Halaman

22 Okt 2012

BILA EXAM BERAKHIR


MUET SPEAKING

Jam 7.30 pagi saya sampai di SMA Daris. Jalan ke SMA Daris dari jalan utama sebenarnya hanyalah mini tar yang muat oleh hanya sebuah kereta. Saya tidak tahu dan papan tanda hanya memaklumkan di sebelah kiri adalah SMA Daris. Tiada lagi maklumat lanjut tentang mini tar menjadi jalan sehala pada waktu pagi (waktu pergi sekolah) dan petang (waktu balik). Saya dihalang oleh banyaknya kereta. Saya tidak boleh terus lagi atau kereta saya akan jatuh ke dalam bendang.

Bila saya merasakan sedikit selamat saya terus memecut sebelum berpuluh-puluh lagi kenderaan sempat menghimpit saya lagi. Alhamdulillah mujur ada sebuah parkir (mungkin tempat membakar sampah oleh tukang kebun?). Terus sahaja saya memarkir kereta tanpa berfikir panjang.

Apabila memakai baju kemeja dan seluar pentalun dan berjalan di hadapan barisan pelajar saya merasakan bahawa saya adalah salah seorang dari guru yang mengajar. Para pelajar ketika saya melintasi mereka sedang berdoa. Seorang guru di hadapan barisan pelajar tingkatan enam memerli pelajarnya, “Ohh... sudah tingkatan enam tak payah baca doa.”

Sudah tingkatan enam pun masih diperli cikgu. Itu yang terlintas dalam hati saya. Saya teringat kenangan belajar di al-Islah dulu.

Pendek cerita saya dikuarantin bersama lima belas calon yang lain. Dua orang cina. Saya khuatir jika bersama calon tersebut. Akhirnya saya bersama seorang Melayu lelaki dan dua Melayu perempuan. Tapi apa kurangnya mereka. Bakal doktor dan pharmacist.



Akhirnya selesai MUET Speaking. Tapi saya ada satu paper lagi lusanya...

BILA EXAM BERAKHIR

Sebelum habis exam saya sangat bersemangat untuk belajar. Dan belajar adalah kehidupan pelajar. Jadi saya bersemangat untuk hidup. Boleh begitu? Hairannya bila habis menjawab paper terakhir, semangat untuk ‘hidup’ hilang. Ialah, kalau hidup = belajar. Sudah habis belajar = sudah habis hidup.

Jadi saya perlu mencari matlamat lain agar saya terus ‘hidup’...

13 Okt 2012

PENYAKIT SUKA MENCARI AIB


Antara mazmumah diri saya adalah suka melihat kekurangan orang lain. Tidak cukupkah kekurangan diri sendiri yang masih belum betul-betul? Mazmumah ini semakin enak apabila ada teman untuk berkongsi tentang kekurangan orang lain. Seperti nasi ada sambal petai agaknya. Sebenarnya mazmumah ini sangat jijik walau kerap saya melihatnya remeh. Dari mazmumah inilah timbulnya dosa-dosa lain seperti mengumpat dan membenci. Sudah banyak kali saya berazam dan bertekad untuk mengubah diri, namun sebanyak itu jugalah saya gagal dan melanggari azam dan janji saya pada diri.

Astaghfirullah...

Saya mendambakan ubatnya. Saya teringat sebuah tips - bagaimana melihat kebaikan orang lain (seterusnya menutup kekurangan orang lain dengan kebaikannya). Tips ini jika tidak salah saya, saya dengar dalam radio IKIM oleh seorang... (saya tidak ingat siapa). Ilmu ini sudah lama nampaknya saya ketahui tetapi belum lagi diamalkan. Apa gunanya ilmu kalau tidak diamalkan. Rugi!!!

Walaupun tips ini sebenarnya adalah untuk kebahagiaan keluarga; anak-anak, ayah, ibu, adik, kakak, abang, atuk dan nenek. Saya kira berguna juga diaplikasikan ke atas orang lain; kawan sepejabat, classmates, cikgu/ pensyarah, rakan surau/ masjid, dan semua orang (senaraikan sendiri...). dan tipsnya mudah...

Sekali lagi sungguh-sungguh berazam untuk tinggalkan (tanggalkan) mazmumah ini...

Ambil sehelai kertas dan pen. Senaraikan segala kebaikan orang tersebut.



Saya menuruti tips ini. Susah sekali mencari kebaikan orang yang telah lama saya benci dan banyak sekali kebaikan yang saya temui pada orang yang sememangnya telah saya sukai, dan kesannya:
  1.  Merasai diri ini sangat jahat kerana membenci muslim lain - ini akan menjadikan diri kita berazam untuk menjadi lebih baik...
  2. Menukarkan perasaan benci terhadap muslim kepada cinta
  3. Menambahkan cinta kepada seseorang yang telah kita cintai

PERINGATAN UNTUK DIRIKU

Sabda Nabi;

Dari Abu Barzah Aslami r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Wahai orang-orang yang hanya Islam di lidah dan belum beriman di dalam hati! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan jangan sibuk mencari keburukannya. Barangsiapa yang sibuk mencari kesalahan orang Islam, Allah akan menzahirkan keburukannya (keburukan orang yang bersangka buruk itu) sehingga di dalam rumah sendiri
                                                (HR Abu Daud)


KESIMPULAN

Antara lain keburukan melihat dan mencari keburukan saudara kita:
  1. Menambahkan rasa benci terhadap saudara kita
  2. Menimbulkan perasaan benci dalam diri saudara kita
  3. Menghilangkan perasaan kasih sayang yang digalakkan dalam Islam
  4. Menimbulkan permusuhan
  5. Ada risiko untuk tidak dapat masuk syurga! Apabila terlalu banyak keburukannya kita lihat, membenci dan bermusuh, kita pun memutuskan silaturrahim dengannya. Mafhum hadis nabi, “orang yang memutuskan silaturrahim tidak akan masuk syurga.Nauzubillah.

Antara lain kebaikan menghubung silaturrahim dan berkasih sayang.

Mafhum hadis Nabi s.a.w,

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim antara saudara-saudaranya.”
(HR Bukhari)


Wallahu a’lam...

10 Okt 2012

TEMPAT MUET & ATOK SASTERAWAN - A SAMAD SAID


MUET DAN ‘SILAP TEMPAT’

Dua minggu lebih baru dapat taufiq menyemak slip peperiksaan Malaysian University English Test (MUET), confident sahaja boleh ambil periksa di Sekolah Kota Kuala Muda - tempat mula-mula minta dahulu, terkejut bila dapat sekolah lain. Tak kisahlah kalau sekolahnya di sekitar Sungai Petani. Di slip jelas tertulis - SMA DARIS, YAN. Ya Allah, jauhnya. Macam mana mahu pergi ke Yan nanti. Tahu tak Tikam Batu ke Yan lebih kurang sejam perjalanan. Macam mana mahu bertolak awal-awal pagi untuk sampai pada jam 8 pagi. Dalam fikiran saya muncul pelbagai pelan ‘B’. Antaranya bertolak sebelum Subuh dan sembahyang di mana-mana masjid, ataupun tidur sahaja dalam kereta pada malam sebelumnya.

Tak puas hati. Jari terus menaip ‘SMA DARIS YAN’ pada kotak carian Google. Heh, yang keluar hanyalah Daris Sg. Jagong. Ya, Daris yang saya selalu bersapa bila hendak ke Sungai Petani Utara melalui Jalan Sungai Jagong atau ‘lingkaran Barat’. Tiada secarian pun sekolah Daris di Yan. Akhirnya semalam saya ke SMA Daris, bertanya sendiri. Minta kepastian.

Ummi nak ikut sekali, minta dibawa ke stokis MASAD. Stok MASAD di rumah sudah habis. Sesampainya di SMA Daris terus ke pejabat ke meja kerani.

“Dekat sinilah sekolah Daris-nya, kalau ikut nombor indeks memang betul sekolah Daris ni. Mereka silap di hujung - YAN.”

Alhamdulillah, lega rasanya.

“Terima kasih ya cik.”

Sepatutnya tak perlu pun fikir susah-susah. Masalah lebih besar adalah MUET 16 Oktober ni. Lagi enam hari.

KEDAI BUKU & A SAMAD SAID 

Selepas singgah di stokis MASAD, saya dan ummi terus menuju ke Hassani Bookstore. Ummi sekarang sedang minat sungguh dengan Prof Mohd Kamil. Jadi tujuannya hanya satu, untuk cari buku-buku Prof Muhd Kamil dan buku isterinya Puan Roza Roslan. Dia membawa pulang buku ini...



dan buku ini...




Saya juga mencari-cari buku-buku untuk dibawa bekal pada kelana rohani bulan November nanti - empat bulan IPB insyaallah. Terjumpa buku ini...



dan ini...



Ketika berkelintar melihat buku-buku di rak, saya hanya menemui buku Sasterawan Negara Dato A Samad Said yang banyak terdapat. Sasterawan Negara yang lain mungkin ada, tetapi oleh kerana sedikitnya saya pun tidak berjumpa. Terjentik fikiran saya.

Antara ramai-ramai Sasterawan Negara, hanya A Samad Said yang berani menyelit di celah-celah barisan rakyat yang bangkit bersuara melawan penindasan. Sasterawan Negara lain hanya diam membisu, kalau terpalit sedikit pun nama mereka cepat-cepat menafikan atau membetulkan.

A Samad Said tidak takut pula gelarannya ditarik atau keistimewaannya di’hilang’kan. Kalau diikutkan tentulah A Samad Said sudah susah ‘mahu cari makan’. Namun rezekinya macam makin murah, dan mungkin hanya dialah satu-satunya Sasterawan Negara yang paling dikenali masyarakat sehingga kanak-kanak pun mengenalinya. Dan Insyaallah dia akan terus diingati seperti pejuang-pejuang rakyat yang lain...

Wallahua'lam

26 Ogo 2012

Review Ramadhan 2012


Sudah lebih seminggu Ramadhan meninggalkan kita. Semoga semangat Ramadhan tidak luntur seperti hangat Ramdhan yang semakin suam dek rumah terbuka, kenduri walimah dan sebagainya. Bagi mereka yang soleh tentu merindui Ramadhan sedangkan bagi orang awam seperti saya tentu tidak merasakan kehilangan sangat... Sengaja saya tulis review ini, supaya semangat Ramadhan berbekas sedikit walaupun tidak sepenuhnya.

1 Ramadhan

Bulan Ramadhan tahun ini saya bersetuju menjadi imam tarawih di Surau Teluk Wang. Untuk tidak menghampakan surau kampung saya, saya menerima juga untuk mengimami tarawih di Madrasah Haji Ahmad (Kg Baru Hutan Gelam). Saya juga dijemput untuk mengimami solat tarawih di di Masjid Berapit.
Segalanya berjalan lancar dengan izin Allah. Dua orang pelajar Mahad Tahfiz Dhiaul Quran setuju untuk membantu.

Mohd Bunyamin; kacukan India/Pakistan dan ibunya Cina muallaf. Seorang yang paling tua. Sangat berdisiplin.

Rahimi; dari Sarawak sanggup datang ke semenanjung untuk belajar Hafiz dalam usia yang masih muda (14 tahun). Menunjukkan keinginannya untuk al-Quran yang sangat kuat.

Seorang lagi bekas pelajar menjadi imam tarawih di mahad tahfiz. Mohd Azril; baru menduduki ujian syahadah pada bulan dua yang lalu. Dalam ujian itu beliau membaca tiga puluh juzuk al-Quran dalam masa datu hari dengan hanya dua kesalahan. Maha suci Allah!

Surau Kecil dan Jiwa Besar Ahli Jemaah

Walau surau tersebut kecil tetapi jiwa ahli jemaahnya besar untuk mengambil imam Tahfiz untuk beribadat tarawih. Saya meneliti trend masyarakat di tempat saya. Dua atau tiga tahun sebelum ini, keseluruhan masjid di kawasan Tikam Batu sudah mula mengambil Imam Tahfiz. Bermula dengan Masjid al-Baraqah (sudah lama), mereka biasanya mengambil imam dari Patani (sila betulkan jika saya tersilap info). Masjid Pulau Sepom pula mengambil imam secara rawak dari kawasan Sungai Petani dan Pulau Pinang (Tikam Batu bersempadan dengan Kepala Batas dan Sungai Petani). Oleh itu Masjid Pulau Sepom tidak mengambil imam untuk menkhatamkan 30 juzuk seperti Masjid al-Baraqah. Masjid Berapit (dekat dengan pasar) pula sekurang-kurangnya sudah dua tahun bersungguh-sungguh menjemput imam Tahfiz sempena Ramadhan.

Setelah itu surau-surau pula sudah berminat untuk menjemput imam Tahfiz. Dalam hati saya, alangkah eloknya jika suatu masa nanti imam-imam tahfiz itu adalah anak-anak qariah sendiri. Bermakna dalam sebuah kampung sekurang-kurangnya terdapat dua atau tiga orang Hafiz al-Quran yang berani menjadi imam bahkan terlibat aktif dalam perkembangan masjid di kampung sendiri.

Di Kampung Teluk Wang, saya sungguh terharu dengan kesungguhan ahli jemaahnya. Walaupun tidak sempat berjemaah Isyak (kerana kekangan kerja atau sebagainya) – jelas apabila makmum Isyak sedikit berbanding tarawih, mereka datang juga walaupun lambat untuk bertarawih. Dan biasanya hanya dua atau tiga orang yang beredar setelah rakaat ke lapan atau ke sepuluh.

5 Ramadhan

Dalam perjalanan untuk tarawih, melihat dua suasana. Orang kampung yang berduyun-duyun dengan menaiki kereta, motorsikal, basikal dan berjalan kaki; semuanya menuju ke masjid/surau untuk merebut pahala. Di tempat lain, beberapa orang pemuda malah orang dewasa yang masih melepak dalam gelap berkumpulan. Saya bersangka baik. Tetapi perbezaan itu tetap jelas.
Saya juga mencadangkan jika boleh anggota keselamatan – polis, rela, dan sebagainya untuk mengawal lalu lintas di masjid/surau agar tidak berlaku kemalangan, lebih-lebih lagi jika masjid/surau itu berhampiran jalan. Lebih cantik jika setelah selesai tugas mereka bersama dengan orang ramai sembahyang Isyak dan bertarawih.

15 Ramadhan

Kanak-kanak yang dahulunya rajin bertarawih sudah mengikut rakan-rakannya yang lain bermain mercun. Walah, apa yang sangat membengangkan adalah mereka melontar mercun betul-betul di hadapan mihrab imam. Sangat mengganggu. Jika ikutkan hati mahu sahaja saya meluru keluar dan mencari kanak-kanak yang bermain mercun tersebut. Kalaulah di tempat saya. Ibu bapa seharusnya mengawasi anak-anak mereka. Jangan membiarkan anak-anak menggantikan ‘syaitan’ yang sudah dibelenggu.

20 Ramadhan

Suasana raya semakin terasa. ‘umpan’ kapitalis merata-rata = iklan raya + jualan murah dan sebagainya.  Tapi bagi orang yang beriman tidak menghiraukan semua itu, bagi mereka lebih nikmat beriktikaf sambil mencari Lailatulqadar.

25 Ramadhan

Semua pelajar telah pulang. Hanya tinggal saya yang akan meneruskan tarawih sehingga malam ke 29.

Saya ingin memetik kata-kata seorang ustaz dalam nasihatnya, (lebih kurang) “... kita teruskan amalan ketika Ramadhan dengan amalan-amalan yang seumpamanya seperti solat tarawih digantikan dengan taubat, hajat, witir dan tasbih. Juga berpuasa dengan puasa enam dan puasa-puasa sunat yang lain.

Tahniah kepada siapa yang telah selesai puasa enam. Tahniah juga kepada sesiapa yang sedang berpuasa enam.

19 Ogo 2012

Selamat Hari Raya AidilFitri 2012/1433



Assalamualaikum kepada semua saudara/ saudari yang membaca blog...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, Mohon Maaf Zahir & Batin...

Baru belajar pakai adobe photoshop. Cuba buat kad raya sendiri tetapi tidak menjadi. Akhirnya pinjam dahulu dari I Luv Islam. Minta halal ya...

14 Jul 2012

Bila Allah Menduga Kita


Hari tak selamanya cerah. Begitu kata orang tua-tua. Air yang tenang kadangkala berkocak. Angin yang sepoi-sepoi kadangkala menjadi ribut. Begitu dalam hidup ini, keamanan dan ketenangan yang Allah berikan tidaklah berpanjangan. Kadangkala Allah uji juga dengan cubaan yang boleh menggetarkan hati dan perasaan. Boleh menggoyahkan tapak pendirian.

“Mungkin Allah mahu kita melebihkan lagi tangis dan rayu. Air mata dan sendu. Allah suka mendengar kita menangis dan merayu.” Begitu jawab seorang ustaz yang agak terkenal ketika ditanya dalam sebuah rancangan radio, tentang anak yang tidak mahu baik-baik, jadi anak yang soleh.

             Kadang-kadang kita terlalu leka dengan nikmat yang Allah beri sehingga lupa pada pemberinya. “Allah itu maha cemburu”, kata seorang ustaz dalam sebuah ceramahnya. Allah cemburu melihat kita lebih memberi perhatian kepada selainnya (makhluk) melebihi perhatian kita kepada-Nya (Allah).

             Mujur Allah masih menegur kita. Tandanya Allah masih mengasihi kita. Kalau Allah biarkan kita dalam kelekaan, alangkah ruginya kita. Jadi muhasabahlah selalu. Betulkan yang salah dan yang silap. Sehingga Allah kembali menyukai kita selaku hambanya.

             Kalaulah Allah membiarkan kita berterusan dalam timbunan nikmat-Nya, dan Allah melekakan kita lagi dengan tambahan nikmat yang lain, itu namanya istidraj. Terus leka dalam nikmat sampai Allah membinasakan kita. Seperti Firaun, seperti Qorun, seperti Namrud. Nauzubillah.

             Kadang-kadang sebelum kita lebih jauh hanyut dalam nikmat, lebih baik ditahan dahulu nikmat itu. Sampai kita benar-benar bersedia. Hati dan jiwa. Begitulah seorang pelajar belum cemerlang dalam pelajaran, keputusan peperiksaan selalunya cuma ‘boleh tahan’ kalau pun tak ‘cukup makan’. Sudah puas berdoa dan merayu. Namun belum lagi terkabul hasrat. Mungkin Allah masih belum berikan padanya apa yang dihajati, kerana diri masih penuh dengan mazmumah. Nanti kalau keputusan baik lagi cemerlang. Jiwa yang lemah akan mudah riak, takbur dan memandang rendah orang lain – mazmumah pendek kata. Allah mahu kita kikis dahulu mazmumah itu.

            Suka saya berkongsi pendapat seorang Ustazah tentang ibu bapa yang memiliki anak-anak yang cemerlang, cuma seorang sahaja dari anak-anaknya yang ramai itu yang kurang cemerlang. Kata si Ustazah, “Mungkin kalau si ibu dan ayah itu, semua anaknya cemerlang, ibu dan ayah tadi jadi bongkak, ‘Oh akulah yang berjaya mendidik anak-anak aku sehingga semua berjaya, semua cemerlang.’ Tapi kerana 
kurang pada yang seorang ini, si ibu dan ayah tadi lebih banyak masa bermunajat dan mengadu pada Allah.”
 Kadang-kadang Allah letakkan kita di sesuatu tempat yang kita tidak suka, mungkin ada kebaikan untuk kita. Mungkin di sana ada orang yang baik untuk kita belajar darinya. Mungkin di sana Allah akan membersihkan mazmumah di hati. Siapa tahu?

Firman Allah

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah:216)

             Maka bersangka baiklah kita kepada Allah. Dan orang yang hebat itu akan mencipta peluang dari masalah. Orang yang bodoh pula mencipta masalah dari peluang yang ada. Allah lebih mengetahui.

Ya Allah,
ampunkan aku ini,
berterusan dalam ghaflah,
hingga kau menggoyangkan dahan-dahan hatiku,
dengan ribut kemurkaanmu.
Berkocak kolam hatiku,
dengan titisan air mata,
merembes ke tepian sejadah,
pengaduanmu.

Dalam gundah, 15 Julai 2012

31 Mac 2012

Hakikat Kelkatu


Malam tadi hujan turun, walau tidak lebat, tetap basah juga jalan berturap di hadapan rumah. Ketika mahu mengerjakan solat Subuh di surau, kelihatan banyak benar kelkatu merayap di atas tanah menuju ke arah cahaya lampu kalimantang yang benderang di surau. Terlintas dalam fikiran yang kelkatu-kelkatu itu baru sahaja keluar dari sarangnya. Saya membantu jemaah surau menutup lampu di dalam surau dan membiarkan ratusan kelkatu bermain cahaya di luar surau sahaja.
            Melihat kelkatu yang tidak cekap terbang, mudah jatuh dan memiliki sayap yang senang bercerai dari abdomennya membuatkan saya merasakan tidak ada apa-apa ancaman yang di bawa oleh makhluk Allah ini, tidak sehingga saya mengetahui hakikat sebenar. Apa itu kelkatu? Dari mana datangnya? Apa tujuannya terbang beramai-ramai terutama selepas hujan?
            Hakikatnya kelkatu adalah permulaan kepada koloni anai-anai. Kelkatu merupakan salah satu kasta anai-anai yang dikenali sebagai alate. Kasta ini bertanggungjawab dalam pembiakan anai-anai. Kelkatu betina bakal menjadi ratu begitu juga dengan kelkatu jantan bakal menjadi raja.

            “ hakikatnya kelkatu adalah alate anai-anai”

            Ketika proses mencari pasangan dan kemudian mencari lokasi yang sesuai untuk membiak, kelkatu akan menanggalkan sayapnya. Justeru sejurus selepas kelkatu terbang mengerumuni lampu (atau sumber cahaya lain), banyak sayap kelkatu yang tinggal di lantai.
            Harus di awasi, apabila banyak kelkatu yang keluar, itu tandanya beberapa koloni baru anai-anai akan muncul dan bakal menjadi ancaman kepada harta benda untuk jangka masa beberapa tahun akan datang.

LAGI TENTANG ANAI-ANAI      

            Anai-anai adalah makhluk Allah yang hidup dalam koloni. Dalam sesebuah koloni anai-anai terdiri dari permaisuri, raja, askar dan pekerja. Makanan utama anai-anai kebanyakannya terdiri dari benda-benda mati dari tumbuhan seperti kayu, dedaun, tanah dan najis haiwan.
Untuk tujuan pembiakan, permaisuri dan raja memainkan peranan yang amat penting. Permaisuri tugasnya adalah untuk bertelur dan jangka hayatnya lebih kurang 45 tahun. Permaisuri mampu bertelur sehingga 2,000 butir telur sehari. Badan seekor permaisuri anai-anai mampu untuk membesar berkali ganda dari saiz badannya yang asal. Hal ini juga adalah antara sebab permaisuri tidak mampu makan sendiri tetapi diberi makan oleh pekerja. Raja mengelilingi permaisuri untuk mengawan. Apabila saiz koloni dan jumlah makanan di dalam sesuatu koloni tidak seimbang. Alate (kelkatu) akan keluar dari koloni untuk menubuhkan koloni yang baharu. Alate boleh bepergian sehingga 100 meter.

“ permaisuri mampu bertelur sehingga 2,000 butir telur sehari,
hidup selama 45 tahun...

Askar mengesan dan mengawal sumber makanan selain daripada melindungi koloni dari serangan musuh terutamanya semut. Stuktur biologi askar memungkinkan tugasnya. Askar anai-anai memiliki rahang yang besar sehingga tidak mampu makan sendiri, juga disuap oleh pekerja. Sesetengah spesies anai-anai, askarnya ada yang memiliki cecair berbisa sebagai langkah melindungi koloni.  
Pekerja pula merupakan majoriti penghuni koloni dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk ‘menyuap’ anggota koloni yang lain. Antara pekerjaan lain yang dilakukan adalah mencari makanan, menyimpan makanan, mengeram telur, menyelenggara busut, dan sebahagian kerja-kerja melindungi koloni.
Menariknya bagi anai-anai yang berkasta askar dan pekerja, mereka adalah buta kecuali pekerja yang tidak sempurna menjadi alate. Pekerja ini selain melakukan pekerjaan-pekerjaan umum juga boleh menggantikan anai-anai reproduksi (bertelur dan mengawan). Anai-anai yang memiliki penglihatan yang sempurna adalah alate. Anai-anai pekerja dan anai-anai askar adalah mandul.

“ askar dan pekerja anai-anai buta dan mandul...


SPESIES ANAI-ANAI

            Walaupun terdapat kurang lebih 180 spesies anai-anai di Malaysia daripada keseluruhan 4,000 spesies, hanya beberapa spesies yang menyebabkan kerosakan harta benda. Menurut satu sumber, 80-90% kerosakan harta benda di Malaysia dan di Singapura diakibatkan oleh anai-anai spesies Coptotermes gestroi. Coptotermes curvignathus memakan pokok hidup. Coptotermes gestroi dan Coptotermes curvignathus adalah Subterranean termite iaitu anai-anai yang hidup di bawah tanah. Cryptotermes pula adalah anai-anai yang memakan daun-daun kering. Disamping anai-anai ini terdapat ratusan lagi spesies anai-anai yang tak mungkin dapat disenaraikan dalam blog yang sederhana ini.



            “ 80 – 90 % kerosakan oleh Coptotermes gestroi 

Coptotermes Gestroi: 80 - 90% kerosakan di negara ini oleh anai-anai berpunca dari spesies ini. yang berwarna putih seluruh badan adalah pekerja manakala yang berwanrna gelap kepalanya adalah askar. (sumber: termiteweb.com)
Captotermes Curvignathus: anai-anai pemakan pokok. Lebih kurang sahaja bentuknya dengan yang atas. (sumber: termiteweb.com)   
Alate dan dialate Coptotermes Gestroi


              Bila melihat gambar kelkatu kat atas lega rasanya kerana tidak sama seperti kelkatu yang di surau tadi - merah dan besar seperti tebuan tanah. Risau kalau-kalau roboh surau digerit anai-anai. Apa-apa pun semua ini menggambarkan akan kehebatan dan keagungan pencipta kita dan pencipta anai-anai – Allah. Subhanallah.

13 Feb 2012

Dingin Diatas 1200km

            Setelah lawatan ke Celcom Center (usai lebih kurang pukul 1 tengah hari), kami (26 pelajar bersama seorang pensyarah pengiring) meneruskan perjalanan ke Tanah Tinggi Cameron. Perjalanan yang lebih kepada rehlah itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan pensyarah subjek Perhubungan Mudah Alih selain untuk berehat setelah penat menekuni pelajaran.
            Untuk menuju ke daerah di mana Jim Thompson hilang ini, kami perlu melalui bandar Simpang Pulai dan menyelusuri jalan sejauh 70km selama kurang lebih sejam. Walaupun memakan masa yang agak lama, namun perjalanan tidak terasa jauh dek kerana teruja ditambah dengan panorama semulajadi di sepanjang perjalanan. Sangat mempersonakan menyusuri hutan yang masih dara, tidak diceroboh orang.

Pemandangan hijau yang tak menjemukan

Lagi pemandangan yang hijau

Mungkin sudah di kemuncak. Melihat ini pun sudah terasa dingin. Sekurang-kurangnya dingin pandangan.

Berada lebih 1200 meter dari aras laut, membuatkan iklim di Tanah Tinggi Cameron sangat berbeza dengan iklim di tanah rendah. Suhu di sini pada siang harinya sekitar 25 darjah Celcius dan pada malam hari suhu boleh jatuh sehingga 12 darjah Celcius. Suhu yang rendah di tanah tinggi ini membuatkannya sesuai untuk pelbagai tanaman beriklim sejuk antaranya buah strawberi, pohon teh dan bunga teluki.
Oleh sebab kawasan ini menjadi tumpuan ramai orang untuk melancong, kegiatan penduduk di sini lebih tertumpu kepada perkhidmatan pelancongan seperti perkhidmatan rumah tumpangan dan restoran. Selain itu juga aktiviti pertanian giat dijalankan. Walaubagaimanapun, aktiviti pertanian yang dijalankan banyak juga untuk menyokong industri pelancongan di sini – menjual buah-buahan dan sayuran eksotik kepada pelancong.

Sekeping gambar yang menceritakan hampir segalanya tentang Tanah Tinggi Cameron. Hotel Equatorial dan kebun-kebun sayur di lembahan gunung. Berlatarkan rumah tumpangan dan banjaran gunung.

Kebun Tomato kepunyaan orang Melayu

Tanaman Strawberi secara hydroponic di sebelah rumah penginapan kami.

Tanaman Strawberi di Strawberi Farm

Kebun sayur

Semakin hampir dengan Tanah Tinggi Cameron, pemandangannya agak mengejutkan. Berbeza sekali dengan apa yang kami lihat dalam perjalanan. Menjelekkan sekali melihat sampah sarap di dalam sungai yang tersekat-sekat alirannya. Guni plastik yang banyak terdapat dalam sungai seperti datang dari aktiviti pertanian – teringat guni baja padi. Agak kesal menjadi manusia.
            Sejurus tiba di Tanah Tinggi Cameron pada jam 4 petang, kami terpaksa terus menuju ke hospital kerana salah seorang dari ahli rombongan tiba-tiba jatuh sakit. Kami terpaksa berada di sana selama hampir dua jam sementara doktor merawat rakan kami tersebut.
            Setelah makan malam di Tanah Rata, kami menuju ke bilik tumpangan kami. Dua bilik dengan dua katil bersaiz queen ditambah beberapa buah tilam lagi membuatkannya agak selesa didiami untuk 13 orang pelajar lelaki dan 13 orang pelajar perempuan di bilik bersebelahan. Bilik kami betul-betul berhadapan dengan ladang strawberi sehingga kadang-kadang kami dapat menghidu harum strawberi apabila berjalan di sebelah ladang tersebut.

28 JANUARI 2012

            Suhu di waktu pagi sangat dingin sehinggakan nampak seolah-olah asap keluar dari mulut apabila bernafas. Fenomena ini sebenarnya terjadi apabila wap yang hangat dari dalam paru-paru terlepas ke permukaan yang sangat sejuk. Salah seorang dari rombongan kami berteriak keterujaan apabila berjaya mengeluarkan ‘asap’ dari mulutnya.
            Setelah bersarapan, kami tidak melepaskan peluang merasa dingin air tanah tinggi. Sangat dingin seolah-olahnya mengalir dari peti sejuk. 45 km dari tempat kami menginap adalah Hutan Lipur Air Terjun Parit.
            Kami makan tengah hari di Tanah Rata dan menyambut ketibaan ‘orang besar’ yang tertinggal di Pulau Pinang. Setelah itu kami dibawa melawat ke ladang teh Bharat. Ladang teh yang jumlah keseluruhan kawasannya seluas 1,600 ekar diasaskan pada tahun 1933. Bharat Plantation merupakan penanaman teh yang kedua terbesar di Malaysia setelah BOH Plantation. BOH Plantation diasaskan oleh usahawan British J.A. Russel sedangkan Bharat Plantation pula diasaskan oleh pedagang dari Agra iaitu sebuah bandar di Uttar Pradesh, India.

Ladang Teh Bharat

Lagi ladang teh Bharat

            Pedagang tersebut adalah Shuparshad Bansal Agarwal yang pada mulanya datang berhijrah ke Taiping, Perak untuk membantu perniagaan bapa saudaranya. Ladang Teh Bharat kemudian diambil alih oleh anak Shuparshad iaitu Dato Brijkishore Agarwal (1929-2006). Dengan menggunakan tanda dagangan ‘Cameron Valley’, Bharat Plantation kini menghasilkan teh bermutu tinggi dari teh jenis Camellia sinensis.
            Setelah itu kami melawat ladang tanaman strwberi. Di sini pengunjung bukan sahaja boleh mendekati tanaman sayuran dan buah strawberi yang ditanam secara hydroponics bahkan pengunjung juga boleh memetik sendiri buah-buah strawberi yang ranum. Sayangnya harga untuk buah-buah strawberi petik sendiri ini terlalu mahal, setengah kilo berharga RM25. Lebih baik beli yang sudah siap dipetik. Di hujung ladang ada sebuah kedai cenderamata dan restoran yang rasanya lebih tepat dipanggil ‘bakery’. Di sini dijual produk-produk roti bersama buah strawberi atau strawberi sahaja seperti strawberi dengan cream dan yogurt dengan strawberi. Yang menarik adalah strawberi yang digunakan pastinya yang segar dari ladang. Malangnya agak was-was mahu makan di sini kerana tiada kelihatan sijil halal oleh JAKIM. Solusinya beli sahaja sebungkus strawberi dan nanti balik boleh minta ibu buatkan apa-apa resepi di rumah.
            Pada malamnya pula kami mengadakan BBQ. Antara ‘yang dibakar’ adalah daging kambing, ayam, sosej, jagung manis yang ditanam di Cameron dan juga ubi. Oh ya, jagung di sini boleh di makan mentah dan kebanyakan pekedai menawarkan kepada pelanggan untuk merasa dahulu kemanisan jagung yang dijual mereka.

29 JANUARI 2012

            Pelajar-pelajar lelaki masih lagi berbungkus di dalam comforter tebal. Hujan malam semalam membuatkan pagi ini lebih dingin dari pagi semalam. Puan Norhayati sudah menanti di ‘dapur’ menunggu air masak untuk dibuat sarapan.
            Setelah bersarapan kami bersiap untuk meninggalkan chalet. Bas tiba kurang lebih jam 10 pagi. Kami bertolak ke tempat membeli-belah. Kawasan membeli-belah ini seperti pasar pagi dan kedai-kedai kecil dibina disepanjang jalan utama. Banyak sayur-sayuran yang segar yang baru dipetik boleh didapati selain daripada buah-buahan dan jagung. Selain itu juga pengunjung boleh membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Coklat dan teh juga dijual dengan harga yang murah.
            Jam 12 tengah hari kami pun meninggalkan Tanah Tinggi Cameron. Ketika melalui Ipoh kelihatan bukit-bukit batu kapur yang gondol. Seolah-olah seperti diratah dan dilahap oleh rasaksa. Bukit-bukit itu tidak kelihatan seperti bukit lagi melainkan seperti longgokan ketulan-ketulan batu yang besar. Dari kejauhan masih ternampak Tanah Tinggi Cameron sayup-sayup. Dalam bas tidak senang duduk kerana teringatkan sungai yang tercemar dan misteri kehilangan Jim Thompson.

            Dalam selimut baldu hijaumu,
        bukan sahaja tersorokan kepingan tanah
-          merah, gambut, ketulan batu
        bahkan,
        terselit seribu satu misteri,
        dan seratus satu sejarah,
       
        Kau sembunyikan ‘orang-orang kami’,
        dan yang kami sedari adalah ketika kau 
                menyorokkan Jim Thompson.

        Ketika ku di gigi air dinginmu,
        baru ku mengerti,
        dalam ragu,
        (kerana kau memang perahsia)
        sungaimu seperti aliran air matamu,
        membawa seribu derita
-          plastik, sampah, sarap
               
        Mungkinkah kau ingin menebus 
                kesakitanmu dengan mengambil 
                ‘orang-orang’ kami?
        yang bernilai US Dolar 100,000 itu,
        dan RM 100,000,
        pada tahun 30-an,

        Ketika ku di gigi air kau menggigit 
                 kakiku lagi,
        mungkinkah kau menagih simpatiku...
           
            Perjalanan ke Tanah Tinggi Cameron pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan malah akan tetap dirindui oleh para pelajar Perhubungan Mudah Alih semester ini.