Halaman

31 Mac 2012

Hakikat Kelkatu


Malam tadi hujan turun, walau tidak lebat, tetap basah juga jalan berturap di hadapan rumah. Ketika mahu mengerjakan solat Subuh di surau, kelihatan banyak benar kelkatu merayap di atas tanah menuju ke arah cahaya lampu kalimantang yang benderang di surau. Terlintas dalam fikiran yang kelkatu-kelkatu itu baru sahaja keluar dari sarangnya. Saya membantu jemaah surau menutup lampu di dalam surau dan membiarkan ratusan kelkatu bermain cahaya di luar surau sahaja.
            Melihat kelkatu yang tidak cekap terbang, mudah jatuh dan memiliki sayap yang senang bercerai dari abdomennya membuatkan saya merasakan tidak ada apa-apa ancaman yang di bawa oleh makhluk Allah ini, tidak sehingga saya mengetahui hakikat sebenar. Apa itu kelkatu? Dari mana datangnya? Apa tujuannya terbang beramai-ramai terutama selepas hujan?
            Hakikatnya kelkatu adalah permulaan kepada koloni anai-anai. Kelkatu merupakan salah satu kasta anai-anai yang dikenali sebagai alate. Kasta ini bertanggungjawab dalam pembiakan anai-anai. Kelkatu betina bakal menjadi ratu begitu juga dengan kelkatu jantan bakal menjadi raja.

            “ hakikatnya kelkatu adalah alate anai-anai”

            Ketika proses mencari pasangan dan kemudian mencari lokasi yang sesuai untuk membiak, kelkatu akan menanggalkan sayapnya. Justeru sejurus selepas kelkatu terbang mengerumuni lampu (atau sumber cahaya lain), banyak sayap kelkatu yang tinggal di lantai.
            Harus di awasi, apabila banyak kelkatu yang keluar, itu tandanya beberapa koloni baru anai-anai akan muncul dan bakal menjadi ancaman kepada harta benda untuk jangka masa beberapa tahun akan datang.

LAGI TENTANG ANAI-ANAI      

            Anai-anai adalah makhluk Allah yang hidup dalam koloni. Dalam sesebuah koloni anai-anai terdiri dari permaisuri, raja, askar dan pekerja. Makanan utama anai-anai kebanyakannya terdiri dari benda-benda mati dari tumbuhan seperti kayu, dedaun, tanah dan najis haiwan.
Untuk tujuan pembiakan, permaisuri dan raja memainkan peranan yang amat penting. Permaisuri tugasnya adalah untuk bertelur dan jangka hayatnya lebih kurang 45 tahun. Permaisuri mampu bertelur sehingga 2,000 butir telur sehari. Badan seekor permaisuri anai-anai mampu untuk membesar berkali ganda dari saiz badannya yang asal. Hal ini juga adalah antara sebab permaisuri tidak mampu makan sendiri tetapi diberi makan oleh pekerja. Raja mengelilingi permaisuri untuk mengawan. Apabila saiz koloni dan jumlah makanan di dalam sesuatu koloni tidak seimbang. Alate (kelkatu) akan keluar dari koloni untuk menubuhkan koloni yang baharu. Alate boleh bepergian sehingga 100 meter.

“ permaisuri mampu bertelur sehingga 2,000 butir telur sehari,
hidup selama 45 tahun...

Askar mengesan dan mengawal sumber makanan selain daripada melindungi koloni dari serangan musuh terutamanya semut. Stuktur biologi askar memungkinkan tugasnya. Askar anai-anai memiliki rahang yang besar sehingga tidak mampu makan sendiri, juga disuap oleh pekerja. Sesetengah spesies anai-anai, askarnya ada yang memiliki cecair berbisa sebagai langkah melindungi koloni.  
Pekerja pula merupakan majoriti penghuni koloni dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk ‘menyuap’ anggota koloni yang lain. Antara pekerjaan lain yang dilakukan adalah mencari makanan, menyimpan makanan, mengeram telur, menyelenggara busut, dan sebahagian kerja-kerja melindungi koloni.
Menariknya bagi anai-anai yang berkasta askar dan pekerja, mereka adalah buta kecuali pekerja yang tidak sempurna menjadi alate. Pekerja ini selain melakukan pekerjaan-pekerjaan umum juga boleh menggantikan anai-anai reproduksi (bertelur dan mengawan). Anai-anai yang memiliki penglihatan yang sempurna adalah alate. Anai-anai pekerja dan anai-anai askar adalah mandul.

“ askar dan pekerja anai-anai buta dan mandul...


SPESIES ANAI-ANAI

            Walaupun terdapat kurang lebih 180 spesies anai-anai di Malaysia daripada keseluruhan 4,000 spesies, hanya beberapa spesies yang menyebabkan kerosakan harta benda. Menurut satu sumber, 80-90% kerosakan harta benda di Malaysia dan di Singapura diakibatkan oleh anai-anai spesies Coptotermes gestroi. Coptotermes curvignathus memakan pokok hidup. Coptotermes gestroi dan Coptotermes curvignathus adalah Subterranean termite iaitu anai-anai yang hidup di bawah tanah. Cryptotermes pula adalah anai-anai yang memakan daun-daun kering. Disamping anai-anai ini terdapat ratusan lagi spesies anai-anai yang tak mungkin dapat disenaraikan dalam blog yang sederhana ini.



            “ 80 – 90 % kerosakan oleh Coptotermes gestroi 

Coptotermes Gestroi: 80 - 90% kerosakan di negara ini oleh anai-anai berpunca dari spesies ini. yang berwarna putih seluruh badan adalah pekerja manakala yang berwanrna gelap kepalanya adalah askar. (sumber: termiteweb.com)
Captotermes Curvignathus: anai-anai pemakan pokok. Lebih kurang sahaja bentuknya dengan yang atas. (sumber: termiteweb.com)   
Alate dan dialate Coptotermes Gestroi


              Bila melihat gambar kelkatu kat atas lega rasanya kerana tidak sama seperti kelkatu yang di surau tadi - merah dan besar seperti tebuan tanah. Risau kalau-kalau roboh surau digerit anai-anai. Apa-apa pun semua ini menggambarkan akan kehebatan dan keagungan pencipta kita dan pencipta anai-anai – Allah. Subhanallah.

5 ulasan: