Hari
tak selamanya cerah. Begitu kata orang tua-tua. Air yang tenang kadangkala
berkocak. Angin yang sepoi-sepoi kadangkala menjadi ribut. Begitu dalam hidup
ini, keamanan dan ketenangan yang Allah berikan tidaklah berpanjangan.
Kadangkala Allah uji juga dengan cubaan yang boleh menggetarkan hati dan
perasaan. Boleh menggoyahkan tapak pendirian.
“Mungkin
Allah mahu kita melebihkan lagi tangis dan rayu. Air mata dan sendu. Allah suka
mendengar kita menangis dan merayu.” Begitu jawab seorang ustaz yang agak terkenal
ketika ditanya dalam sebuah rancangan radio, tentang anak yang tidak mahu
baik-baik, jadi anak yang soleh.
Kadang-kadang
kita terlalu leka dengan nikmat yang Allah beri sehingga lupa pada pemberinya.
“Allah itu maha cemburu”, kata seorang ustaz dalam sebuah ceramahnya. Allah
cemburu melihat kita lebih memberi perhatian kepada selainnya (makhluk)
melebihi perhatian kita kepada-Nya (Allah).
Mujur
Allah masih menegur kita. Tandanya Allah masih mengasihi kita. Kalau Allah
biarkan kita dalam kelekaan, alangkah ruginya kita. Jadi muhasabahlah selalu.
Betulkan yang salah dan yang silap. Sehingga Allah kembali menyukai kita selaku
hambanya.
Kalaulah
Allah membiarkan kita berterusan dalam timbunan nikmat-Nya, dan Allah melekakan
kita lagi dengan tambahan nikmat yang lain, itu namanya istidraj. Terus leka
dalam nikmat sampai Allah membinasakan kita. Seperti Firaun, seperti Qorun,
seperti Namrud. Nauzubillah.
Kadang-kadang
sebelum kita lebih jauh hanyut dalam nikmat, lebih baik ditahan dahulu nikmat
itu. Sampai kita benar-benar bersedia. Hati dan jiwa. Begitulah seorang pelajar
belum cemerlang dalam pelajaran, keputusan peperiksaan selalunya cuma ‘boleh tahan’
kalau pun tak ‘cukup makan’. Sudah puas berdoa dan merayu. Namun belum lagi
terkabul hasrat. Mungkin Allah masih belum berikan padanya apa yang dihajati,
kerana diri masih penuh dengan mazmumah. Nanti kalau keputusan baik lagi
cemerlang. Jiwa yang lemah akan mudah riak, takbur dan memandang rendah orang
lain – mazmumah pendek kata. Allah mahu kita kikis dahulu mazmumah itu.
Suka
saya berkongsi pendapat seorang Ustazah tentang ibu bapa yang memiliki
anak-anak yang cemerlang, cuma seorang sahaja dari anak-anaknya yang ramai itu
yang kurang cemerlang. Kata si Ustazah, “Mungkin kalau si ibu dan ayah itu,
semua anaknya cemerlang, ibu dan ayah tadi jadi bongkak, ‘Oh akulah yang berjaya mendidik anak-anak aku sehingga semua berjaya,
semua cemerlang.’ Tapi kerana
kurang pada yang seorang ini, si ibu dan ayah
tadi lebih banyak masa bermunajat dan mengadu pada Allah.”
Kadang-kadang
Allah letakkan kita di sesuatu tempat yang kita tidak suka, mungkin ada
kebaikan untuk kita. Mungkin di sana ada orang yang baik untuk kita belajar
darinya. Mungkin di sana Allah akan membersihkan mazmumah di hati. Siapa tahu?
Firman Allah
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu
padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia
buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu),
sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah:216)
Maka bersangka baiklah kita kepada Allah. Dan orang
yang hebat itu akan mencipta peluang dari masalah. Orang yang bodoh pula
mencipta masalah dari peluang yang ada. Allah lebih mengetahui.
Ya Allah,
ampunkan aku ini,
berterusan dalam ghaflah,
hingga kau menggoyangkan dahan-dahan hatiku,
dengan ribut kemurkaanmu.
ampunkan aku ini,
berterusan dalam ghaflah,
hingga kau menggoyangkan dahan-dahan hatiku,
dengan ribut kemurkaanmu.
Berkocak kolam hatiku,
dengan titisan air mata,
merembes ke tepian sejadah,
pengaduanmu.
dengan titisan air mata,
merembes ke tepian sejadah,
pengaduanmu.
Dalam gundah, 15 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan