter, “Tunggu di platform 5 pada pukul 10 malam nanti”.
Kami makan tengah hari di restoran nasi kandar berdekatan.
Sebelum pulang ke rumah kami singgah
dulu di bangunan PKNS untuk ke Kedai Buku Syabab. Terlupa sudah banyak barang
di rumah, beli lagi empat buah buku...
10 malam bertolak ke Sungai Petani. Terujanya
saya mahu pulang...
3/3/2013: 1 Hari Sebelum Pendaftaran
Rehat di rumah. Hanya sempat
membayar yuran.
4/3/2013: Hari Pendaftaran
Alhamdulillah, dengan bantuan Allah, segala urusan yang perlu dapat diselesaikan pada masanya. Kembali ke UiTM. Bermula kembali era
perah otak belajar...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan