Halaman

9 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (1)


Sudah rembang tengah hari. Matahari sangat terik dan saya pun sudah pulang dari surau. Masuk sahaja ke rumah saya terus mengajak ummi ke Sekolah Kebangsaan Berapit. Belum lagi buang undi.

Jawab ummi, “tunggu sebentar, makanlah dulu, ummi mahu sembahyang hajat.”

Ketika kami sampai di sekolah, hujan mula turun rintik-rintik. Sekolah Kebangsaan Berapit tetap riuh walaupun orangnya tidak seramai pagi tadi. Di luar kawasan sekolah para pekerja partai sibuk melambai-lambai bendera pada kenderaan yang lalu-lalang. Wajah mereka ceria, tidak terlihatkan penat walau telah berada di situ sedari pagi. Seperti kanak-kanak yang tidak kenal lelah kerana sibuk mengutip duit raya pada Aidilfitri. Hujan seriat tidak dihiraukan. Setiap partai yang bertanding mempunyai khemahnya masing-masing. Di situ beberapa pekerja partai duduk-duduk melepaskan lelah. dua orang pekerja partai kelihatan melipat sebuah kereta sorong, sebuah khidmat masyarakat dalam masa-masa keraian seperti ini. Kereta yang lalu-lalang pula adakalanya dihias dengan bendera-bendera. Ada yang dibungkus seperti nasi lemak, ada yang dibungkus seperti nangka ada yang membiarkan bendera berkibaran bila angin bertiup bila kereta bergerak nanti. Umumnya waktu itu di mana-mana pun penuh dengan bendera hingga mata saya menjadi juling.

Ummi saluran kedua sedang saya saluran ketiga. Biliknya cuma bersebelahan. Saya melangkah masuk ke bilik darjah yang diubahsuai menjadi tempat membuang undi. Sekali lagi nama disemak, jari telunjuk dicalit dakwat dan kerani menyerahkan kepada saya dua helai kertas. Selesai proses dalam bilik itu dan saya pun keluar. Bersama saya adalah anak taukeh kedai runcit kampung yang dikenali sangat oleh penduduk kerana memiliki kedai yang besar di pinggir kampung saya.

Ketika melangkah ke kereta, hujan semakin deras. Ummi meminta saya membawanya bersiar-siar memantau hiruk-pikuk suasana ‘hari raya’ itu. Saya akur sahaja dan membawanya melepasi sekolah Cina di hadapan Masjid. Lebih ramai orang. Mungkin penduduk lebih ramai di situ. Ketika kami sampai hujan semakin lebat. Dalam hujan yang gila membantai penduduk-penduduk bumi itu juga dapat dirasakan kemeriahan. Dalam garis-garis air yang mencurah itu saya melihat samar-samar Cikgu Mahani, bersamanya sehelai bendera bercorak bulan mengambang. Melihat wajahnya yang tersenyum riang menampakkannya juga seperti bulan purnama, yang tak malap walau dalam hujan yang melebat.

Sebelum kami pulang ke rumah, kami sempat melawat tiga tempat mengundi. Sebuah lagi kalian terpaksa merodok masuk di celah-celah kawasan sekolah dan perkampungan Melayu. Kawasan itu di pinggiran taman perumahan yang besar, maka tentunya ramai bersesak di situ. Sesak di jalan yang sempit. Tidak dapat saya membayangkan suasana pagi tadi.

Melihat gerai-gerai minuman saya sempat berjenaka dengan ummi, “Kalau jual air hari ini sahaja pun sudah dapat menampung pendapatan dua minggu.”

Ulah saya disokong oleh peniaga-peniaga air yang duduk melepak santai di tepi-tepi pagar sekolah. Mereka membiarkan begitu sahaja bekas-bekas air yang kosong.

Bosan duduk-duduk sahaja di rumah, saya membuka laman sesawang dan Bangla-Bangla membanjiri Facebook. Ada yang mengerenyih, ada yang cuak ketakutan, ada yang dipaksa menyanyi lagu Negaraku, ada yang disoal itu soal ini... Saya bingung sebentar. Adakah saya silap negara. Bangla-bangla datang dari entah mana hala bersama-sama mengundi. Ataukah saya ini Bangladesh, duduk di Bangladesh tapi bermimpi sebagai Melayu Malaysia. Sesungguhnya ini negara memang aneh...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan