Halaman

14 Mei 2013

BERJALAN DI KELANTAN (1)

Mungkin tidak keterlaluan menggelar diri sendiri anak jalan raya. Kerana sedari kecil saya membesar di dalam kereta. Bila ummi orang Jitra, Kedah dan abah orang Semerah, Batu Pahat, Johor. Saya pernah mengikuti abah menetap di Kajang sementara rumah saya tinggal ketika saya membesar dahulu adalah di Pantai Jerjak, Pulau Pinang. Namun sejak saya mula pandai mengenal huruf, baca dan tulis juga mengira, saya tidak pernah ke sebelah sana Semenanjung Malaysia, sebelah Barat semenanjung.

Pernah sekali saya ke sana adalah ketika saya masih kecil, masih di dodoi di ribaan ummi. Manalah saya mengerti apa-apa, saya mungkin cuma menangis bila lapar susu dan ketawa bila senang kekenyangan. Tidak tahu enaknya nasi kerabu atau berlemaknya nasi dagang. Kali kedua saya pergi adalah ketika saya masih kanak-kanak, ketika pemikiran saya masih mentah. Melihat semuanya dengan pandangan yang mudah dan ringkas. Saat saya baru belajar mengagumi keagungan alam dan mentafsirnya dalam bentuk tersendiri, lain dari orang dewasa dan gembira menikmatinya, dan menterjemahkannya dengan riang - melompat dan berlari ke sana ke mari.

Setelah itu saya tidak berkesempatan lagi untuk ke sebelah sana semenanjung. Sehinggalah adik saya mendapat panggilan untuk temuduga di USM Kubang Kerian. Bagaimana dia mendapat panggilan itu tidaklah saya mengetahuinya kerana segala urusannya adalah misteri yang tidak menarik untuk saya rungkai.

Perjalanan bermula petang Jumaat itu. Hanya ummi, adik dan saya menyertai perjalanan ini. Ketika kami melintasi kampung-kampung terpencil di daerah Baling, dari kejauhan lagi kami menyaksikan sebuah dinding biru yang berdiri teguh seteguh tembok gog magog. Dia dimahkotai awan nipis seperti sebuah topi kebesaran yang dianugerahkan alam kepadanya atas khidmat cemerlang beratus-ratus abad. Tembok itu tampak gagah berdiri di hadapan kami tanpa sedikitpun bergerak seperti panglima yang menjaga gerbang kota Roman. Tembok itulah Banjaran Titiwangsa. Jejari Banjaran Himalaya yang menempatkan gunung yang paling tinggi dan gagah di dunia. Banjaran yang menjalar dari Utara ke Selatan itu memisahkan sub-sub budaya di timur dan barat Malaysia dan memeliharanya dengan sangat baik. Dan tembok itu berdiri gagah seolah-olah mencabar kami agar tidak mencari nahas mendakinya.


Sebelum menawan Banjaran Titiwangsa, kami terlebih dahulu perlu menyusuri lereng-lereng Banjaran Bintang sebelum singgah pada lembah yang dihimpit dua banjaran, singgah di Daerah Gerik, Negeri Perak. Dari Gerik baru kami terus menyusuri lerengan Banjaran Titiwangsa sehingga sampai seribu meter dari aras laut. Di situ ada perhentian Titiwangsa untuk sesiapa sahaja yang ingin menikmati pandangan - lautan bukit-bukau dan gunung. Dari situ pokok-pokok balak dan flora menghijau dan merimbun dalam muafakat memelihara misteri alam yang berusia beratus-ratus abad. Harmoni antara warna hijau dan biru gunung-ganang dan kebiruan langit pasti mengagumkan sesiapa yang melemparkan pandangan pada kejauhan itu. Dan kadang-kadang bila kabus turun rendah menyelimuti sebahagian pokok-pokok pasti menggugahkan lagi jiwa-jiwa, membuatkan terasa betapa kerdilnya kita dalam alam ciptaan tuhan. Kita terus memandang dan terus tenggelam dalam lautan misteri yang tidak punya dasar.






Bila kita mencecah empat ratus atau lima ratus ketinggian gunung dari aras laut, hawa dingin yang lahir dari celah-celah pokok-pokok kayu serta dedaunnya pasti memberi sejenis ketenangan yang tidak dapat diungkap dek kata-kata. Kita khayal dalam dunia terasing hutan yang sunyi dan jauh dari hingar bingar kota raya.

Semasa menjalar pada lerengan bukit itu juga ternampak papan-papan tanda menyeru umat manusia agar sudi berkongsi kehidupan dengan makhluk-makhluk tuhan lainnya yang lama sudah mendiami alam hutan itu. Antaranya adalah para gajah, makhluk gagah tetapi pemalu.

“Ummi, mahu berdoa berjumpa gajah atau pun tidak?” Dengan sepontan adik saya bertanya.

“Kau doakan sahaja perjalanan kita ini selamat.” Jawab ibu saya, mesejnya ringkas.

 Ketika kami melalui sebatang jalan, beberapa buah kenderaan memberi lampu amaran yang biasanya dinyalakan untuk memaklumkan tentang polis jalan raya. Tapi sangka saya, ‘Mungkin bukan polis jalan raya, tapi mungkin ‘polis’ hutan - gajah’. Saya cuma merahsiakannya sehingga ummi girang memberitahu kami dia melihat sekawan gajah. Gajah-gajah yang pemalu itu bersembunyi di balik anak-anak balak yang renek dan lalang-lalang yang menjulang tinggi di sebelah kiri jalan. Gajah-gajah itu menyembunyikan dirinya yang bogel dan tembam dari makhluk manusia seperti gadis-gadis jepun yang pemalu dalam kimono bersembunyi di balik pohon-pohon buluh.

Sebelum sampai ke puncak Titiwangsa, kami melalui dua buah jambatan. Mulanya kami ingat kami cuma merentasi sungai biasa. Namun bila balik baru kami maklum dan kagum dengan apa yang kami jumpa. Sebenarnya dua buah jambatan itu menyambungkan daratan dengan sebuah pulau yang luas - Pulau Banding. Pulau itu adalah salah sebuah pulau dari berpuluh-puluh pulau di tengah-tengah Tasik Temenggor, di tengah-tengah belantara hutan hujan Belum. Tasik yang terbentuk dari air-air yang mengalir dari ratusan jemari anak-anak sungai yang mengalir ke arahnya. Kami singgah sebentar untuk mengagumi ciptaan hebat tuhan yang Maha Agung.



Tasik Temenggor dan Pulau Banding






Dan perjalanan kami diteruskan. Dengan kejutan-kejutan itu, terbukti, Banjaran Titiwangsa walaupun nampak gagah dan menakutkan di sisi lain adalah makhluk tuhan yang ramah dan kaya dengan misteri buat umat manusia. 

11 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (2)


Sudah pukul lima petang. Di mana-mana pun pusat undi sudah tutup. Di mana-mana pun orang tidak sabar menunggu kuli-kuli SPR mengira kertas-kertas pangkah. Terima kasih Tim Berners Lee, kerana mencipta WWW pada tahun kelahiran saya. Dengan itu saya yang tidak sabar ini boleh mengetahui perkembangan semasa dengan lebih cepat. Terima kasih juga kepada Mark Zuckerberg, kerana andalah malam ini saya boleh duduk sekali bersama ayah saya menggelintir mencari maklumat terkini tentang jumlah undi pilihan raya. Hal ini kerana televisyen utama itu lambat. Hanya menyiarkan manusia-manusia yang berceloteh tidak habis seperti murai tercabut ekor.

Saya mula duduk menghadap skrin leper itu pada pukul sebelas setelah berjaya memasang modem-router baru kerana yang lama telah disambar petir petang tadi (ingat bahwa petang tadi hujan lebat selebat-lebatnya).

Kurang lebih jam sebelas setengah, PR - BN, 50 - 52 (kerusi Parlimen). Pada jam sebelas empat puluh lima PR - BN, 65 - 47. Pada jam dua belas, PR - BN, 66 - 51. Tapi di saluran berita arus perdana keputusan jauh berbeza. PR sangat sedikit dari BN. Saya bingung. Dan ramai lagi warga negara Malaysia bingung. Laman web SPR pun tidak dikemaskini. Keputusan untuk BN sahaja yang banyak. Bak kata orang putih ‘very fishy’.

Alih-alih, tup-tup, jam dua belas setengah malam counter terhenti. Katanya putus informasi dari HQ. Sampai ke pukul satu pagi lebih kami jadi dungu di hadapan skrin petak leper. Bila countdown jalan balik, kami yang dungu menjadi gila pula bila alih-alih BN sudah menang dengan 112 kerusi parlimen. Aneh sungguh negaraku.

Bapa saya yang kecewa terus masuk tidur. Saya yang tidak puas hati terus menggelintir tanpa maksud. Ketika itu orang ramai yang menukar gambar Facebook kepada hitam dan saya pun mengikut sahaja dengan dungunya. Sampai pukul dua pagi baru saya masuk tidur. Dalam tidur itulah saya dapat idea, apa sebenarnya yang terjadi. Bangun sahaja dari tidur, sebelum masuk jamban saya mengkhabarkan perkara itu kepada ummi saya membuatkan ummi saya terlopong.

“Apakah kenanya budak ini? Mereng atau apa?”


9 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (1)


Sudah rembang tengah hari. Matahari sangat terik dan saya pun sudah pulang dari surau. Masuk sahaja ke rumah saya terus mengajak ummi ke Sekolah Kebangsaan Berapit. Belum lagi buang undi.

Jawab ummi, “tunggu sebentar, makanlah dulu, ummi mahu sembahyang hajat.”

Ketika kami sampai di sekolah, hujan mula turun rintik-rintik. Sekolah Kebangsaan Berapit tetap riuh walaupun orangnya tidak seramai pagi tadi. Di luar kawasan sekolah para pekerja partai sibuk melambai-lambai bendera pada kenderaan yang lalu-lalang. Wajah mereka ceria, tidak terlihatkan penat walau telah berada di situ sedari pagi. Seperti kanak-kanak yang tidak kenal lelah kerana sibuk mengutip duit raya pada Aidilfitri. Hujan seriat tidak dihiraukan. Setiap partai yang bertanding mempunyai khemahnya masing-masing. Di situ beberapa pekerja partai duduk-duduk melepaskan lelah. dua orang pekerja partai kelihatan melipat sebuah kereta sorong, sebuah khidmat masyarakat dalam masa-masa keraian seperti ini. Kereta yang lalu-lalang pula adakalanya dihias dengan bendera-bendera. Ada yang dibungkus seperti nasi lemak, ada yang dibungkus seperti nangka ada yang membiarkan bendera berkibaran bila angin bertiup bila kereta bergerak nanti. Umumnya waktu itu di mana-mana pun penuh dengan bendera hingga mata saya menjadi juling.

Ummi saluran kedua sedang saya saluran ketiga. Biliknya cuma bersebelahan. Saya melangkah masuk ke bilik darjah yang diubahsuai menjadi tempat membuang undi. Sekali lagi nama disemak, jari telunjuk dicalit dakwat dan kerani menyerahkan kepada saya dua helai kertas. Selesai proses dalam bilik itu dan saya pun keluar. Bersama saya adalah anak taukeh kedai runcit kampung yang dikenali sangat oleh penduduk kerana memiliki kedai yang besar di pinggir kampung saya.

Ketika melangkah ke kereta, hujan semakin deras. Ummi meminta saya membawanya bersiar-siar memantau hiruk-pikuk suasana ‘hari raya’ itu. Saya akur sahaja dan membawanya melepasi sekolah Cina di hadapan Masjid. Lebih ramai orang. Mungkin penduduk lebih ramai di situ. Ketika kami sampai hujan semakin lebat. Dalam hujan yang gila membantai penduduk-penduduk bumi itu juga dapat dirasakan kemeriahan. Dalam garis-garis air yang mencurah itu saya melihat samar-samar Cikgu Mahani, bersamanya sehelai bendera bercorak bulan mengambang. Melihat wajahnya yang tersenyum riang menampakkannya juga seperti bulan purnama, yang tak malap walau dalam hujan yang melebat.

Sebelum kami pulang ke rumah, kami sempat melawat tiga tempat mengundi. Sebuah lagi kalian terpaksa merodok masuk di celah-celah kawasan sekolah dan perkampungan Melayu. Kawasan itu di pinggiran taman perumahan yang besar, maka tentunya ramai bersesak di situ. Sesak di jalan yang sempit. Tidak dapat saya membayangkan suasana pagi tadi.

Melihat gerai-gerai minuman saya sempat berjenaka dengan ummi, “Kalau jual air hari ini sahaja pun sudah dapat menampung pendapatan dua minggu.”

Ulah saya disokong oleh peniaga-peniaga air yang duduk melepak santai di tepi-tepi pagar sekolah. Mereka membiarkan begitu sahaja bekas-bekas air yang kosong.

Bosan duduk-duduk sahaja di rumah, saya membuka laman sesawang dan Bangla-Bangla membanjiri Facebook. Ada yang mengerenyih, ada yang cuak ketakutan, ada yang dipaksa menyanyi lagu Negaraku, ada yang disoal itu soal ini... Saya bingung sebentar. Adakah saya silap negara. Bangla-bangla datang dari entah mana hala bersama-sama mengundi. Ataukah saya ini Bangladesh, duduk di Bangladesh tapi bermimpi sebagai Melayu Malaysia. Sesungguhnya ini negara memang aneh...


4 Mei 2013

PRU 13


Selamat Pagi Malaysia. Hari ini merupakan penentu buat masa depan Malaysia.

Pakatan Rakyat

PAS, KEADILAN, DAP… semakin hari semakin progresif dan agresif berusaha untuk mencapai agenda masing-masing. Dan agenda utama mereka adalah menjatuhkan BN kemudian menuju Putrajaya.

Barisan Nasional

50 tahun lebih bertahkta. Bukan mudah melepaskan ‘lombong emas’ bernama Malaysia. Menyedari diri semakin terpinggir dan tercabar. Berhempas pulas mempertahan kuasa yang tersisa. Segala helah direncana.


Politik Malaysia
Semakin tahun semakin panas dan bergelojak bagaikan gunung Merapi. Bila-bila sahaja bakal meletus.

Semua pihak sangat optimis, bercita-cita, agresif… Kawal emosi kalian… semoga Malysia kekal aman… Amin…

Selamat Mengundi