Halaman

11 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (2)


Sudah pukul lima petang. Di mana-mana pun pusat undi sudah tutup. Di mana-mana pun orang tidak sabar menunggu kuli-kuli SPR mengira kertas-kertas pangkah. Terima kasih Tim Berners Lee, kerana mencipta WWW pada tahun kelahiran saya. Dengan itu saya yang tidak sabar ini boleh mengetahui perkembangan semasa dengan lebih cepat. Terima kasih juga kepada Mark Zuckerberg, kerana andalah malam ini saya boleh duduk sekali bersama ayah saya menggelintir mencari maklumat terkini tentang jumlah undi pilihan raya. Hal ini kerana televisyen utama itu lambat. Hanya menyiarkan manusia-manusia yang berceloteh tidak habis seperti murai tercabut ekor.

Saya mula duduk menghadap skrin leper itu pada pukul sebelas setelah berjaya memasang modem-router baru kerana yang lama telah disambar petir petang tadi (ingat bahwa petang tadi hujan lebat selebat-lebatnya).

Kurang lebih jam sebelas setengah, PR - BN, 50 - 52 (kerusi Parlimen). Pada jam sebelas empat puluh lima PR - BN, 65 - 47. Pada jam dua belas, PR - BN, 66 - 51. Tapi di saluran berita arus perdana keputusan jauh berbeza. PR sangat sedikit dari BN. Saya bingung. Dan ramai lagi warga negara Malaysia bingung. Laman web SPR pun tidak dikemaskini. Keputusan untuk BN sahaja yang banyak. Bak kata orang putih ‘very fishy’.

Alih-alih, tup-tup, jam dua belas setengah malam counter terhenti. Katanya putus informasi dari HQ. Sampai ke pukul satu pagi lebih kami jadi dungu di hadapan skrin petak leper. Bila countdown jalan balik, kami yang dungu menjadi gila pula bila alih-alih BN sudah menang dengan 112 kerusi parlimen. Aneh sungguh negaraku.

Bapa saya yang kecewa terus masuk tidur. Saya yang tidak puas hati terus menggelintir tanpa maksud. Ketika itu orang ramai yang menukar gambar Facebook kepada hitam dan saya pun mengikut sahaja dengan dungunya. Sampai pukul dua pagi baru saya masuk tidur. Dalam tidur itulah saya dapat idea, apa sebenarnya yang terjadi. Bangun sahaja dari tidur, sebelum masuk jamban saya mengkhabarkan perkara itu kepada ummi saya membuatkan ummi saya terlopong.

“Apakah kenanya budak ini? Mereng atau apa?”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan