Halaman

26 Ogo 2012

Review Ramadhan 2012


Sudah lebih seminggu Ramadhan meninggalkan kita. Semoga semangat Ramadhan tidak luntur seperti hangat Ramdhan yang semakin suam dek rumah terbuka, kenduri walimah dan sebagainya. Bagi mereka yang soleh tentu merindui Ramadhan sedangkan bagi orang awam seperti saya tentu tidak merasakan kehilangan sangat... Sengaja saya tulis review ini, supaya semangat Ramadhan berbekas sedikit walaupun tidak sepenuhnya.

1 Ramadhan

Bulan Ramadhan tahun ini saya bersetuju menjadi imam tarawih di Surau Teluk Wang. Untuk tidak menghampakan surau kampung saya, saya menerima juga untuk mengimami tarawih di Madrasah Haji Ahmad (Kg Baru Hutan Gelam). Saya juga dijemput untuk mengimami solat tarawih di di Masjid Berapit.
Segalanya berjalan lancar dengan izin Allah. Dua orang pelajar Mahad Tahfiz Dhiaul Quran setuju untuk membantu.

Mohd Bunyamin; kacukan India/Pakistan dan ibunya Cina muallaf. Seorang yang paling tua. Sangat berdisiplin.

Rahimi; dari Sarawak sanggup datang ke semenanjung untuk belajar Hafiz dalam usia yang masih muda (14 tahun). Menunjukkan keinginannya untuk al-Quran yang sangat kuat.

Seorang lagi bekas pelajar menjadi imam tarawih di mahad tahfiz. Mohd Azril; baru menduduki ujian syahadah pada bulan dua yang lalu. Dalam ujian itu beliau membaca tiga puluh juzuk al-Quran dalam masa datu hari dengan hanya dua kesalahan. Maha suci Allah!

Surau Kecil dan Jiwa Besar Ahli Jemaah

Walau surau tersebut kecil tetapi jiwa ahli jemaahnya besar untuk mengambil imam Tahfiz untuk beribadat tarawih. Saya meneliti trend masyarakat di tempat saya. Dua atau tiga tahun sebelum ini, keseluruhan masjid di kawasan Tikam Batu sudah mula mengambil Imam Tahfiz. Bermula dengan Masjid al-Baraqah (sudah lama), mereka biasanya mengambil imam dari Patani (sila betulkan jika saya tersilap info). Masjid Pulau Sepom pula mengambil imam secara rawak dari kawasan Sungai Petani dan Pulau Pinang (Tikam Batu bersempadan dengan Kepala Batas dan Sungai Petani). Oleh itu Masjid Pulau Sepom tidak mengambil imam untuk menkhatamkan 30 juzuk seperti Masjid al-Baraqah. Masjid Berapit (dekat dengan pasar) pula sekurang-kurangnya sudah dua tahun bersungguh-sungguh menjemput imam Tahfiz sempena Ramadhan.

Setelah itu surau-surau pula sudah berminat untuk menjemput imam Tahfiz. Dalam hati saya, alangkah eloknya jika suatu masa nanti imam-imam tahfiz itu adalah anak-anak qariah sendiri. Bermakna dalam sebuah kampung sekurang-kurangnya terdapat dua atau tiga orang Hafiz al-Quran yang berani menjadi imam bahkan terlibat aktif dalam perkembangan masjid di kampung sendiri.

Di Kampung Teluk Wang, saya sungguh terharu dengan kesungguhan ahli jemaahnya. Walaupun tidak sempat berjemaah Isyak (kerana kekangan kerja atau sebagainya) – jelas apabila makmum Isyak sedikit berbanding tarawih, mereka datang juga walaupun lambat untuk bertarawih. Dan biasanya hanya dua atau tiga orang yang beredar setelah rakaat ke lapan atau ke sepuluh.

5 Ramadhan

Dalam perjalanan untuk tarawih, melihat dua suasana. Orang kampung yang berduyun-duyun dengan menaiki kereta, motorsikal, basikal dan berjalan kaki; semuanya menuju ke masjid/surau untuk merebut pahala. Di tempat lain, beberapa orang pemuda malah orang dewasa yang masih melepak dalam gelap berkumpulan. Saya bersangka baik. Tetapi perbezaan itu tetap jelas.
Saya juga mencadangkan jika boleh anggota keselamatan – polis, rela, dan sebagainya untuk mengawal lalu lintas di masjid/surau agar tidak berlaku kemalangan, lebih-lebih lagi jika masjid/surau itu berhampiran jalan. Lebih cantik jika setelah selesai tugas mereka bersama dengan orang ramai sembahyang Isyak dan bertarawih.

15 Ramadhan

Kanak-kanak yang dahulunya rajin bertarawih sudah mengikut rakan-rakannya yang lain bermain mercun. Walah, apa yang sangat membengangkan adalah mereka melontar mercun betul-betul di hadapan mihrab imam. Sangat mengganggu. Jika ikutkan hati mahu sahaja saya meluru keluar dan mencari kanak-kanak yang bermain mercun tersebut. Kalaulah di tempat saya. Ibu bapa seharusnya mengawasi anak-anak mereka. Jangan membiarkan anak-anak menggantikan ‘syaitan’ yang sudah dibelenggu.

20 Ramadhan

Suasana raya semakin terasa. ‘umpan’ kapitalis merata-rata = iklan raya + jualan murah dan sebagainya.  Tapi bagi orang yang beriman tidak menghiraukan semua itu, bagi mereka lebih nikmat beriktikaf sambil mencari Lailatulqadar.

25 Ramadhan

Semua pelajar telah pulang. Hanya tinggal saya yang akan meneruskan tarawih sehingga malam ke 29.

Saya ingin memetik kata-kata seorang ustaz dalam nasihatnya, (lebih kurang) “... kita teruskan amalan ketika Ramadhan dengan amalan-amalan yang seumpamanya seperti solat tarawih digantikan dengan taubat, hajat, witir dan tasbih. Juga berpuasa dengan puasa enam dan puasa-puasa sunat yang lain.

Tahniah kepada siapa yang telah selesai puasa enam. Tahniah juga kepada sesiapa yang sedang berpuasa enam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan