Halaman

14 Mei 2013

BERJALAN DI KELANTAN (1)

Mungkin tidak keterlaluan menggelar diri sendiri anak jalan raya. Kerana sedari kecil saya membesar di dalam kereta. Bila ummi orang Jitra, Kedah dan abah orang Semerah, Batu Pahat, Johor. Saya pernah mengikuti abah menetap di Kajang sementara rumah saya tinggal ketika saya membesar dahulu adalah di Pantai Jerjak, Pulau Pinang. Namun sejak saya mula pandai mengenal huruf, baca dan tulis juga mengira, saya tidak pernah ke sebelah sana Semenanjung Malaysia, sebelah Barat semenanjung.

Pernah sekali saya ke sana adalah ketika saya masih kecil, masih di dodoi di ribaan ummi. Manalah saya mengerti apa-apa, saya mungkin cuma menangis bila lapar susu dan ketawa bila senang kekenyangan. Tidak tahu enaknya nasi kerabu atau berlemaknya nasi dagang. Kali kedua saya pergi adalah ketika saya masih kanak-kanak, ketika pemikiran saya masih mentah. Melihat semuanya dengan pandangan yang mudah dan ringkas. Saat saya baru belajar mengagumi keagungan alam dan mentafsirnya dalam bentuk tersendiri, lain dari orang dewasa dan gembira menikmatinya, dan menterjemahkannya dengan riang - melompat dan berlari ke sana ke mari.

Setelah itu saya tidak berkesempatan lagi untuk ke sebelah sana semenanjung. Sehinggalah adik saya mendapat panggilan untuk temuduga di USM Kubang Kerian. Bagaimana dia mendapat panggilan itu tidaklah saya mengetahuinya kerana segala urusannya adalah misteri yang tidak menarik untuk saya rungkai.

Perjalanan bermula petang Jumaat itu. Hanya ummi, adik dan saya menyertai perjalanan ini. Ketika kami melintasi kampung-kampung terpencil di daerah Baling, dari kejauhan lagi kami menyaksikan sebuah dinding biru yang berdiri teguh seteguh tembok gog magog. Dia dimahkotai awan nipis seperti sebuah topi kebesaran yang dianugerahkan alam kepadanya atas khidmat cemerlang beratus-ratus abad. Tembok itu tampak gagah berdiri di hadapan kami tanpa sedikitpun bergerak seperti panglima yang menjaga gerbang kota Roman. Tembok itulah Banjaran Titiwangsa. Jejari Banjaran Himalaya yang menempatkan gunung yang paling tinggi dan gagah di dunia. Banjaran yang menjalar dari Utara ke Selatan itu memisahkan sub-sub budaya di timur dan barat Malaysia dan memeliharanya dengan sangat baik. Dan tembok itu berdiri gagah seolah-olah mencabar kami agar tidak mencari nahas mendakinya.


Sebelum menawan Banjaran Titiwangsa, kami terlebih dahulu perlu menyusuri lereng-lereng Banjaran Bintang sebelum singgah pada lembah yang dihimpit dua banjaran, singgah di Daerah Gerik, Negeri Perak. Dari Gerik baru kami terus menyusuri lerengan Banjaran Titiwangsa sehingga sampai seribu meter dari aras laut. Di situ ada perhentian Titiwangsa untuk sesiapa sahaja yang ingin menikmati pandangan - lautan bukit-bukau dan gunung. Dari situ pokok-pokok balak dan flora menghijau dan merimbun dalam muafakat memelihara misteri alam yang berusia beratus-ratus abad. Harmoni antara warna hijau dan biru gunung-ganang dan kebiruan langit pasti mengagumkan sesiapa yang melemparkan pandangan pada kejauhan itu. Dan kadang-kadang bila kabus turun rendah menyelimuti sebahagian pokok-pokok pasti menggugahkan lagi jiwa-jiwa, membuatkan terasa betapa kerdilnya kita dalam alam ciptaan tuhan. Kita terus memandang dan terus tenggelam dalam lautan misteri yang tidak punya dasar.






Bila kita mencecah empat ratus atau lima ratus ketinggian gunung dari aras laut, hawa dingin yang lahir dari celah-celah pokok-pokok kayu serta dedaunnya pasti memberi sejenis ketenangan yang tidak dapat diungkap dek kata-kata. Kita khayal dalam dunia terasing hutan yang sunyi dan jauh dari hingar bingar kota raya.

Semasa menjalar pada lerengan bukit itu juga ternampak papan-papan tanda menyeru umat manusia agar sudi berkongsi kehidupan dengan makhluk-makhluk tuhan lainnya yang lama sudah mendiami alam hutan itu. Antaranya adalah para gajah, makhluk gagah tetapi pemalu.

“Ummi, mahu berdoa berjumpa gajah atau pun tidak?” Dengan sepontan adik saya bertanya.

“Kau doakan sahaja perjalanan kita ini selamat.” Jawab ibu saya, mesejnya ringkas.

 Ketika kami melalui sebatang jalan, beberapa buah kenderaan memberi lampu amaran yang biasanya dinyalakan untuk memaklumkan tentang polis jalan raya. Tapi sangka saya, ‘Mungkin bukan polis jalan raya, tapi mungkin ‘polis’ hutan - gajah’. Saya cuma merahsiakannya sehingga ummi girang memberitahu kami dia melihat sekawan gajah. Gajah-gajah yang pemalu itu bersembunyi di balik anak-anak balak yang renek dan lalang-lalang yang menjulang tinggi di sebelah kiri jalan. Gajah-gajah itu menyembunyikan dirinya yang bogel dan tembam dari makhluk manusia seperti gadis-gadis jepun yang pemalu dalam kimono bersembunyi di balik pohon-pohon buluh.

Sebelum sampai ke puncak Titiwangsa, kami melalui dua buah jambatan. Mulanya kami ingat kami cuma merentasi sungai biasa. Namun bila balik baru kami maklum dan kagum dengan apa yang kami jumpa. Sebenarnya dua buah jambatan itu menyambungkan daratan dengan sebuah pulau yang luas - Pulau Banding. Pulau itu adalah salah sebuah pulau dari berpuluh-puluh pulau di tengah-tengah Tasik Temenggor, di tengah-tengah belantara hutan hujan Belum. Tasik yang terbentuk dari air-air yang mengalir dari ratusan jemari anak-anak sungai yang mengalir ke arahnya. Kami singgah sebentar untuk mengagumi ciptaan hebat tuhan yang Maha Agung.



Tasik Temenggor dan Pulau Banding






Dan perjalanan kami diteruskan. Dengan kejutan-kejutan itu, terbukti, Banjaran Titiwangsa walaupun nampak gagah dan menakutkan di sisi lain adalah makhluk tuhan yang ramah dan kaya dengan misteri buat umat manusia. 

11 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (2)


Sudah pukul lima petang. Di mana-mana pun pusat undi sudah tutup. Di mana-mana pun orang tidak sabar menunggu kuli-kuli SPR mengira kertas-kertas pangkah. Terima kasih Tim Berners Lee, kerana mencipta WWW pada tahun kelahiran saya. Dengan itu saya yang tidak sabar ini boleh mengetahui perkembangan semasa dengan lebih cepat. Terima kasih juga kepada Mark Zuckerberg, kerana andalah malam ini saya boleh duduk sekali bersama ayah saya menggelintir mencari maklumat terkini tentang jumlah undi pilihan raya. Hal ini kerana televisyen utama itu lambat. Hanya menyiarkan manusia-manusia yang berceloteh tidak habis seperti murai tercabut ekor.

Saya mula duduk menghadap skrin leper itu pada pukul sebelas setelah berjaya memasang modem-router baru kerana yang lama telah disambar petir petang tadi (ingat bahwa petang tadi hujan lebat selebat-lebatnya).

Kurang lebih jam sebelas setengah, PR - BN, 50 - 52 (kerusi Parlimen). Pada jam sebelas empat puluh lima PR - BN, 65 - 47. Pada jam dua belas, PR - BN, 66 - 51. Tapi di saluran berita arus perdana keputusan jauh berbeza. PR sangat sedikit dari BN. Saya bingung. Dan ramai lagi warga negara Malaysia bingung. Laman web SPR pun tidak dikemaskini. Keputusan untuk BN sahaja yang banyak. Bak kata orang putih ‘very fishy’.

Alih-alih, tup-tup, jam dua belas setengah malam counter terhenti. Katanya putus informasi dari HQ. Sampai ke pukul satu pagi lebih kami jadi dungu di hadapan skrin petak leper. Bila countdown jalan balik, kami yang dungu menjadi gila pula bila alih-alih BN sudah menang dengan 112 kerusi parlimen. Aneh sungguh negaraku.

Bapa saya yang kecewa terus masuk tidur. Saya yang tidak puas hati terus menggelintir tanpa maksud. Ketika itu orang ramai yang menukar gambar Facebook kepada hitam dan saya pun mengikut sahaja dengan dungunya. Sampai pukul dua pagi baru saya masuk tidur. Dalam tidur itulah saya dapat idea, apa sebenarnya yang terjadi. Bangun sahaja dari tidur, sebelum masuk jamban saya mengkhabarkan perkara itu kepada ummi saya membuatkan ummi saya terlopong.

“Apakah kenanya budak ini? Mereng atau apa?”


9 Mei 2013

DIARI: PRU 13 (1)


Sudah rembang tengah hari. Matahari sangat terik dan saya pun sudah pulang dari surau. Masuk sahaja ke rumah saya terus mengajak ummi ke Sekolah Kebangsaan Berapit. Belum lagi buang undi.

Jawab ummi, “tunggu sebentar, makanlah dulu, ummi mahu sembahyang hajat.”

Ketika kami sampai di sekolah, hujan mula turun rintik-rintik. Sekolah Kebangsaan Berapit tetap riuh walaupun orangnya tidak seramai pagi tadi. Di luar kawasan sekolah para pekerja partai sibuk melambai-lambai bendera pada kenderaan yang lalu-lalang. Wajah mereka ceria, tidak terlihatkan penat walau telah berada di situ sedari pagi. Seperti kanak-kanak yang tidak kenal lelah kerana sibuk mengutip duit raya pada Aidilfitri. Hujan seriat tidak dihiraukan. Setiap partai yang bertanding mempunyai khemahnya masing-masing. Di situ beberapa pekerja partai duduk-duduk melepaskan lelah. dua orang pekerja partai kelihatan melipat sebuah kereta sorong, sebuah khidmat masyarakat dalam masa-masa keraian seperti ini. Kereta yang lalu-lalang pula adakalanya dihias dengan bendera-bendera. Ada yang dibungkus seperti nasi lemak, ada yang dibungkus seperti nangka ada yang membiarkan bendera berkibaran bila angin bertiup bila kereta bergerak nanti. Umumnya waktu itu di mana-mana pun penuh dengan bendera hingga mata saya menjadi juling.

Ummi saluran kedua sedang saya saluran ketiga. Biliknya cuma bersebelahan. Saya melangkah masuk ke bilik darjah yang diubahsuai menjadi tempat membuang undi. Sekali lagi nama disemak, jari telunjuk dicalit dakwat dan kerani menyerahkan kepada saya dua helai kertas. Selesai proses dalam bilik itu dan saya pun keluar. Bersama saya adalah anak taukeh kedai runcit kampung yang dikenali sangat oleh penduduk kerana memiliki kedai yang besar di pinggir kampung saya.

Ketika melangkah ke kereta, hujan semakin deras. Ummi meminta saya membawanya bersiar-siar memantau hiruk-pikuk suasana ‘hari raya’ itu. Saya akur sahaja dan membawanya melepasi sekolah Cina di hadapan Masjid. Lebih ramai orang. Mungkin penduduk lebih ramai di situ. Ketika kami sampai hujan semakin lebat. Dalam hujan yang gila membantai penduduk-penduduk bumi itu juga dapat dirasakan kemeriahan. Dalam garis-garis air yang mencurah itu saya melihat samar-samar Cikgu Mahani, bersamanya sehelai bendera bercorak bulan mengambang. Melihat wajahnya yang tersenyum riang menampakkannya juga seperti bulan purnama, yang tak malap walau dalam hujan yang melebat.

Sebelum kami pulang ke rumah, kami sempat melawat tiga tempat mengundi. Sebuah lagi kalian terpaksa merodok masuk di celah-celah kawasan sekolah dan perkampungan Melayu. Kawasan itu di pinggiran taman perumahan yang besar, maka tentunya ramai bersesak di situ. Sesak di jalan yang sempit. Tidak dapat saya membayangkan suasana pagi tadi.

Melihat gerai-gerai minuman saya sempat berjenaka dengan ummi, “Kalau jual air hari ini sahaja pun sudah dapat menampung pendapatan dua minggu.”

Ulah saya disokong oleh peniaga-peniaga air yang duduk melepak santai di tepi-tepi pagar sekolah. Mereka membiarkan begitu sahaja bekas-bekas air yang kosong.

Bosan duduk-duduk sahaja di rumah, saya membuka laman sesawang dan Bangla-Bangla membanjiri Facebook. Ada yang mengerenyih, ada yang cuak ketakutan, ada yang dipaksa menyanyi lagu Negaraku, ada yang disoal itu soal ini... Saya bingung sebentar. Adakah saya silap negara. Bangla-bangla datang dari entah mana hala bersama-sama mengundi. Ataukah saya ini Bangladesh, duduk di Bangladesh tapi bermimpi sebagai Melayu Malaysia. Sesungguhnya ini negara memang aneh...


4 Mei 2013

PRU 13


Selamat Pagi Malaysia. Hari ini merupakan penentu buat masa depan Malaysia.

Pakatan Rakyat

PAS, KEADILAN, DAP… semakin hari semakin progresif dan agresif berusaha untuk mencapai agenda masing-masing. Dan agenda utama mereka adalah menjatuhkan BN kemudian menuju Putrajaya.

Barisan Nasional

50 tahun lebih bertahkta. Bukan mudah melepaskan ‘lombong emas’ bernama Malaysia. Menyedari diri semakin terpinggir dan tercabar. Berhempas pulas mempertahan kuasa yang tersisa. Segala helah direncana.


Politik Malaysia
Semakin tahun semakin panas dan bergelojak bagaikan gunung Merapi. Bila-bila sahaja bakal meletus.

Semua pihak sangat optimis, bercita-cita, agresif… Kawal emosi kalian… semoga Malysia kekal aman… Amin…

Selamat Mengundi

15 Apr 2013

SARANG ORANG POLITIK


SARANG ORANG POLITIK

Sarang burung, biasanya di atas pokok. Burung tempua menganyam sarangnya dari rumput dan dahan pohon. Pintu masuknya ada yang menjulur ke bawah, ada yang terbuka di tengah. Biasanya pintu kecilnya yang sempit menjulur ke bawah dan semakin membesar ke atas. Burung layang-layang pula membina sarangnya di dalam bangunan-bangunan dengan lumpur dan liur. Burung walet pula menghuni gua-gua dan kini dalam ‘banglo-banglo khas’, membina sarang mereka cuma dengan liur yang dilekap pada dinding-dinding bangunan.

Jika burung membina sarangnya dengan liur dan rumput, orang politik pula bagaimana sarang mereka? Cuba teka. - biar saya jawab. Dari bendera dan liur. Menjelang Pilihan Raya Umum ini, ke mana sahaja pergi, di mana-mana pun tergantung bendera di atas jalan-jalan dan tersangkut bendera di celah-celah pokok. Sarang United Malays National Organization dikenali dengan bendera biru gelap, sarang Parti Keadilan Rakyat dengan bendera biru muda dan sarang Parti Islam Semalaysia dengan hijaunya. Ketika dalam perjalanan ke kampus, melalui Kepala Batas - kawasan kuat orang-orang United Malays National Organization, terasa seperti masuk sedalam-dalamnya dalam sarang kerengga. Seram.

ADUN MEMBOHONG

Suatu hari saya bersama-sama dengan seorang kawan, dia juga anak JKKK Persekutuan di kampung saya. (di tempat saya terdapat dua JKKK, negeri (Pas) dan Persekutuan). Dia memberi ulasan tentang wakil rakyat penggal lalu, beliau seorang doktor perubatan dan memiliki klinik di kampung kami. Penduduk di sini mengenalinya sebagai seorang yang sangat baik dan saya sendiri mengakuinya.

Untuk penggal sebelum ini, sebelum PAS memenangi Kedah, Doktor menang sebagai ADUN di Pantai Merdeka atas tiket Barisan Nasional. Namun pada penggal ini, dia kalah pada orang PAS.

“Dia (doktor) tak boleh jadi orang politik. Sebab tu dia kalah” Kata kawan saya itu yang keluarganya orang kuat UMNO.

“Kenapa?” Saya hairan.

“Kerana di baik sangat, tak pandai nak membohong orang.”

‘Laaa’ Saya senyum sendiri.

31 Mac 2013

TERBANG!! & MISTERI SURAU KECIL DI SUDUT AIRPORT


Jam 10 pagi, Jumaat 16 November 2012, kami menaiki pesawat Pakistan International Airlines. Sejurus peasawat bersedia menjalankan penerbangan, kamipun berada di atas udara Malaysia setinggi 30 ribu kaki dari aras laut dan pesawat bergerak lebih 800km sejam menuju ke arah barat laut.

Di atas pesawat kami mengisi masa luang di dalam kabin dengan berbual dan membaca. Antara cerita yang dikisahkan ketua jemaah kami (Amir Sab), Haji Ahmad bin Samah adalah mengenai pengalamannya ketika belajar di US dahulu. Diakui bahawa beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang banyak ke luar negara, berkali-kali ke India, Pakistan dan Bangladesh. Pernah sampai ke Indonesia, Jepun dan Korea. Menurut beliau, beliau mula melibatkan diri dalam usaha dakwah semenjak pengajiannya di Amerika.

Ramai maklum Amerika sebuah negara yang berbilang agama dan fahaman, selain Islam Sunni ada juga Islam Syiah. Dan entah bagaimana suatu hari Pak Ketua kami itu bersembahyang di masjid mereka (orang Syiah). Segalanya baik sehingga beliau habis sembahyang. Cuma yang anehnya bila beliau keluar sahaja dari masjid, orang-orang Syiah pantas sahaja membasuh tempat sembahyang Pak Ketua kami. Pak Ketua gelak dengan gayanya yang riang bila menceritakan pengalamannya kepada kami.

Penerbangan yang agak bosan lebih enam jam berakhir bila pesawat mendarat di lapangan terbang Karachi. Kami transit sebentar di Karachi. Sela masa tiga jam di lapangan terbang kami gunakan sebaiknya untuk makan, menyegarkan diri dan sembahyang. Walaupun dalam masa yang singkat, kami sempat sembahyang Asar dan Maghrib kerana pada musim dingin, masa antara Asar dan Maghrib sangat pendek.

Kami sembahyang Asar berhampiran dengan tempat memungut bagasi, ruang sembahyang itu bukan sahaja dekat bahkan dalam kawasan memungut bagasi. Ruang sembahyang cumalah sebuah sudut di tempat memungut bagasi yang dipisahkan dengan beberapa keping penghadang. Kami bersembahyang. Selepas sembahyang baru kami perasan di rak ‘surau ringkas’ itu terdapat beberapa benda yang menarik.

Surau di sudut airport

Sebelum ini saya hanya berjumpa kopiah plastik di masjid dan surau di Pulau Pinang. Tapi di ‘surau’ ini bukan sahaja kopiah plastik, kopiah yang dianyam dengan daun apa pun saya tidak tahu tetapi seperti tikar mengkuang dibentuk menjadi kopiah. Selain itu kami juga terjumpa berbelas biji batu-batu bulat yang berukir. Kami hairan dan ingin tahu.

“Itu batu Syiah sembahyang.” Kata seorang ahli jemaah tiba-tiba.

Batu

‘Pertama kali saya melihat batu solat Syiah, kalau sebelum ini saya mendengar sahaja, hari ini saya melihat sendiri.’ Saya berkata dalam hati. Mungkin begitu juga detik hati kawan-kawanku yang lain. Mungkinkah orang-orang Sunni berkongsi tempat sembahyang dengan orang-orang Syiah? Tidak pula mereka mahu basuh seperti cerita Pak Ketua kami dalam pesawat tadi?

Kami pergi mencari kaunter untuk chek-in, untuk penerbangan seterusnya, Karachi - Lahore. Ketika berjalan mencari dalam hati saya merasa simpati, kasihannya mereka, walaupun negara Islam, malah 97% adalah Islam, mereka tidak mampu menyediakan tempat sembahyang yang sempurna. Tidak berapa jauh pun kaunter check-in, di tingkat dua. Ketika berjalan ke situ kami melihat papan tanda ‘Prayer Room’. Sebuah tempat sembahyang atau surau yang gah dan indah. Ramai yang singgah ke situ, tidak seperti ruang sembahyang tadi yang lengang. Kalau benarlah telahan saya, ‘Mungkin surau tadi adalah surau orang-orang Syiah.’ Saya berkongsi pendapat saya dengan Pak Ketua. Pak Ketua diam sahaja.

Ketika kami sudah mahu masuk ke pesawat Pak Ketua berkata.

“Bagaimana mereka (orang-orang syiah) mahu basuh tempat kita sembahyang petang tadi?”



25 Mac 2013

POLIS YANG BAIK


Baru-baru ini saya mengikuti program tajaan kerajaan United Malays National Organisation yang dianjurkan di universiti saya, UiTM cawangan Bukit Mertajam. Sudah namanya program Tajaan kerajaan United Malays National Organisation, tentulah penuh dengan propaganda kerajaan tersebut.

Nama program tajaan kerajaan United Malays National Organisation kali ini adalah taklimat keselamatan negara. Tetapi bagi saya lebih kepada taklimat keselamatan juak-juak.

Tetapi kali ini saya merasakan pekat aura kerajaan United Malays National Organisation agar ceroi - bak kata orang Utara. Tidak seperti penceramah sebelum ini. Saya sedikit kecewa.

Tidak banyak muka beliau di internet.

Penceramah kali ini adalah SAC Datuk Sofian. Beliau merupakan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial, Cawangan Khas Bukit Aman. Beliau bersungguh-sungguh meyakinkan kami, kurang lebih seribu orang pelajar-pelajar ijazah sarjana muda UiTMPP, bahawa pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim itu lanun dalam negara. Beliau juga menyentuh tentang Lahad Datu.

Kawanku mungkin memikirkan bahawa aku marah dengan beliau (penceramah), tetapi yakinlah, sebaliknya aku merasa kasihan. Ketika beliau melantunkan suaranya yang serak-serak basah, saya dapat merasakan keikhlasan dari hatinya sebagai seorang anggota keselamatan.

Pendek kata saya merasa kasihan kepada beliau kerana ditipu oleh orang-orang atasannya. Ya. Saya meyakini demikian, namun tidak tahu pula mengapa. Saya yakin bahawa beliau orang baik, cuma tidak tahu atau kena tipu. Saya teringat Saidina Umar al-Khattab r.a.

Sebelum keislaman Saidina Umar r.a, beliau tidak memusuhi Nabi Muhamad kerana bencikan mesej dakwah nabi. tetapi kisahnya, beliau adalah seorang yang sedari kecil dididik dengan perawakan terpuji, maka apabila dia melihat bangsanya berpecah-belah maka dia pun marah, dan oleh kerana tidak tahu, maka dia memerangi Nabi Muhammad yang baginya merupakan punca perpecahan kaumnya itu. Apabila hidayah telah masuk ke dalam nubarinya, beliau menyerahkan segala cintanya kepada Nabi saw, dan menyerahkan sepenuh dirinya untuk agama.

Saya kira SAC Datuk Sofian pun begitu, dia menjadi juru bicara kerajaan United Malays National Organisation bukan kerana busuk hatinya tetapi kerana dia masih tak tahu dan ditipu. Dan dia orang baik sebenarnya. Mungkin setelah dia sedar dia akan menjadi lebih baik daripada saya?

22 Mac 2013

HUSEIN SABAH DAN UDANG KARA


Tidak tahu, kebajikan apa yang saya lakukan? Saya cuma menumpangkannya tidur di rumah saya sehari dua dan membawanya sekali dua menyelesaikan urusan kemasukan UiTM dan membeli tiket bas. Namun begitulah orang baik, tidak mahu terasa terhutang dengan orang lain. Balik dari Sabah sempat dia menghadiahkan kepada saya sesuatu untuk melepaskannya dari ikatan ‘hutang budi’ atau sekadar berterima kasih.

Ketika balik sebentar ke Sabah tempoh hari sempat dia menggeledah pasar di Sandakan lewat penyamun-penyamun sulu membuat orang-orang Sabah ketakutan lalu kurang aktiviti mereka di pasar. Hussein sendiri mengeluh kepadaku, tentang pasar dan di mana-mana sahaja pun sudah tidak semeriah dulu. Orang ramai lebih rela terkurung dalam rumah, ketakutan.

Udang kara. Seekor dua puluh ringgit - di Sabah. Bila sampai di semenanjung mungkin berharga lima, enam puluh ringgit. bukian seekor tuan, sebelas ekor. RM200 semua, sampai semenanjung mungkin lima ratus ringgit Malaysia.









Setelah digulaikan





12 Mac 2013

KEMATIAN DI KAMPUNG


Hari Sabtu yang lepas, ummi saya telah menyusun rancangan melawat semua adik-adik saya yang sangat saya rindui. Adik bongsu saya di Mahad Tahfiz Padang Menora, adik kedua bongsu di Tahfiz Kampung Pelet dan kakak mereka, adik di bawah saya sedang belajar dalam semester 2 matrikulasi di Kolej Mara Kulim. Mengikut rancangan awal, seharian akan saya bersama ibu dan ayah saya di Bukit Mertajam dan Kulim.

Benarlah manusia hanya boleh merancang dan Allah yang menentukan. Pagi itu kami mendapat berita kematian ibu saudara saya (sepupu kepada ibu saya). Biar saya panggilnya dengan gelaran Wa sahaja. Kami sekeluarga menyambut berita sedih tersebut dengan ucapan Innalillah. Jenazah bakal disimpan jam sebelas pagi ini, sekarang sudah pukul sembilan, kami masih berada di Sungai Petani. Perjalanan ke Jitra dari Sungai Petani mengambil masa lebih sejam. Adik-adik sedang keterujaan menunggu kami menziarah tanpa mengetahui berita kematian ini.

“Kita berziarah orang yang ditinggal pun sudah cukup.” Ummi memberi kata putus.
Tanpa berlengah saya terus memecut ke Bukit Mertajam dan Kulim untuk memungut seorang demi seorang adik-adik saya. Ketika sampai di Kulim sudah jam sepuluh setengah. Kami terus menghala ke arah Jitra. Sampai di Jitra kami disambut oleh sanak-saudara yang masing-masing dalam kejutan dan kesedihan. Ketika itu sudah pukul 1 tengah hari.

KEMATIAN WA

Beberapa bulan lepas kami telah menziarahi Wa di katil sakitnya. Badannya sangat lemah. Tidak mampu bercakap jelas. Dia tidak mampu berbaring. Dia sentiasa duduk. Namun anehnya ketika dia duduk, kepalanya jatuh ke hadapan seperti ada orang menolak-nolak kepalanya.

Hari ini baru terjawab bila orang kampung saya menceritakan, sehari sebelum Wa meninggal, orang kampung saya telah menjemput seorang tabib untuk merawat beberapa warga desa saya. Kehadiran tabib ke kampung berikutan seorang sepupu saya melihat seorang budak kecil dalam keadaan telanjang bulat berlari ke arah tempat Wa berbaring.

Tabib mendapati beberapa ekor jin pada badan Wa. Tabib tersebut seterusnya menjalankan proses berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran. Tidak lama setelah proses berubat dijalankan, akhirnya Wa kembali ke pangkuan Allah dalam keadaan tenang. Al-fatihah.

Belum habis di situ, seorang atuk saudara saya juga mendapat rawatan dan setelah itu dia merasakan yang badannya tidak sesegar dahulu. Seperti kehilangan sesuatu. Menurut cerita ummi, atuk saudara saya lama dahulu pernah terkeluar lidahnya, panjangnya sehingga ke dada. Wallahua’lam.

Semua orang yang saya kisahkan adalah orang-orang yang baik. Begitupun jin masih tertarik dengan mereka. Saya bermuhasabah, bagaimana pula dengan saya yang selalu sahaja lalai dari mengingati Allah.

Pesan ummi ayat-ayat perlindungan seperti Masturat dan Manzil sangat penting diamalkan setiap hari. Zikir juga sangat mustahak lebih-lebih lagi ketika badan kita dalam keadaan lemah, kerana syaitan dan jin sangat menyukai badan manusia yang lemah. Amalan-amalan yang melekakan yang disukai syaitan dan jin juga seharusnya dikawal andai tidak mampu meninggalkannya secara total. Seperti bermain permainan komputer, berfacebook, leka membaca komik, ralit menonton movie, drama, anime, mendengar lagu-lagu lagha, bergaul bebas lelaki dan perempuan. Bukan saya berniat mengatakan tuan-tuan melakukan aktivit-aktiviti lalai, tetapi saya ingin mengingatkan diri saya yang banyak terlibat dengan kelalaian itu.

Perlu diingatkan bahawa natijah dari amalan-amalan lalai bukan sahaja dalam bentuk dirasuk tetapi juga keterlanjuran-keterlanjuran yang banyak dipapar akhbar-akhbar lewat ini. Terlanjur bergaduh, terlanjur berbunuh, terlanjur berzina, terlanjur beranak... wallahua’lam.

BERJALAN JAUH

Hari itu kami berjalan jauh. Ke Selatan (Bukit Mertajam dan Kulim) kemudian patah balik ke Utara (Jitra). Kira-kira dua ratus kilometer. Perjalanan pergi balik seolah-olah memandu ke Kuala Lumpur. Kami sampai rumah pada jam 10.30 malam. Sesampainya sahaja terus saya tidur keletihan.

11 Mac 2013

KALUT SEMINGGU

Ketika masih di Bangladesh (Bangladesh bermakna negeri orang Benggali), saya mendapat makluman bahawa saya diterima menyambung pelajaran di UiTM kampus Bukit Mertajam. Alhamdulillah, sujud syukur, betapa  gembiranya hati saya ketika itu. Namun timbul pula gusar bila memikirkan masa yang suntuk untuk menguruskan segala hal yang berkaitan dengan kemasukan - pemeriksaan kesihatan dan lain lagi. Kerana apabila pulang ke tanah air, hanya tinggal empat atau lima hari sahaja lagi untuk menguruskan kemasukan ke UiTM.

SESAMPAINYA DI MALAYSIA 
(27/2/2013: 5 Hari Sebelum Pendaftaran)
Setelah tiba di Masjid Sri Petaling, apa yang timbul dalam fikiran saya pertamanya adalah mahu mencetak pelbagai dokumen yang berkaitan untuk melicinkan pemeriksaan kesihatan dan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran nanti. Tetapi letih menarik-narik tubuh saya dan kaki saya seperti di pasak, kepala terasa berat, semuanya akibat letih duduk dalam pesawat Tiger Air dan kemudian menjelajah Lapangan Terbang Changi selama tiga jam dengan perut yang kosong  (kerana makanan yang sangat mahal) pagi tadi. Selepas Zohor saya dan rakan-rakan yang lain terus tertidur tanpa sedar apa-apa sehinggalah menjelang waktu Asar.
Selepas Asar setelah mencetak segala dokumen yang perlu, saya menghubungi kakak saya Doktor Anita (Kak Lina) di Hospital Serdang dan memintanya membantu saya dan rakan-rakan membuat ujian kesihatan.

UJIAN KESIHATAN DI HOSPITAL SERDANG & LAPORAN KERJA 
(28/2/2013: 4 Hari Sebelum Pendaftaran)
Alhamdulillah, hari ini selesai dengan ujian kesihatan. Dengan bantuan Kak Lina, ujian kesihatan yang biasanya sehari suntuk dapat diselesaikan dalam dua jam sahaja.  Memandangkan ujian kesihatan telah selesai, saya dengan lapang hati menerima jemputan kakak untuk bermalam di rumahnya esok dengan membatalkan niat untuk balik selepas Jumaat esok.

Petang ini kami membentangkan karkuzari (laporan kerja) sepanjang kami tiga bulan lebih di benua India. Orang yang dipertanggungjawab mengambil laporan dari kami adalah muqimin (penduduk) Sri Petaling, Hj. Othman Sipol.

BAYAN TANGGUH DI MJ. JAME’ SRI PETALING 
(1/3/2013: 3 Hari Sebelum Pendaftaran)
Habis sahaja ‘penutup program’ (bayan tangguh) pada jam 12.30, saya, Hussin, dan Zulhelmi menghantar Doktor Azrul ke TBS dan terus memecut ke Kajang. Kakak mahu saya berjumpa dengan anak-anak saudara saya. Katanya mereka terkilan bila balik cuti bulan lalu dan mendapati saya tiada di rumah. Tambahan pula saya mahu melihat anak saudara saya yang baru lahir, yang belum saya sempat jumpa kerana saya ketika itu telah mula ‘berjalan’.

BALIK RUMAH 
(2/3/2013:2 Hari Sebelum Pendaftaran)
Pagi ini anak-anak semua ke Hari Keluarga Sekolah Sri Ayesha. yang kecil-kecil dihantar ke rumah pengasuh. Abang Fadli dan Kak Lina membawa sekali baby ke Kursus Haji di Masjid Kajang. Saya dan Hussein ditinggal bersendirian di rumah, terima kasih kepada Kak Lina kerana meninggalkan juga kunci kereta dan kad diskaun Kedai Buku Syabab.

Saya dan Hussin sembahyang Zohor di Surau An-Nur, Taman Kantan Permai (berhampiran rumah Zulhelmi). Zulhelmi berjanji tadi mahu makan tengah hari bersama setelah Zohor. Seusai Zohor kami memecut ke Terminal Bas Kajang. Sekeping tiket AB Ekspres berharga RM40, Kajang - Sungai Petani, pesan kakak kaunter, “Tunggu di platform 5 pada pukul 10 malam nanti”. Kami makan tengah hari di restoran nasi kandar berdekatan.

Sebelum pulang ke rumah kami singgah dulu di bangunan PKNS untuk ke Kedai Buku Syabab. Terlupa sudah banyak barang di rumah, beli lagi empat buah buku...

10 malam bertolak ke Sungai Petani. Terujanya saya mahu pulang...

3/3/2013: 1 Hari Sebelum Pendaftaran
Rehat di rumah. Hanya sempat membayar yuran.

4/3/2013: Hari Pendaftaran
Alhamdulillah, dengan bantuan Allah, segala urusan yang perlu dapat diselesaikan pada masanya. Kembali ke UiTM. Bermula kembali era perah otak belajar...


7 Mac 2013

PERJALANAN MUSIM DINGIN KE BENUA INDIA


Kami meninggalkan panas Malaysia, menaiki pesawat PIA (Pakistan International Airlines) meluncur laju membelah awan dan langit ke arah barat benua India - Pakistan. Transit sebentar di lapangan terbang Karachi sebelum menaiki kapal terbang airbus ke Lahore. Keluar sahaja dari lapangan terbang, kami didakap dingin udara Pakistan yang kering. Suhu di Lahore pada permulaan musim dingin adalah antara 21 dan 18 .

Kabus dingin di Lahore yang menyelubungi matahari pagi
Perkarangan markaz Raiwind
Setelah kurang lebih sebulan membiasakan diri dengan dingin di Pakistan. Kami bergerak masuk ke India pada 25 Disember. Bertuah benar kami, berada di tengah-tengah kota Delhi dalam musim sejuk berada pada puncaknya. Kami meletakkan suhunya pada angka tujuh dan lapan . Tanpa kemudahan menghadapi dingin musim dingin, kami merenung dan bermuhasabah memaknakan perkataan mujahadah.

Radjahani, Delhi - Howrah 
Jam 12.00 tengah malam, 7 Januari kami berjalan lagi. Kini menghala ke arah Timur. Kami menyusuri landasan kereta api India. Rangkaian kereta api terpanjang di dunia, mempunyai landasan sepanjang 115, 000 kilometer. Delhi - Howrah. Howrah pusat Bandar Kolkata. Kami bermalam semalam di perut Kolkata, melepaskan lelah 26 jam dalam kereta api sleeper, AC 3 tier. Gerabak Radjahani, bermakna ‘Gerabak Ibu Kota’ telahpun mula bergerak di atas landasan kereta api India seawal tahun 1969. Selepas hilang penat, kami bersafar pula di atas bas terus menuju ke urat nadi Bangladesh - Dhaka. Kami sudah menyesuaikan diri dengan cuaca dingin tambahan pula suhu semakin meningkat bermakna musim dingin sudah beransur-ansur berangkat meninggalkan benua India. Maka tiada masalah sangat di Bangladesh.


Bangladesh
Ketika kami meninggalkan lapangan terbang Dhaka, suhu yang sempat kami rekodkan adalah pada 26 . Kami kambali dalam dakapan Malaysia yang ‘hangat’.

Doakan saya diberi taufiq oleh Allah, menyambung catatan ini - PERJALANAN MUSIM DINGIN DI BENUA INDIA...