Pernah sekali saya ke sana adalah ketika saya masih
kecil, masih di dodoi di ribaan ummi. Manalah saya mengerti apa-apa, saya
mungkin cuma menangis bila lapar susu dan ketawa bila senang kekenyangan. Tidak
tahu enaknya nasi kerabu atau berlemaknya nasi dagang. Kali kedua saya pergi
adalah ketika saya masih kanak-kanak, ketika pemikiran saya masih mentah. Melihat
semuanya dengan pandangan yang mudah dan ringkas. Saat saya baru belajar
mengagumi keagungan alam dan mentafsirnya dalam bentuk tersendiri, lain dari
orang dewasa dan gembira menikmatinya, dan menterjemahkannya dengan riang -
melompat dan berlari ke sana ke mari.
Setelah itu saya tidak berkesempatan lagi untuk ke
sebelah sana semenanjung. Sehinggalah adik saya mendapat panggilan untuk
temuduga di USM Kubang Kerian. Bagaimana dia mendapat panggilan itu tidaklah
saya mengetahuinya kerana segala urusannya adalah misteri yang tidak menarik
untuk saya rungkai.
Perjalanan bermula petang Jumaat itu. Hanya ummi, adik
dan saya menyertai perjalanan ini. Ketika kami melintasi kampung-kampung
terpencil di daerah Baling, dari kejauhan lagi kami menyaksikan sebuah dinding
biru yang berdiri teguh seteguh tembok gog magog. Dia dimahkotai awan nipis
seperti sebuah topi kebesaran yang dianugerahkan alam kepadanya atas khidmat
cemerlang beratus-ratus abad. Tembok itu tampak gagah berdiri di hadapan kami
tanpa sedikitpun bergerak seperti panglima yang menjaga gerbang kota Roman. Tembok
itulah Banjaran Titiwangsa. Jejari Banjaran Himalaya yang menempatkan gunung
yang paling tinggi dan gagah di dunia. Banjaran yang menjalar dari Utara ke
Selatan itu memisahkan sub-sub budaya di timur dan barat Malaysia dan
memeliharanya dengan sangat baik. Dan tembok itu berdiri gagah seolah-olah
mencabar kami agar tidak mencari nahas mendakinya.
Sebelum menawan Banjaran Titiwangsa, kami terlebih dahulu
perlu menyusuri lereng-lereng Banjaran Bintang sebelum singgah pada lembah yang
dihimpit dua banjaran, singgah di Daerah Gerik, Negeri Perak. Dari Gerik baru
kami terus menyusuri lerengan Banjaran Titiwangsa sehingga sampai seribu meter
dari aras laut. Di situ ada perhentian Titiwangsa untuk sesiapa sahaja yang
ingin menikmati pandangan - lautan bukit-bukau dan gunung. Dari situ
pokok-pokok balak dan flora menghijau dan merimbun dalam muafakat memelihara
misteri alam yang berusia beratus-ratus abad. Harmoni antara warna hijau dan
biru gunung-ganang dan kebiruan langit pasti mengagumkan sesiapa yang melemparkan
pandangan pada kejauhan itu. Dan kadang-kadang bila kabus turun rendah
menyelimuti sebahagian pokok-pokok pasti menggugahkan lagi jiwa-jiwa,
membuatkan terasa betapa kerdilnya kita dalam alam ciptaan tuhan. Kita terus
memandang dan terus tenggelam dalam lautan misteri yang tidak punya dasar.
Bila kita mencecah empat ratus atau lima ratus ketinggian
gunung dari aras laut, hawa dingin yang lahir dari celah-celah pokok-pokok kayu
serta dedaunnya pasti memberi sejenis ketenangan yang tidak dapat diungkap dek
kata-kata. Kita khayal dalam dunia terasing hutan yang sunyi dan jauh dari
hingar bingar kota raya.
Semasa menjalar pada lerengan bukit itu juga ternampak
papan-papan tanda menyeru umat manusia agar sudi berkongsi kehidupan dengan
makhluk-makhluk tuhan lainnya yang lama sudah mendiami alam hutan itu.
Antaranya adalah para gajah, makhluk gagah tetapi pemalu.
“Ummi, mahu berdoa berjumpa gajah atau pun tidak?” Dengan
sepontan adik saya bertanya.
“Kau doakan sahaja perjalanan kita ini selamat.” Jawab
ibu saya, mesejnya ringkas.
Ketika kami
melalui sebatang jalan, beberapa buah kenderaan memberi lampu amaran yang
biasanya dinyalakan untuk memaklumkan tentang polis jalan raya. Tapi sangka saya,
‘Mungkin bukan polis jalan raya, tapi mungkin ‘polis’ hutan - gajah’. Saya cuma
merahsiakannya sehingga ummi girang memberitahu kami dia melihat sekawan gajah.
Gajah-gajah yang pemalu itu bersembunyi di balik anak-anak balak yang renek dan
lalang-lalang yang menjulang tinggi di sebelah kiri jalan. Gajah-gajah itu
menyembunyikan dirinya yang bogel dan tembam dari makhluk manusia seperti
gadis-gadis jepun yang pemalu dalam kimono bersembunyi di balik pohon-pohon
buluh.
Sebelum sampai ke puncak Titiwangsa, kami melalui dua
buah jambatan. Mulanya kami ingat kami cuma merentasi sungai biasa. Namun bila
balik baru kami maklum dan kagum dengan apa yang kami jumpa. Sebenarnya dua
buah jambatan itu menyambungkan daratan dengan sebuah pulau yang luas - Pulau
Banding. Pulau itu adalah salah sebuah pulau dari berpuluh-puluh pulau di tengah-tengah Tasik Temenggor, di tengah-tengah belantara hutan hujan Belum. Tasik
yang terbentuk dari air-air yang mengalir dari ratusan jemari anak-anak sungai
yang mengalir ke arahnya. Kami singgah sebentar untuk mengagumi ciptaan hebat
tuhan yang Maha Agung.
Indahnya pengalaman, hebatnya catatan. Segeralah kumpul, untuk diterbitkan ..... Jumpa raya nanti...
BalasPadamInsyaAllah, Kak Liza jadi inspirasi. :-)
Padam