Halaman

24 Jan 2011

Mahu Belajar Engineering?

Harapan para pelajar engineering...       http://blog.makezine.com

Masa dibangku sekolah rendah, macam-macam cita-cita, saintis lah, pensyarah lah, profesor lah... akhirnya saya terdampar di UiTM ni. Menuntut ilmu kejuruteraan elektrik. Baru diploma. Kalau berjaya habis pun baru boleh jadi technician. Tapi ingat lagi, dulu bersemangat betul saya mahu jadi jurutera beriman yang berjaya dunia akhirat. Begitu juga dengan ribuan rakan-rakan yang sama-sama mendaftar.

SEMESTER SATU bolehlah buat berlagak. Kebanyakan pelajaran cumalah revision kepada pelajaran masa di sekolah dulu. Ramai yang dekan. Ramai juga yang tak boleh score sebab sambil lewa sahaja belajarnya.

SEMESTER DUA sudah mula pelajarannya serius sedikit. Namun cuma acah-acah saja. Ramai lagi yang masih mempertahankan dekan. Tapi ada juga yang sudah mula surrender. Katanya "Aku ingat aku dah tak boleh sambung degree lah."

SEMESTER TIGA barulah menguji. Itupun masih acah-acah. Ramai juga yang sangkut. Tapi bagi mereka yang tekun adalah 'dean's list'.

SEMESTER EMPAT, "serius beb". Sudahlah banyak pelajaran sem lalu yang dibawa ke sem ni, pelajaran sem ni pun susah "nak mampos", kata mereka. Masa ni makin ramai yang surrender dari bercita-cita mahu sambung degree lagi. "Lepas Diploma sudahlah..."

SEMESTER LIMA...

SEMESTER ENAM...

saya tak pandai meramal.

Seloroh saya pada seorang teman;


Teman Saya: Kenapa tak bawa laptop?
Saya: Tinggal kat rumah.
Teman Saya: Kena bawa laptoplah. Penting untuk student engineering.
Saya: Tak ada laptop pun boleh belajar.
Teman Saya: Penting nanti nak jadi engineer.
Saya: Nak jadi engineer tak payah ada laptop pun. Paling penting benda kena ada untuk jadi engineer adalah otak...

Kononnya nak memudahkan buat assignment, belajar, buat report... maka belilah laptop yang canggih sikit. Tapi laptop itu dipilih daripada senarai laptop untuk game yang canggih-canggih. Dari senang belajar tak ada laptop, susah pula belajar bila dah ada laptop. Game, facebook, movie Hollywood, Bollywood, Melayu, Korea, Indon, Blue, White, Black (semua ada dalam external hard disk 1 terabyte)...

Susah pula naik bas hari-hari. Tak efficient kononnya. Kita cari motorlah. Murah-murah sudahlah. Tapi motor yang paling murah adalah LC Yamaha. Harga: >6k. Dah ada motor susah pula nak duduk belajar. Asyik nak berjalan sahaja.

Bila hujung semester baru teringat duit dah habis. Beli laptop dan motor pun berapa banyak dah hutang. itu belum lagi baju dan seluarnya. Yang perempuan tentu kena ada aksesori. Lapar... Nak makan apa murah. Solusinya beli mee plastik jenama maggi sebungkus. Hari-hari makan megi... Kalau ada duit lebih boleh lepak McD. Tak pernah makan seimbang. Otak pun jadi mereng. Alahai... macam mana nak jadi engineer ni.

Ingat. Nak jadi engineer kena ada otak. Nak jadi engineer kena rajin jalan-jalan dalam perpustakaan. Nak jadi engineer kena makan makanan seimbang...

Tiba-tiba tanganku menarik telinga sendiri ke meja studi. Belajar! belajar! belajar! Asignment ESE belum siap, esok ada kuiz dan lab report belum siap...

Nak jadi engineer ke?

18 Jan 2011

Sebuah Analogi: 27 Pahala Sembahyang Berjemaah Itu Baru Gaji Asas...

Berjemaah ketika di Ijtimak.       Sumber Gambar: Ziarah76

Ramai yang telah maklum akan pahala sembahyang secara berjemaah. Banyak pulak tempekan kertas di sana sini menceritakan fadilat sembahyang jemaah adalah 27 kali lebih afdal dari sembahyang bersendirian. Di laman web ini dan laman web itu semuanya bercerita tentang fadilat ini.
Diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin Umar r.anhuma bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya solah berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solah bersendirian." (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)
Rasanya tidak terlalu melampau kala saya analogikan fadilat ini dengan 'gaji asas' untuk orang yang berjemaah. Jika fadilat ini 'gaji asas', terdapat pula fadilat-fadilat yang lain disamping fadilat ini, untuk mereka yang rajin berjemaah, berjemaah di masjid, merapatkan saf dan banyak lagi. Jikalau fadilat '27 kali ganda' ini gaji asas, fadilat-fadilat lain itu bonusnya...

Antaranya adalah,
Diriwayatkan daripada Hazrat Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang mengerjakan  solah berjemaah kerana Allah swt dengan memperoleh takbiratul-ula selama empat puluh hari akan mendapat dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik." (Hadis riwayat Imam Tarmizi)
dan lagi,
Diriwayatkan daripada Hazrat Sahl bin Sa'ad as-Sa'idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda, "Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan memperoleh nur yang sempurna pada hari kiamat." (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah) 
Belum cukupkah lagi untuk menjadi pendorong kita berusaha ke arah sembahyang jemaah di Masjid. Banyak lagi fadilat yang Tuhan yang maha Rahman sediakan kepada orang yang sanggup bersusah payah sedikit sembahyang berjemaah di masjid. Bagaimana dengan keampunan, rahmat dan pahala untuk setiap langkah ke masjid. Bagaimana dengan rahmat yang dibawa pulang ke rumah/kediaman dari masjid...

Jika begitu, patutlah saidina Umar r.a mengatakan kepada ibu Hadrat Sulaiman,
"Aku lebih suka bersembahyang Subuh secara berjemaah dari sembahyang sepanjang-panjang malam."
Sebenarnya saksi nabi kepada orang yang mengimarahkan Masjid sebagai orang yang beriman sudah memadai...

Walau bagai mana hebat pun pahala yang dijanjikan Allah, jika iman kita lemah, kita masih tegar memilih untuk terus menghadap komputer, atau terus menekuni tutorial, atau terus melayani kawan-kawan dan membiarkan azan berkumandang tanpa disahut dengan pergi menuju ke masjid/ musolla/ surau/ madrasah...
 

Aku Teringin Baca Interlok

Sumber Gambar: http://www.malaysiakini.com
Menyesal saya tidak sempat membaca novel Interlok karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Tahu-tahu buku tu dah dibakar oleh 100 orang India... Bukan sahaja membakar buku, mereka malah membakar gambar Abdullah Hussain.

Hairan juga saya bagaimana buku yang telah lama pun dijadikan teks KOMSAS, sekarang baru hendak dibakar dan dibising-bising. 

Novel Interlok telahpun diterbitkan lebih kurang 40 tahun. Ia merupakan dokumen sejarah yang memaparkan senang susah kehidupan awal kemerdekaan dahulu. 

Rasanya dengan membakar buku tidak akan menghilangkan 'pariah'. Apatah lagi membakar buku berbentuk ilmiah yang pernah mendapat anugerah dan juga membakar gambar tokoh negara. Untuk menghilangkan 'pariah' seharusnya kita perlu banyak membaca bahan-bahan bermutu, bukan sekadar membaca Fasha Sandha berbikini dalam Kosmo!. 

Saya menyeru rakan-rakan satu Malaysia tak kira apa pun bangsa, mari kita membaca buku-buku bermutu agar tidak tercampak ke lembah pariah.

12 Jan 2011

Nasi Ekonomi Kedai Syarifah

Langit sudah hampir berwarna kuning. Tanda tidak lama lagi akan dilabuh tirai malam menutup hari. Burung terbang balik ke sarangnya sekawan demi sekawan. Begitu juga para penghuni Pangsapuri Idaman berbondong-bondong balik memandu kenderaan masing-masing, menyusunnya pada petak-petak parkir. Saya, Hakim dan Azrul pula melangkah ke deretan kedai makan yang semakin ramai oleh pelajar-pelajar universiti dan orang tempatan yang mengunjung. Tujuan kami adalah kedai makan yang diapit rantaian Seven Eleven dan sebuah kedai runcit.

Entah mengapa kedai itu lebih dikenaliku dengan 'Kedai Syarifah'? Jangkaku kerana mak cik yang menjaga kedai tersebut bernama Syarifah. Kedai itu kedai yang diusahakan anak beranak sekeluarga. Terbahagi kepada dua, sebuah kedai makan dan sebuah lagi bahagian yang lebih kecil kedai photostat dan kedai top up. Anaknya yang perempuan apabila ada di Permatang Pauh (anak-anaknya ramai yang belajar sehingga ke universiti, termasuk seorang baru masuk UiTM Pulau Pinang), selalu membantunya di kedai makan. Anak lelakinya pula membantu di kedai top up.Walaupun suaminya turut memantau perjalanan bisnes, hanya mak cik Syarifah yang agak menonjol.

Kami bertiga duduk menanti pelayan mengambil pesan. Menu kami seperti semalam-semalam juga, nasi putih berlaukkan telur dardar dan berkuahkan sup kosong. Murah, sedap lagi mengenyangkan. Kami bertiga setuju, kerana itu kami adalah antara pengunjung yang setia mengunjung dan memesan 'Nasi Ekonomi Syarifah'. Nasi Ekonomi juga kami panggil Nasi Gawat dan Nasi Bujang. Aku menggabungnya menjadi 'Nasi Bujang Ke'Gawatan' Ekonomi.'

Pelayang yang datang mengambil pesan nampaknya pelayan baru. Perkara biasa di kedai Syarifah ini adalah pekerjanya sering bertukar, mungkin kerana dia selalu memarahi pekerjanya. Memang mak cik Syarifah ini agak garang sedikit. Suaminya juga turut dimarah. Pelayan baru yang datang ini nampak tidak biasa dengan menu di kedai. Kami memesan.

Azrul, "Nasi Bujang satu."

Aku, "Nasi Ekonomi satu."

Hakim, "Nasi Gawat."

Lurus betul pelayan tadi. Dia ke dapur lantas memesan, "Nasi Bujang satu, Nasi Ekonomi satu, Nasi Gawat satu." dengan pelat dia menjerit.

"Kah... kah... kah..." Kami dengar kuat benar tukang-tukang masak ketawa dengan terbahak-bahak di dapur. Si pelayan tercengang-cengang. Kami tak berani melawan renung Mak Cik Syarifah yang tajam bagai hendak menikam kami.

3 Jan 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Selamat Tahun Baru 2011



Selamat?

'indicator' selamat...


Selamat - kalau azam pada 7 Disember dulu (1 Muharram lah) azam untuk mempertingkatkan agama (iman dan amal.

Sangat selamat - kalau azam pada 7 Disember dulu (1 Muharram lah) azam untuk tingkatkan agama dan azam 3 hari yang lepas pun azam untuk tingkatkan agama.

Mudah-mudahan selamat - kalau azam pada 7 Disember dulu (1 Muharram lah) azam untuk tingkatkan agama dan azam tiga hari lalu untuk upgrade dunia.

Tak tau nak jadi apa - kalau tiga hari yang lalu azam untuk upgrade dunia dan 7 Disember dulu (1 Muharram lah) azam untuk dunia dia jugak...

Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka...


Sebagai ummat Islam, aku menasihati diri sendiri, agar :- setiap hari perlu memastikan dirinya menjadi baik, tidak cukup sekadar menanti akhir tahun, kerana belum pasti dapat sampai ke sana...