Halaman

4 Feb 2012

Baucer Buku 1 Malaysia dan Sikap Rakyat Malaysia

Kalau awal bulan ini (Januari 2012) ramai yang heboh suka kerana dapat rezeki bergolek bernilai RM200, di akhir bulan pula kecoh dengan pelajar-pelajar yang melelong baucer mereka dengan harga murah. Berbagai respons dari pelbagai pihak tentang hal ini.




Termasuk yang memberi respons adalah Timbalan Ketua Polis Negara sendiri, Datuk Seri Khalid Abu Bakar. Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, pula mengatakan bahawa perkara ini disiasat mengikut seksyen 403 Kanun Kesiksaan atas kesalahan menggunakan harta dengan curang. Menurut satu sumber, sesiapa yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari lima tahun, selain denda dan sebat.


"... disabit kesalahan boleh dihukum 
                                  penjara tidak lebih 5 tahun,
              denda, dan
              sebat"
Banyak juga pendapat daripada pelajar-pelajar IPT/ STPM sendiri. Dan juga dari mereka-mereka yang prihatin tentag isu ini. Sampai diperbincang dalam pelbagai forum dan sebagainya. Ada yang pro dan ada yang kontra. Alasan dari pelajar-pelajar yang menjual baucer juga pelbagai. Ada yang mengatakan mereka tidak memerlukan baucer RM200 sebaliknya lebih memerlukan wang.



MENTALITI PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA

Sudah terkenal pelajar-pelajar Malaysia dengan sikap malas membaca. Pada fikiran mereka, perkataan ‘membaca’ hanyalah sesuai untuk buku-buku teks. Itupun kerana terpaksa. Sehingga ada yang mengatakan “jangan harap mahu kaya dengan jadi penulis, tapi kalau mahu kaya juga dengan menulis buku jadilah penulis buku teks”.
"sangka mereka ‘buku’ itu hanyalah buku teks"
Di sinilah menjawab kenapa para pelajar menjual baucer kerana semester sudah berakhir atau sudah di tahun akhir atau macam-mcam lagi sebab. Buku apa lagi mahu dibeli kata mereka. Bagi mereka buku hanyalah buku teks. Sedangkan berlambak lagi buku-buku lain selain buku teks yang ada tersusun di atas rak kedai buku.

SELAIN BUKU TEKS

Selain buku teks, buku-buku rujukan juga sebenarnya berguna kepada pelajar untuk meluaskan pemahaman pelajar dalam bidang yang dipelajari. Pelajar sastera, belilah buku-buku sajak, antalogi cerpen dan novel sastera oleh sasterawan-saterawan negara. Pelajar kejuruteraan pula belilah buku-buku yang berkaitan dengan teknologi masing-masing. Apa salahnya setelah menguasai pengaturcaraan C dan C++, kuasai pula pengaturcaraan Java dan sebagainya. Apa salahnya sudah memahami asas kejuruteraan komunikasi, dalami pula teknologi-teknologi komunikasi terkini. Begitu juga dengan bidang-bidang lain. Bukankah ianya akan memberi nilai tambah (value-added) kepada diri pelajar itu sendiri.

beli nilai tambah (added value) menggunakan baucer dengan membeli buku-buku motivasi dan buku-buku berkaitan dengan bidang yang diceburi (selain buku teks)"

Jika muak dengan buku-buku berkaitan pelajaran cari pula buku-buku motivasi dan pembangunan diri. Ada pelbagai buku dalam bidang ini, dari mengurus diri sehingga panduan mengurus organisasi. Dari mengurus masa sehingga kaedah mengurus wang. Pun boleh menambah nilai tambah (value-added) kepada seseorang.

Buku-buku agama. Buku-buku begini sangat baik untuk pelajar-pelajar menjadi pelajar berjaya dunia akirat. Carilah buku-buku tentang kelebihan-kelebihan amal seperti solat, zikir dan puasa. Cari juga buku-buku tentang sunnah-sunnah nabi seperti Syamail Tarmizi. Cari juga buku-buku moitivasi agama agar setiap hari kita menjadi lebih baik dan lebih baik.

Pun tak salah kalau membeli novel dan komik lebih-lebih lagi kalau novel dan komik itu novel dan komik yang boleh memberi input dan motivasi diri. Orang kita sahaja suka mengkategorikan novel dan komik sebagai bahan bacaan picisan. Sedangkan ada sahaja komik dan novel yang mengangkat hal-hal yang serius seperti perbincangan tentang ekonomi, politik dan sebagainya lagi. Ada jugakan komik-komik yang menjadikan profesion profesional sebagai tunjang cerita seperti komik tentang bomba, doktor dan lain-lain.


masa inilah masa yang sesuai untuk cuba-cuba membaca buku-buku selain buku teks " 
 

Kepada mereka yang selama ini hanya biasa membaca buku teks sahaja, inilah peluang untuk cuba membaca buku-buku lain pula. Bukan rugi pun. Orang sudah memberi RM200 pada kita percuma.

MAIN TARIK-TALI KERAJAAN

Kerajaan pula nampaknya macam main tarik tali sahaja dengan ‘budak-budak’ dalam menangani masalah ini. Sekalipun pihak berkuasa mengungut mahu memenjara, menyebat dan menyaman ‘budak-budak’ yang menjual ‘RM200 mereka’, masalah sebenar tak akan selesai. Segala hukuman yang dikenakan akan menjadi ‘hukuman one-off’ samalah seperti baucer RM200 yang juga berbentuk one-off. Lagipun 'budak-budak' itu boleh sahaja jual dengan cara yang lain.

Sudahlah pemberian baucer 1 Malaysia diperkatakan oleh sebahagaian pihak adalah bermotif politik kerana pilihanraya yang sudah hampir, dijadikan susah kerajaan pula mahu menumpukan kepada masalah-masalah yang dicetuskan oleh segelintir pelajar-pelajar yang malas membaca ini. Selain itu daripada polis mensia-siakan anggotanya untuk menyiasat kes RM200 ini, lebih baik polis menumpukan pada kes-kes yang lebih besar yang melibatkan duit negara yang beratus ribu ringgit. Banyak lagi masalah-masalah lain yang lebih besar seperti masalah awang hitam, pendatang asing, masalah sosial remaja. Tolonglah kembalikan semula keamanan negara Malaysia ini.

Sepatutnya jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu mengangkat taraf pelajar-pelajar Malaysia, gunakan wang RM260 juta untuk langkah yang lebih jauh diambil, seperti memperkasakan institusi ilmiah seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, perpustakaan negara dan lain lagi. Kerajaan juga boleh menggalakkan pelajar-pelajar membaca dengan menerapkan program yang sesuai ke dalam institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan yang lain, dan yang paling penting jalankan sepanjang masa bukan ketika hampir pilihanraya sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan