Halaman

12 Jan 2010

Ramai rakan-rakanku yang sama-sama menumpang 'bahtera MPR' telah menulis dalam blog mereka tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang bahtera itu berlayar di persisiran pantai Port Dickson. Tinggal aku belum menulis tentang program itu. Ramai rakan-rakanku yang bercerita tentang suka duka, tentang teori teorem tentang pesan dan nasihat dan sebagainya. Biarlah aku ingin menulis tentang perkara lain pula...

25 Disember,
Hari Pendaftaran
Kakakku yang bersemangat itu membawaku sehingga ke kaunter pendaftaran. Aku selalu bimbang melalui jalan-jalan di kota Kuala Lumpur. Sudah berapa kali aku sesat jalan. Malah aku amat risau dengan sikap pemandu Kuala Lumpur. Namun dengan izin Allah, kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mudah.

Semakin menghampiri menara Dewan Bahasa, terasa berbagai-bagai perasaan berebut-rebut menyelinap masuk ke dalam hatiku. Ada gusar dan risau kerana ternanti-nanti, apa akan berlaku. Ada juga gembira, kerana dapat bercuti dalam pakej percutian termurah, hanya tiga puluh ringgit untuk seminggu. Ada juga aku rasa dielus kerinduan, muncul dari dalam lubuk hati yang paling dalam. Ya, aku rasa seperti mengunjungi taman di mana aku jatuh cinta buat kali pertama!

Walaupun aku telah melupai zaman kecilku, kerinduan yang timbul tiba-tiba ini membuatkan sehelai demi sehelai lembaran kenangan melayah di hadapanku. Aku sering ke sini mengikut abah ku. Dia merupakan seorang penulis sezaman dengan Muhamad Haji Salleh dan Shahnon Ahmad. Dia juga merupakan seorang intelek yang aku kagumi.

Abah pernah bercerita kepadaku, kali pertama dia menulis adalah ketika dia masih duduk di bangku sekolah. Sebuah cerpen misteri tentang pulau rahsia. Cerpen pengembaraan sekumpulan remaja menaiki sampan. Sejak itu dia mula membina namanya dalam arena akademik.

Abah selalu membawa keluarga mengikutinya jika dia ada urusan. Aku selalu ke pejabat abah di kampus USM. Ketika itu aku amat kagumi bilik pejabatnya yang dingin seiap masa. Aku teruja melihat banyaknya pena dan alatulis abah dalam lacinya. Aku kagum melihat projektor berat di atas almarinya. Abah juga pernah membawa kami tinggal sebentar di Kajang kerana ada tugasan di UKM. Di sini (DBP) juga abah pernah membawaku. Ketika itu tiada lagi menara mencakar langit, dan aku akan melilau-lilau antara rak-rak buku Kedai DBP. Aku akan menghidu bau buku yang aneh. Aku akan menyelak buku-buku yang mempunyai gambar berwarna-warni yang menarik. Akhirnya ibuku terpaksa membayar harga buku tersebut atas desakanku. Kemudian kami bersama-sama pergi ke kedai makan DBP yang aku lihat seperti sebuah gudang di dalam perut kapal.

DBP; Antara bangunan baru dan lama. Antara kenangan dan cita-cita.

Akhirnya kereta Proton Wira kakakku berhenti di tempat meletak kenderaan yang tersedia. Lamunanku terhenti. Mampukah aku menjadi seorang penulis. Aku masih ragu-ragu dengan diriku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan