Setelah lawatan ke Celcom Center (usai lebih kurang pukul 1 tengah hari), kami (26 pelajar bersama seorang pensyarah pengiring) meneruskan perjalanan ke Tanah Tinggi Cameron. Perjalanan yang lebih kepada rehlah itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan pensyarah subjek Perhubungan Mudah Alih selain untuk berehat setelah penat menekuni pelajaran.
Untuk menuju ke daerah di mana Jim Thompson hilang ini, kami perlu melalui bandar Simpang Pulai dan menyelusuri jalan sejauh 70km selama kurang lebih sejam. Walaupun memakan masa yang agak lama, namun perjalanan tidak terasa jauh dek kerana teruja ditambah dengan panorama semulajadi di sepanjang perjalanan. Sangat mempersonakan menyusuri hutan yang masih dara, tidak diceroboh orang.
Pemandangan hijau yang tak menjemukan |
Lagi pemandangan yang hijau |
Mungkin sudah di kemuncak. Melihat ini pun sudah terasa dingin. Sekurang-kurangnya dingin pandangan. |
Berada lebih 1200 meter dari aras laut, membuatkan iklim di Tanah Tinggi Cameron sangat berbeza dengan iklim di tanah rendah. Suhu di sini pada siang harinya sekitar 25 darjah Celcius dan pada malam hari suhu boleh jatuh sehingga 12 darjah Celcius. Suhu yang rendah di tanah tinggi ini membuatkannya sesuai untuk pelbagai tanaman beriklim sejuk antaranya buah strawberi, pohon teh dan bunga teluki.
Oleh sebab kawasan ini menjadi tumpuan ramai orang untuk melancong, kegiatan penduduk di sini lebih tertumpu kepada perkhidmatan pelancongan seperti perkhidmatan rumah tumpangan dan restoran. Selain itu juga aktiviti pertanian giat dijalankan. Walaubagaimanapun, aktiviti pertanian yang dijalankan banyak juga untuk menyokong industri pelancongan di sini – menjual buah-buahan dan sayuran eksotik kepada pelancong.
Sekeping gambar yang menceritakan hampir segalanya tentang Tanah Tinggi Cameron. Hotel Equatorial dan kebun-kebun sayur di lembahan gunung. Berlatarkan rumah tumpangan dan banjaran gunung. |
Kebun Tomato kepunyaan orang Melayu |
Tanaman Strawberi secara hydroponic di sebelah rumah penginapan kami. |
Tanaman Strawberi di Strawberi Farm |
Kebun sayur |
Semakin hampir dengan Tanah Tinggi Cameron, pemandangannya agak mengejutkan. Berbeza sekali dengan apa yang kami lihat dalam perjalanan. Menjelekkan sekali melihat sampah sarap di dalam sungai yang tersekat-sekat alirannya. Guni plastik yang banyak terdapat dalam sungai seperti datang dari aktiviti pertanian – teringat guni baja padi. Agak kesal menjadi manusia.
Sejurus tiba di Tanah Tinggi Cameron pada jam 4 petang, kami terpaksa terus menuju ke hospital kerana salah seorang dari ahli rombongan tiba-tiba jatuh sakit. Kami terpaksa berada di sana selama hampir dua jam sementara doktor merawat rakan kami tersebut.
Setelah makan malam di Tanah Rata, kami menuju ke bilik tumpangan kami. Dua bilik dengan dua katil bersaiz queen ditambah beberapa buah tilam lagi membuatkannya agak selesa didiami untuk 13 orang pelajar lelaki dan 13 orang pelajar perempuan di bilik bersebelahan. Bilik kami betul-betul berhadapan dengan ladang strawberi sehingga kadang-kadang kami dapat menghidu harum strawberi apabila berjalan di sebelah ladang tersebut.
28 JANUARI 2012
Suhu di waktu pagi sangat dingin sehinggakan nampak seolah-olah asap keluar dari mulut apabila bernafas. Fenomena ini sebenarnya terjadi apabila wap yang hangat dari dalam paru-paru terlepas ke permukaan yang sangat sejuk. Salah seorang dari rombongan kami berteriak keterujaan apabila berjaya mengeluarkan ‘asap’ dari mulutnya.
Setelah bersarapan, kami tidak melepaskan peluang merasa dingin air tanah tinggi. Sangat dingin seolah-olahnya mengalir dari peti sejuk. 45 km dari tempat kami menginap adalah Hutan Lipur Air Terjun Parit.
Kami makan tengah hari di Tanah Rata dan menyambut ketibaan ‘orang besar’ yang tertinggal di Pulau Pinang. Setelah itu kami dibawa melawat ke ladang teh Bharat. Ladang teh yang jumlah keseluruhan kawasannya seluas 1,600 ekar diasaskan pada tahun 1933. Bharat Plantation merupakan penanaman teh yang kedua terbesar di Malaysia setelah BOH Plantation. BOH Plantation diasaskan oleh usahawan British J.A. Russel sedangkan Bharat Plantation pula diasaskan oleh pedagang dari Agra iaitu sebuah bandar di Uttar Pradesh, India.
Ladang Teh Bharat |
Lagi ladang teh Bharat |
Pedagang tersebut adalah Shuparshad Bansal Agarwal yang pada mulanya datang berhijrah ke Taiping, Perak untuk membantu perniagaan bapa saudaranya. Ladang Teh Bharat kemudian diambil alih oleh anak Shuparshad iaitu Dato Brijkishore Agarwal (1929-2006). Dengan menggunakan tanda dagangan ‘Cameron Valley’, Bharat Plantation kini menghasilkan teh bermutu tinggi dari teh jenis Camellia sinensis.
Setelah itu kami melawat ladang tanaman strwberi. Di sini pengunjung bukan sahaja boleh mendekati tanaman sayuran dan buah strawberi yang ditanam secara hydroponics bahkan pengunjung juga boleh memetik sendiri buah-buah strawberi yang ranum. Sayangnya harga untuk buah-buah strawberi petik sendiri ini terlalu mahal, setengah kilo berharga RM25. Lebih baik beli yang sudah siap dipetik. Di hujung ladang ada sebuah kedai cenderamata dan restoran yang rasanya lebih tepat dipanggil ‘bakery’. Di sini dijual produk-produk roti bersama buah strawberi atau strawberi sahaja seperti strawberi dengan cream dan yogurt dengan strawberi. Yang menarik adalah strawberi yang digunakan pastinya yang segar dari ladang. Malangnya agak was-was mahu makan di sini kerana tiada kelihatan sijil halal oleh JAKIM. Solusinya beli sahaja sebungkus strawberi dan nanti balik boleh minta ibu buatkan apa-apa resepi di rumah.
Pada malamnya pula kami mengadakan BBQ. Antara ‘yang dibakar’ adalah daging kambing, ayam, sosej, jagung manis yang ditanam di Cameron dan juga ubi. Oh ya, jagung di sini boleh di makan mentah dan kebanyakan pekedai menawarkan kepada pelanggan untuk merasa dahulu kemanisan jagung yang dijual mereka.
29 JANUARI 2012
Pelajar-pelajar lelaki masih lagi berbungkus di dalam comforter tebal. Hujan malam semalam membuatkan pagi ini lebih dingin dari pagi semalam. Puan Norhayati sudah menanti di ‘dapur’ menunggu air masak untuk dibuat sarapan.
Setelah bersarapan kami bersiap untuk meninggalkan chalet. Bas tiba kurang lebih jam 10 pagi. Kami bertolak ke tempat membeli-belah. Kawasan membeli-belah ini seperti pasar pagi dan kedai-kedai kecil dibina disepanjang jalan utama. Banyak sayur-sayuran yang segar yang baru dipetik boleh didapati selain daripada buah-buahan dan jagung. Selain itu juga pengunjung boleh membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Coklat dan teh juga dijual dengan harga yang murah.
Jam 12 tengah hari kami pun meninggalkan Tanah Tinggi Cameron. Ketika melalui Ipoh kelihatan bukit-bukit batu kapur yang gondol. Seolah-olah seperti diratah dan dilahap oleh rasaksa. Bukit-bukit itu tidak kelihatan seperti bukit lagi melainkan seperti longgokan ketulan-ketulan batu yang besar. Dari kejauhan masih ternampak Tanah Tinggi Cameron sayup-sayup. Dalam bas tidak senang duduk kerana teringatkan sungai yang tercemar dan misteri kehilangan Jim Thompson.
Dalam selimut baldu hijaumu,
bukan sahaja tersorokan kepingan tanah
- merah, gambut, ketulan batu
bahkan,
terselit seribu satu misteri,
dan seratus satu sejarah,
Kau sembunyikan ‘orang-orang kami’,
dan yang kami sedari adalah ketika kau
menyorokkan Jim Thompson.
Ketika ku di gigi air dinginmu,
baru ku mengerti,
dalam ragu,
(kerana kau memang perahsia)
sungaimu seperti aliran air matamu,
membawa seribu derita
- plastik, sampah, sarap
Mungkinkah kau ingin menebus
kesakitanmu dengan mengambil
‘orang-orang’ kami?
yang bernilai US Dolar 100,000 itu,
dan RM 100,000,
pada tahun 30-an,
Ketika ku di gigi air kau menggigit
kakiku lagi,
mungkinkah kau menagih simpatiku...
Perjalanan ke Tanah Tinggi Cameron pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan malah akan tetap dirindui oleh para pelajar Perhubungan Mudah Alih semester ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan