Jika anda ingin menyenaraikan keperluan manusia, jangan lupa akan CINTA. Kerana merasa kepentingannya, banyak peristiwa-peristiwa besar tercatat dalam lembaran-lembaran sejarah peradaban manusia. Taj Mahal misalnya, merupakan bukti nyata dan refleksi CINTA. CINTA juga menyebabkan manusia tidak keruan, lantas melambakkan fail-fail jenayah di meja mahkamah. Terbukti CINTA juga merupakan tema yang tidak pernah lapuk dimamah zaman. Laila Majnun dan Romeo Juliet adalah ikon tersebut. Manusia amat menghargai CINTA.
CINTA bukan sekadar antara lelaki dan perempuan. CINTA juga berlaku antara adik dan abang, abang dan kakak, anak dan ibu bapa bahkan antara saudara mara. Hari ini manusia ketandusan CINTA. Buktinya institusi-institusi yang menaungi hidup manusia tidak harmoni. Adik-beradik bergaduh, rumah tangga berantakan, tiada lagi syurga dalam rumah tangga. Jika begini institusi kekeluargaan, bagaimana pula institusi muamalat yang lain pula seperti sekolah dan pejabat. Manusia ketandusan CINTA.
Kerana ketandusan CINTA manusia tidak bahagia. Sedangkan kebahagiaan itu juga adalah keperluan spiritual manusia. Kerana itu kita dapati manusia hari ini gembira dalam sengsara, resah dalam tawa. Duit berjuta tidak menjamin ketenangan, manusia-manusia ini mencari lagi wang sehingga tidak cukup tidur dan makan. Pangkat yang tinggi masih belum mampu menghentikan manusia dari memburu dan mengutamakan pangkat darjat lebih dari keluarga. Mereka seolah berjaya, tetapi mereka tidak bahagia, mungkinkah kerana ketiadaan CINTA?
Mengapa manusia ketandusan CINTA. Saya mengutip firman Allah:
Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang akan melimpahkan rahmat-Nya bagi mereka dengan perasaan kasih sayang.
(Surah Maryam, 96)
Mungkinkah kerana tidak mendapat rahmat dari Allah dengan kasih sayang. Apakah yang terjadi apabila Allah mengasihi seseorang manusia? Saya memetik sebuah hadis dari Sahih Bukhari riwayat Abu Hurairah yang mafhumnya, Jika Allah mengasihi seseorang, Allah akan memaklumkannya kepada Jibril a.s. serta memerintahkan beliau mengasihi hambanya itu. Jibril a.s seterusnya mengumumkan kepada penduduk langit dan bumi dan hamba Allah tersebut akan dicintai penduduk langit dan bumi. Orang dalam hadis tersebut dicintai Allah, dicintai penduduk langit dan bumi. Dia mendapat CINTA. Dia bahagia. Justeru burulah CINTA tuhan agar kita dicintai penduduk langit dan bumi, termasuk mereka yang amat kita cintai.
27 Mei 2009
26 Mei 2009
Merenung Perjalanan Yang Belum Sudah
Baru tadi saya mendapat berita tentang pemergian guru mithali kami, Muallimah Sabariah. Setelah sekian lama menderita barah usus, berperang dengan perit kemoterapi, penderitaannya berakhir. Semoga Allah mengakhirkan perjalanan hidupnya itu dengan bahagia, kerana telah lama beliau menderita...
Ralit mengenang guru mithali kami itu. Ketika kami dalam tingkatan Empat Iman, dia menggalas tiga tanggungjawab di dalam kelas kami, guru Bahasa Melayu, guru Sejarah dan guru kelas. Masih jelas terlihat susuknya yang kecil melontarkan pelajaran-pelajaran dengan suara yang lantang. Sesekali beliau duduk, bersembang-sembang santai dan disulam keluh pada keuzuran diri - lemah badan yang kunjung secara tiba-tiba. Dia tabah menahan sakit. Kerana itu setelah lebih kurang setahun barulah beliau mendapat rawatan yang sewajarnya.
Ohhh... Tak sudah melayan kenangan. Saya merenung diri, bertuahlah wahai guruku jika kau pergi dan berbahagia di sana. Perjalanan engkau di atas alam ini telah berakhir, meninggalkan kami menguruskan perjalanan yang belum sudah.
Catatan Hujung: Aku tidak memiliki koleksi gambar-gambar bersama arwah Muallimah. Aku harap agar sesiapa yang memilikinya (lebih-lebih lagi bekas warga Al-Islah) boleh mengirimnya kepadaku. Mel-e:hafizuddin89_ali@yahoo.com
Label:
guru,
sebuah peringatan
Langgan:
Catatan (Atom)