Halaman

27 Apr 2010

‘Malam ini ada mesyuarat Musolla an-Nuur, semua AJK diwajibkan hadir’

Begitulah pengumuman pada siang tadi, begitu jugalah bagaimana aku berada di ruang mesyuarat JPK Mutiara.

“Bismillah…,” saudara Saiful Aswad selaku exco kerohanian mempengerusikan mesyuarat terakhir musolla. Sidangnya diwakili oleh AJK surau. Malam itu cuma dua orang AJK lelaki dan beberapa orang AJK perempuan yang tidak hadir. Rasanya aku hanya banyak menjadi pemerhati dari mengambil bahagian dalam perbincangan…

“Oleh sebab ini adalah mesyuarat yang terakhir sebelum cuti semester dan ada diantara kita yang akan menghabiskan pengajiannya, saya berbesar hati menjemput setiap daripada kita memberi barang sepatah kata.” Aku mengharap agar mesyuarat malam itu sudah hampir ke penghujungnya. Namun aku menyedari, sebelum itu aku perlu mendengar ucapan daripada lebih sepuluh orang AJK surau termasuk aku.

“Bismillahirrahmanirrahim…,” saudara Rizli memulakan ucapannya.

“Sebenarnya pada awal semester exco kerohanian telah pun membuat jadual giliran imam dan bilal, namun tidak ramai yang dapat mengikutinya. Tidakkah hadirin kasihankan saudara kita, dia menaip, dia cetakkan, istemewanya lagi cetakkannya berwarna-warni pula.” saudara Rizli memulakan sungutannya.

“…bila suruh buat tazkirah kata tak reti, kalau tak reti kita dah sediakan banyak buku-buku. Cuma perlu baca sahaja…” saudara Rizli meneruskan sungutannya pada malam itu. Aku resah apabila mengerling ke arah jam. Sudah hampir sebelas malam, mesyuarat masih belum habis lagi.
Giliran untuk memberi ucapan berpusing elok. Akhirnya sampai kepada Saiful kembali. Aku si pemerhati melihat Rizli mengunjukkan buku tulis pada Saiful. Aku tahu di situ ada sesuatu yang Rizli ingin sampaikan lagi. ‘Banyak betul brader ni nak bagi tahu, tak habis-habis’, getus hatiku.

“Orang yang …” Saiful menyampaikan kepada sidang mesyuarat akan pesan dari Rizli.
Malam itu walaupun mesyuarat telah habis, aku berjalan pulang ke bilik dengan perasaan yang resah.

“Hakim, aku rasa Rizli asyik komplenkan aku sahaja ketika di mesyuarat tadi.” Aku meluahkan perasaanku kepada Hakim.

“Kenapa kau kata begitu?,” Hakim kehairanan.

“Aku merasakan pandangannya sentiasa dipanahkan kepadaku.”

“Ahh engkau, dia memandang kau mungkin kerana dia merasakan kau lebih berilmu darinya, mungkin dia ingin kau memperbetulkan apa yang kurang betul.” Hakim cuba mengikis segala syak wasangka dalam hatiku.

Aku terkedu. Mungkinkah demikian? Mungkinkah memang benar aku tidak melaksanakan tugas-tugasku. Aku mengesip biji lada di celah gigiku. ‘Patutlah pedas’ getus hatiku, ada biji lada di celah gigiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan