Halaman

2 Jul 2010

SAFAR 40 HARI

Aku baru pulang dari safar. Safar 40 hari. Bila aku semakin lalai dalam sembahyang.Bila zikirku semakin kurang. Bila hatiku rasa tak tenang lantaran semakin jauh dari tuhan. Aku meletakkan diriku dalam safar selama 40 hari itu.

Bila bas bertolak dari Sri Petaling menuju ke Surau Tengkera Melaka, safarku pun bermula. Di bandaraya bersejarah itu aku (beserta jemaahku) dihantar ke Merlimau.

Pada mulanya aku terbayang yang aku berada di taman perumahan di pinggir pekan. Akhirya aku menyedari yang aku menyusuri persisiran pantai Selat Melaka yang berlumpur.

Berjalan di atas pasir yang hitam yang subur dengan pohon mangga yang rimbun membuatkan aku rasa kagum sendirian. Menerokai lorong-lorong di bawah naungan pohon-pohon palma seperti kelapa dan rumbia membuatkan aku rasa seperti di tempat yang sangat asing. Pohon nipah pula tumbuh subur dalam genangan air paya laut.

Walaupun kami berada dekat dengan pantai, aku hanya dapat merasai anginnya dan cuma dapat mencium bau masin laut. Pohon-pohon nipah menghalang aku dari mendekati laut Selat Melaka. Ikan belacak pula melompat-lompat seolah-olah tidak senang melihatku di habitatnya.

40 hari. Walau di manapun aku berada, aku telah dipagari dengan ketaatan-ketaatan dalam beragama. Aku berharap jika aku tidak dapat masuk ke 'gerabak keretapi' yang membawa sahabat-sahabat, tabi'n, tabi' tabi'in, orang alim dan orang yang soleh, dapat berpaut pada tiang-tiangnya sahaja pun cukup. Kerana pasti ianya menuju ke arah yang sama.

Pesan amir sab (ketua jemaah), jika ayam hutan dikurung tiga hari dalam sangkar, ia akan terbiasa dengan tempat barunya itu. Jika dikurung selama 40 hari, ia pasti tidak akan ke mana-mana lagi, kerana hatinya telah terpaut di situ. Jika diri ini dikurung 40 hari dalam ketaatan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan