Halaman

14 Apr 2010

Peng'HIDUP'an dan Secawan Kopi Susu

Biarlah sawang mendiami laman ini…

Ketika ini aku sedang duduk di sudut terpencil dewan seminar Pusat Islam. Bersama aku adalah Zul dan kami sama-sama bersembang mengenai pengkuliahan-pengkuliahan yang kami lalui. Empat bulan lebih berhempas pulas memanjat anak-anak tangga ilmu di bangunan UiTM, kini suasana peperiksaan akhir perlahan-lahan bersatu dengan kuliah yang masih berbaki dua atau tiga kali lagi. Seperti susu yang perlahan-lahan bersatu dengan kopi hitam di tengah malam ketika aku sedang bersengkang mata mentelaah pelajaran.

“Zul, cuma kelas ini aku rasakan berbeza sekali, lain daripada kelas yang lain…” aku cuba membayangkan diri berada dalam kelas Matematik dan kuliah Asas Elektrik.

“Zul kau tahu, dalam kelas matematik aku merasakan diriku seperti seorang genius sebaliknya ketika aku mengikuti kuliah Asas Litar Elektrik aku merasakan seperti aku ini adalah pelajar yang paling dungu sekali…” pendingin hawa yang melekat pada dinding dewan berdesir dengan kuatnya seolah-olah menyetujui aku.

“Zul…lagi…dalam kelas Bahasa Inggeris aku merasakan seperti seorang bijaksana yang gagap. Dalam kelas Tamadun Islam pula aku rasakan yang aku adalah roh yang berkeliaran terkurung dalam bilik kelas itu. Dalam kelas Sukatan Elektrik lagi dahsyat, aku membayangkan bahawa aku adalah tembok kelas yang terpaksa juga mengikuti segala peristiwa yang berlangsung dalam kelas tersebut.” Zul mahupun aku sama-sama membisu selepas itu. Yang terdengar hanyalah desiran pendingin hawa yang merendahkan suaranya, seperti bunyi orang mengeluh pula.

“Zul, dalam kelas ini sahaja aku menyedari bahawa aku adalah sebuah kehidupan. Bernyawa, boleh bercakap, boleh berfikir, boleh ketawa, boleh melihat, boleh mendengar, boleh dan boleh.”Aku menoktahkan kata-kataku di sisi Zul. Kami seperti telah ditakdirkan, kebetulan mengikuti kursus kokurikulum yang sama setiap semester.

“Memanglah…” tokok Zul setelah lama membisu…

Di luar dewan, suasana peperiksaan semakin menguasai segenap pelusuk universiti. Seperti susu yang semakin bersatu dengan kopi hitam di atas meja belajar.

“Azrul, mahu kopi hitam bersusu menemani ulangkajimu?” Soalku ketika melihat Azrul seperti orang kejang kerana terlalu letih belajar.

“Terima kasih, rasanya tidak perlu, peperiksaan ini lebih hebat dari kopi hitam bersusu… peperiksaan telahpun membunuh kantuk dan kelaparanku.” Malam itu Azrul membuktikan kata-katanya. Lampu biliknya cerah terpasang sehingga pukul empat dinihari.


Kopi 'White Coffee' tidaklah seputih namanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan