Aku pernah berjumpa seorang Pak Cik. Setiap hari beliau mengajakku serta rakan-rakan ke surau kecil di hujung taman permainan. Beliau seorang pendiam, cuma ramah dengan senyuman... Ada nur di mukanya, lebih-lebih lagi ketika air wuduk menitis dari janggutnya. Jujur ku katakan, aku gemar ke surau kecil itu kerana senang melihat wajahnya. Setiap kali ku ke surau untuk berjemaah Maghrib dan Isyak, setiap kali itu aku mendapatinya di hujung penjuru surau kecil kampungku, membaca al-Quran.
Tidak pernahku tergerak menegur Pak Cik itu. Suatu hari aku ingin mengetahui, seawal mana beliau hadir ke surau. Setengah jam sebelum Asar aku telah berada di surau dalam keadaan berwuduk. Apabila aku melangkah masuk ke dalam surau, aku tertanya-tanya siapa yang tidak menutup kipas. Aku terpaku apabila mendapati 'Pak Cik, kawanku' sudah duduk ditempatnya. Aku menggagahkan diri menghampiri Pak Cik...
"Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam". Dia mengalihkan duduknya menghadapiku.
"Awalnya anak ni datang sembahyang"
Aku membalas dengan senyuman. "Apa yang Pak Cik buat". Terasa seperti orang bodoh menanyakan soalan yang tidak perlu. Aku terus mengenalkan diriku.
"Pak Cik Subhi", dengan ringkas dia memaklumkan namanya padaku.
"Sudah lama Pak Cik sampai di surau?", sekali lagi aku rasa dipermainkan apabila dia hanya membalas dengan senyuman.
Dia merangkulku serta mendekatkanku padanya dengan amat mesra. Ketenangan dari wajahnya terzahir kala dia senyum padaku. Dia menarik nafas dalam-dalam. Ada perkara penting ingin disampainya kepadaku.
"Nabi pernah bersaksi atas iman orang yang berulang-alik ke masjid. Allah juga pernah berfirman dalam surah Taubah ayat 18, sesungguhnya orang yang berulang-alik ke masjid adalah orang yang beriman pada Allah dan hari akhirat."
"Pak Cik tak bekerja ke?", pada hematku jika dia bekerja tentu dia akan pulang lewat seperti ayahku.
Dia tersenyum lagi, "Bekerja kerana Allah... Kerja utama Pak Cik dakwah," dalam maksud kata-katanya.
"Amar makruf nahi munkar...". Aku sengaja memetik frasa yang ku pelajari dari buku teks Pendidikan Islam. Aku kurang faham namun aku harap perbualanku petang itu terus berlangsung. Harapanku adalah aku mendapatkan sesuatu dari Pak Cik yang penuh misteri ini.
"Bagaimana Pak Cik berdakwah?"
"Mengajak manusia kepada sembahyang, kepada masjid dan surau."
"Mencegah?" aku semakin ingin tahu.
Aku sedikit bengang apabila Pak Cik misteri itu tersenyum buat kesekian kalinya.
"Bukankah perlu mencegah, Nahi Mungkar." Aku semakin mendesak.
"Firman Allah, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari fahsya dan munkar. Apabila Pak Cik mengajak orang bersembahyang, pada waktu yang sama Pak Cik menjauhkan mereka dari kemungkaran. Insyaallah."
Pagi Sabtu aku tidak bersekolah kerana cuti hujung minggu. Aku datang awal ke surau. Setengah jam sebelum Zohor aku sudah menunggu di surau. Pak Cik Subhi berjanji mahu membawa aku ke gerainya selepas Zohor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan