Terasa seperti baru semalam menunaikan tarawikh yang pertama, menyuapkan sahur dan berbuka di awal Ramadhan. Lebih kurang seminggu lagi kita akan beraya, ia juga bermakna Ramadhan akan pergi meninggalkan kita seperti tahun-tahun yang lalu. Orang-orang beriman akan merindui bulan yang istimewa ini sedangkan orang-orang yang fasik, sama sahaja bulan ini dengan bulan-bulan yang lain. Ramadhan sangat bererti bagiku, banyak memoir dan kenangan terpahat dalam sanubariku sampai bila-bila, lebih-lebih lagi pengalamanku menjadi imam Solat Tarawikh.
Tahun ini permintaan untuk aku mengimamkan Solat Tarawikh lebih banyak dari tahun-tahun yang sudah. Masjid Pulau Sepom seperti biasa wajib menempah aku awal-awal lagi. Masjid Tikam Batu pula malu-malu merisik aku, masakan tidak, baru tahun lepas mereka menjemput imam Tahfiz mengimami Solat Tarawikh. Apabila aku pulang ke kampus pula, pihak surau kolej sibuk bertanya samaada aku lapang atau tidak. Boleh atau tidak. Mahu atau enggan. Pada minggu yang kedua pula, sepucuk surat biru menambahkan lagi tugasku. Setiap hari Selasa aku perlu mengimami Tarawikh di Pusat Islam, masjid UiTM kampus Pulau Pinang.
Sebenarnya aku ingin membocorkan rahsia para imam tahfiz. Sebenarnya bulan ini juga mereka sama naik dengan Pak Long dan Mak Ngah yang membuka gerai di Bazar Ramadhan. Cumanya mereka bekerja selepas Isyak. Tarawikh boleh memberi kita pendapatan lumayan, kata sebahagian orang 'buat tambah duit poket'. Mana boleh aku nafikan. Sehari aku menjadi imam di Pulau Sepom sahaja aku mendapat RM40. Di Tikam Batu RM50. Jumlahkan semua lebih RM200. Kalau setiap hari aku menjadi imam di sana? 40x25=RM1000. Itu yang selalu dapat. Katanya ada yang dapat sehingga RM3000-RM4000. Mungkin aku rugi sedikit mendengar nasihat ayahku, "tak elok ambil duit atas agama". Terus aku salurkan semua pendapatanku ke saluran yang tidak melibatkan kepentinganku...
Manis-manis buah limau ada masamnya juga. Lemak-lemak buah durian ada kelatnya juga. Kenangan-kenangan yang kelat, pahit dan masam itulah yang sering lekat di ingatanku. Bagaimana aku kelam-kabut mencari doa tarawikh dan witir. Semuanya gara-gara aku tak bersedia lebih awal untuk tarawikh dan malamnya giliranku. Aku juga terpaksa mencega baacaan selawat bilal. Hal ini kerana tiada sebuah musolla pun yang pernah aku sembahyang di sana seragam bacaan selawat dan zikirnya (selepas setiap dua rakaat tarawikh). Tragedi menggerunkan aku pula berlaku setiap minggu... Tertidur ketika manjadi imam.
Sebagai pengajaran kepada diriku sendiri, persediaan awal itu mustahak, untuk menjadi imam yang benar-benar imam (pemimpin). Aku juga perlu rehat yang mencukupi, sebaiknya qoilulatun (tidur sebentar di tengah hari). Harap selepas ini aku tidak jatuh tersungkur lalu digelak makmum.
salam..
BalasPadamtu la, lain kali tidur biar secukupnya, tapi jangan sesedap rasa pula.hehe