Halaman

26 Mei 2009

Merenung Perjalanan Yang Belum Sudah

Allahyarhamah Muallimah Sabariah terbaring lemah di samping ibu serta anaknya.

Baru tadi saya mendapat berita tentang pemergian guru mithali kami, Muallimah Sabariah. Setelah sekian lama menderita barah usus, berperang dengan perit kemoterapi, penderitaannya berakhir. Semoga Allah mengakhirkan perjalanan hidupnya itu dengan bahagia, kerana telah lama beliau menderita...

Ralit mengenang guru mithali kami itu. Ketika kami dalam tingkatan Empat Iman, dia menggalas tiga tanggungjawab di dalam kelas kami, guru Bahasa Melayu, guru Sejarah dan guru kelas. Masih jelas terlihat susuknya yang kecil melontarkan pelajaran-pelajaran dengan suara yang lantang. Sesekali beliau duduk, bersembang-sembang santai dan disulam keluh pada keuzuran diri - lemah badan yang kunjung secara tiba-tiba. Dia tabah menahan sakit. Kerana itu setelah lebih kurang setahun barulah beliau mendapat rawatan yang sewajarnya.

Ohhh... Tak sudah melayan kenangan. Saya merenung diri, bertuahlah wahai guruku jika kau pergi dan berbahagia di sana. Perjalanan engkau di atas alam ini telah berakhir, meninggalkan kami menguruskan perjalanan yang belum sudah.

Catatan Hujung: Aku tidak memiliki koleksi gambar-gambar bersama arwah Muallimah. Aku harap agar sesiapa yang memilikinya (lebih-lebih lagi bekas warga Al-Islah) boleh mengirimnya kepadaku. Mel-e:hafizuddin89_ali@yahoo.com

1 ulasan:

  1. Segala yang berlaku menjadi peringatan buat kita, meniti hari di dunia yg sementara ini. Teruskanlah perjuangan di medan dakwah.

    BalasPadam