Halaman

3 Sep 2010

Mereka, Mereka dan Aku

Aku baru pulang dari bertarawikh di Pusat Islam kampus UiTM. Berjalan dalam gelap antara bangunan perpustakaan yang baru dibina dan kolej kediaman siswi. Tarawikh di Pusat Islam hanya lapan rakaat tambah tiga rakaat witir, kerana itu belum pukul sepuluh lagi sudah habis. Bangunan hotel melantunkan suara ceramah antara tarawikh di Masjid Batu. Berselang seli dengan bacaan surah al-Ikhlas oleh imam di Masjid Papan.

Masjid Papan dan Masjid Batu cuma dipisahkan oleh sebatang jalan yang menghubungkan Permatang Pauh dan Sungai Dua dan sentiasa sibuk. Pada zahirnya memang dipisahkan oleh sebatang jalan namun pada hakikatnya dipisahkan oleh aliran ideologi politik. Suara yang tegas lagi lantang bergema lagi dari celah-celah bangunan Hotel UiTM. Aku tahu ceramah agama yang disampaikan oleh siapa sahaja ustaznya itu meresap masuk ke setiap roma ahli jemaah, bersamanya terserap ideologi-ideologi parti dan harakah Islami.

Aku juga pernah sembahyang Jumaat di sana mendengar khutbah dari seorang ustaz. Oleh kerana hadir lambat, aku terpaksa duduk ditepi ruang wuduk yang sudah pasti basah. Orang yang menghadirinya ramai tak terkata. Sebenarnya khutbah Jumaat di masjid ini dua minggu sekali sahaja. Minggu depan akan dibuat di Masjid Papan. Aku tidak tahu adakah keadaan di Masjid Papan sama seperti Masid Batu atau biasa-biasa sahaja. Namun baru-baru ini aku dimaklumkan atau ditakutkan, jika kesana lagi akan ada mata yang mengintip seterusnya tindakan disiplin akan dikenakan oleh UiTM. Aku mendengar dengan separuh minat sahaja. Ahh… Akupun bukannya minat sangat menerima dan menjaja ideologi-ideologi… Tapi ada kebenarannya juga, kerana sangkaku kerajaan perlu melakukan itu demi ‘survival’ hidupnya yang semakin terdesak.
Di tengah-tengah kegelapan dan antara desakan ideologi islami pembangkang dan kekangan ‘survival’ kerajaan, aku terus melangkah ke kereta Kancil hijauku. “Pommm” aku tak pasti sama ada kanak-kanak, remaja, pemuda atau orang dewasa yang bermain mercun. Tetapi seolah-olah dia tidak terkesan langsung dengan ideologi islami pembangkang mahupun desakan ‘survival’ kerajaan... Aku? Aku punya arahku sendiri, ke kereta Kancil hijau di hadapanku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan