Halaman

18 Nov 2009

Ziarah

Hari ini aku menjalankan ziarah di tempatku. Ziarah? Apa itu ziarah? Ziarah adalah kunjung. Berziarah adalah berkunjung.Ziarah aku ziarah pusing-pusing kampung. Dari jalan ke jalan, dari rumah ke rumah, dari hati ke hati...

Mula-mula saudara Afiquddin memberi sedikit nasihat mengenai adab dan tertib menjalankan ziarah. "Alhamdulillah, Allah telah pilih kita menjalankan usaha ziarah, usaha yang dijalankan oleh para rasul untuk menyampaikan agama... Empat sifat perlu dibawa oleh da'i ketika berziarah, FIKIR, ZIKIR, SYUKUR dan SABAR. FIKIRkan hidayat seluruh alam. ZIKIR sentiasa mengingat Allah. SYUKUR mendapat taufik. SABAR menghadapi ujian ketika berdakwah.

Seterusnya Pak Cik Najib bertanya jemaah jika sesiapa yang ingin menjadi rahaba (pembawa jemaah, mengetuk pintu memberi salam. Selalunya dari kalangan orang yang arif tentang selok belok tempat yang dituju). Salman angkat tangan.



"Mutakallim", sepatah Pak Cik Najib mengajukan. Semua tunduk termasuk aku. Tiba-tiba tangan ayahku mengusap-usap lututku. Aku tersenyum...

"Hafiz", Pak Cik Najib memutuskan. Mutakallim perlu bercakap kepada sesiapa yang dijumpai sepanjang perjalanan. Cakap apa? Tanya suara misteri. Cakap mengenai kebesaran Allah lah. Tak kan cerita artis seksi Indonesia...

Sebelum melangkah keluar dari gerbang masjid, aku berdoa. Masing-masing menadah tangan mengaminkan doaku. "Ya Allah, ampunilah kami jika berlaku silap dan salah dalam usaha ini, kerana lami masih sedang belajar berdakwah. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami FIKIR, ZIKIR, SYUKUR dan SABAR. Ya ALLAH, tutuplah keaiban kami dan keaiban orang kampung. Nampakkanlah kebaikan sesama kami... Amin".

Kaki-kaki kamipun diatur agar berjalan beriringan berdua-duaan. Berjalan di tepi jalan, disebelah kanan jalan. Adab-adab serta hak-hak jalan perlu dijaga. Jaga mata dari melihat benda-benda haram. Alihkan halangan dari tengah jalan. Beri salam kepada mereka yang berkongsi jalan. paling penting jangan jalan ditengah-tengah jalan, atau anda dilanggar kenderaan.

Kaki-kaki kami dipandu melalui sebuah lorong berdebu. Di dalam debu yang berterbangan itu aku teringat sebuah pesan nabi, mafhumnya tubuh yang dilekati debu ketika keluar di jalan Allah haram disentuh api neraka walaupun asapnya. Kaki-kaki kami terus dipandu dengan berhati-hati agar tidak terjatuh dalam lopak atau tersadung batu.


Berat kakiku untuk melangkah. Aku rasa segan berhadapan dengan kebanyakan jiran-jiranku yang berat menadah telinga mendengar tentang agama. Aku teringat peniaga-peniaga pasaran banyak tingkat (MLM) yang tidak segan-segan bercerita tentang produknya. Aku teringat sebuah hadis nabi lagi yang menceritakan bagaimana malunya Allah menghisab orang yang menebalkan muka demi agama. Aku terus menebalkan mukaku. Kaki-kaki kami menapak pula di atas rumput-rumputyang basah. Dan tanahnya lembik seperti tanah bendang. Mengapa kerana dunia manusia tidak segan melakukan apa sahaja, sedangkan aku ini malu kerana agama.

"Assalamualaikum..."

Tasbih bergetar dalam hati. Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahuakbar.

"Assalamualaikum..."

Tasbih bergetar dalam hati. Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahuakbar.

"Assalamualaikum..."

Tasbih bergetar dalam hati. Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahuakbar.



Rumah terus sepi. Sekitar rumah terasa sunyi. Namun di dalam rumah berngiang televisyen yang terbuka juga terdengar desir kipas angin. Kami berlalu dengan sangkaan yang baik. Mungkin tuan rumah sedang sembahyang, atau sedang terbaring keletihan setelah penat bekerja menyara keluarga.

Kami menuju pula ke rumah sebelah. Ada seorang wanita keluar. Dia memanggil suaminya menyambut kami. Tangan-tangan kami saling berjabat. Salam pertemuan oleh rahaba (Salman). Seterusnya aku mengambil alih.

"Alhamdulillah dapat berjumpa Pakcik, sebenarnya pertemuan ini juga adalah ketetapan Allah. Allah telah muliakan saya serta Pakcik dengan iman. Iman itu merupakan keyakinan kita kepada Allah, dialah yang memberi rezeki dan keperluan. Dia juga maha melihat serta maha mengetahui. Natijah iman adalah ibadah yang soheh, akhlak yang mulia dan segala jenis kebaikan lain. Iman sentiasa berkurang kerana dirosakkan syaitan. Justeru kita perlu mengukuhkannya setiap masa..." Aku mengajaknya ke masjid. Dia tolak dengan sopan. Kami cuba memujuknya tetapi gagal. Dia berjanji mahu menemui kami selepas Maghrib.


Kami terus melangkah sehingga hampir Maghrib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan