Halaman

6 Dis 2009

'Jemputan' ke MPR

4 Disember
Semalam saya dengar bunyi enjin motosikal posmen di pagar rumahku. Malas rasanya saya mahu pergi menjenguk peti surat. Mungkin surat-surat ayah saya, atau bil-bil yang menagih wang dari poket ayah saya.
Usah hiraukan peti yang membuatkan ayah saban hari semakin botak. Kerana itu semalaman surat yang ada di dalam peti dijemur di dingin embun.

Hari ini ketika saya balik dari surau, saya menjengah ke dalam peti. Sepucuk surat bersampul tersisip kemas di dalam peti. Tiada siapa yang usik. Saya membelek surat, mencari alamat pengirim. DBP! Tersentak saya kala terlihat daun lontar diapit daun resam (lambang DBP). Di sampingnya ada tulisan halus,'Dewan Bahasa dan Pusaka'. Pastinya ia bukan surat kepada ayah - ayah juga kadang-kadang menerima surat dari DBP. Saya pasti kerana ianya terang-terangan tertulis nama saya.



Sambil menghenyakkan punggung ke sofa, saya mengoyak sampul surat. '… berdasarkan penilitian kami terhadap karya saudara, sukacitanya dimaklumkan bahawa saudara telah terpilih untuk menyertai program ini (MPR)'. Alhamdulillah!

Menurut surat tersebut, program Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun ini akan diadakan pada 19 hingga 25 Disember 2009 bertempat di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.

Sebenarnya saya tidak pernah bermimpi pun akan mengikuti program-program penulisan, apatah lagi MPR yang berprestij ini. Jujur saya menyatakan bahawa saya sendiri tidak pernah menyangka saya akan melibatkan diri dalam bidang penulisan. Semuanya kerana kakak saya. Terima kasih kepada kakak. Yang sebetulnya dia bukanlah kakak kandung saya, dia kakak tiri. Namun kasihnya kepada kami adik-beradik membatalkan dongeng akan kebengisan dan kejahatan saudara tiri. Dia seorang yang penyayang. Dan keinginannya untuk melihat saya berjaya di arena penulisan insyaallah termakbul.

Pada mulanya dia mencabar saya menulis sebuah sajak. Dari situ terhasillah 'Di Puncak Mazmumah' sebagai karya pertama saya. Walaupun dia ada menambah dan memperbetul sedikit di sana sini, saya tetap bangga kerana dipuji oleh ayah - seorang pensyarah kesusasteraan. Semenjak itu saya mula menyedari potensiku. Namun oleh kerana tiada galakkan, potensi diri dibiar sahaja 'berhabuk'. Setelah tamat pengajian tahfiz, saya belajar di tingkatan empat dan lima dalam aliran sains syariah (Sains tulen dan syariah islamiah). Akhirnya saya berjaya menjejak kaki ke universiti.

Sebelum percubaan peperiksaan SPM, saya sempat mengirim sebuah sajak 'Air Tangan Ibu', juga atas dorongan kakak. Sajak tersebut tersiar dalam majalah bulanan pelajar, Dewan Siswa edisi September 2008.Kemudian kakak secara diam-diam menghantar karya pertama saya 'Di Puncak Mazmumah' dan tersiar dalam majalah yang sama edisi November 2008. Maka tersiarlah dua buah sajak saya dalam majalah. Kakak juga pernah mencadangkan saya mengarang sebuah novel remaja. Tugasan itu dia bincang secara terperinci bersama saya. Namun saya yang kurang yakin ini tidak mampu melaksanakannya.

Akhirnya saya bakal ke MPR, juga atas dorongan kakak tiri saya yang penyayang. Semoga selepas ini saya mampu berdiri sendiri di pentas penulisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan