Halaman

30 Sep 2010

Jeans Lusuh Seorang Mahasiswa

Ketika minggu orientasi UiTM, ada seorang pelajar yang bertanyakan tentang seluar jeans, "Boleh pakai seluar jeans tak abang?"

Dengan sengih sehingga ke telinga, fasilitator juga dikenali sebagai 'pembantu minggu siswa' iaitu seorang senior jawab dengan sindiran, "Ini bukan sekolah dik, ini universiti."

Tidak pula saya berasa hairan dengan soalan yang nampak seperti tidak bijak itu kerana rasanya mana-mana sekolah pun terutamanya sekolah berasrama penuh menyenaraikan seluar jeans dalam senarai barang-barang larangan. Hal inilah yang mungkin membentuk persepsi remaja sekolah tentang jeans. Dan persepsi itu dibawa ketika baru mula melangkahkan kaki ke universiti.

Apabila mengetahui mereka kini agak bebas, mereka menghela nafas lega kerana boleh menggayakan apa sahaja. Lebih-lebih lagi mereka boleh mengikut fesyen arus perdana. Terutamanya gaya kasual, dipadan dengan seluar jeans.


APA SALAHKAH MEMAKAI JEANS


Pakaian apa pun terikat dengan adab-adab yang telah diajar agama.

1. Aurat.
Aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali wajah dan tapak tangan manakala aurat bagi lelaki pula adalah antara pusat dan lutut. Untuk memelihara diri dari 'berpakaian tapi telanjang' seharusnya  wanita dan lelaki muslim memakai jeans yang tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badannya. Lagipun memakai seluar jeans yang terlalu ketat membuatkan sesiapa yang melihat merasa sakit kangkang.

Ada juga yang sengaja
melubang jeansnya.
(Kredit Gambar:  http://images.
marthastewart.com)





Selain itu biasa juga kita melihat seluar jeans yang berlubang pada lutut. Ingatlah bahawa ianya adalah aurat kita, sama ada lelaki lebih-lebih lagi wanita. Oleh sebab universiti mengutamakan kekemasan dan keterampilan, seluar yang berlubang diperosok di dalam almari. Nanti akan dipakai bila berjalan pada musim cuti.

Agak menyedihkan juga bila sembahyang di surau kampus. Seorang siswa yang sedang sujud hampir-hampir mendedahkan punggungnya lantaran bahagian atas seluar jeansnya sangat singkat. Sudahlah begitu, bajunya juga terlalu kecil. Mujur ada seluar dalam yang menghalang pandangan. Namun begitu, terdapat juga segelintir siswa yang malah menampakkan pangkal juburnya. Bagaimanakah dengan sembahyangnya? Hairan, tidak perasankah dia?

2. Kesucian
Antara alasan utama para siswa memilih jeans daripaa fabrik jenis lain adalah kerana ianya tidak perlu dibasuh selalu. Hal ini kerana menurut mereka, jeans tidak berbau walaupun sudah dipakai berbulan-bulan. Bagi mereka banyak masa boleh diperuntukan untuk pelajaran. Memang tidak bahawa belajar di IPT sangat meletihkan, letih dengan belajar dan tugasan, assignment, kuis dan ujian.

Masalahnya adalah segelintir rakan-rakan yang tidak pernah membasuh jeans kusamnya semenjak baru dibuka plastiknya. Masih bersih dan suci lagikah jeans yang tidak dibasuh berbulan-bulan, walaupun tidak berbau. bukankah kebersihan itu sebahagian ajaran agama?

MENGAPA JEANS?

Mengapa Jeans? Mungkin kerana jeans merupakan budaya dan fesyen terkini yng dipilih oleh rakan-rakan saya. Mengenai akhlak dan etika pemakaian, sama sahaja denim dengan fabrik-fabrik lain. Yang utamanya adalah kita berpakaian untuk menutup aurat.

Pakaian Denim telahpun menawan dunia.
(Kredit Gambar: http://wallpaperslife.files.wordpress.com)




Adakah saya membenci jeans? Tidak. Tiada alasan untuk saya membencinya. Mungkin saya adalah seorang dari peminatnya. Bukan semua yang kurang sempurna pakaiannya, ada juga antara kita yang sopan dalam berpakaian, walaupun selalu mengenakan jeans.

Sudah ada jubah untuk wanita daripada fabrik denim.
(Kredit:http://sphotos.ak.fbcdn.net) 

20 Sep 2010

SALAM AIDILFITRI


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Masih belum terlambat mengucapkan salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Ramai pelajar sekolah dan IPT yang sudah kembali mula belajar. Ibu bapa pun ramai yang sudah bekerja. Walaubagaimanapun, rasanya pelajar-pelajar sekolah puas bercuti kerana cuti agak lama. Ada yang mendapat cuti dua minggu. Semoga selepas ini dapatlah memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan akhir tahun.

Aku bersama adik-adikku ber'posing' di luar rumah kerana pagi raya tidak meriah - tidak pulang ke kampung dan kakak-kakakku tidak pulang lagi ke sini. Tidak mengapa, petang raya ketiga nanti kakaku yang sulung dari Tampin akan datang bersama keluarganya. Kasihan kakakku yang kedua, terpaksa berhari raya di Hospital Seremban. Pengorbanan demi tugas sebagai seorang doktor pakar sakit puan. Suami dan anak-anaknya pula pergi berhari raya ke Terengganu.

Beraya bersama umi dan abah selepas sembahyang raya


Di tepi 'kolam' 



(Dari Kiri Belakang) Abang Mat Sukses, Ikram dan Afwan
(Dari Kiri Depan) Atikah dan Hakim



3 Sep 2010

Mereka, Mereka dan Aku

Aku baru pulang dari bertarawikh di Pusat Islam kampus UiTM. Berjalan dalam gelap antara bangunan perpustakaan yang baru dibina dan kolej kediaman siswi. Tarawikh di Pusat Islam hanya lapan rakaat tambah tiga rakaat witir, kerana itu belum pukul sepuluh lagi sudah habis. Bangunan hotel melantunkan suara ceramah antara tarawikh di Masjid Batu. Berselang seli dengan bacaan surah al-Ikhlas oleh imam di Masjid Papan.

Masjid Papan dan Masjid Batu cuma dipisahkan oleh sebatang jalan yang menghubungkan Permatang Pauh dan Sungai Dua dan sentiasa sibuk. Pada zahirnya memang dipisahkan oleh sebatang jalan namun pada hakikatnya dipisahkan oleh aliran ideologi politik. Suara yang tegas lagi lantang bergema lagi dari celah-celah bangunan Hotel UiTM. Aku tahu ceramah agama yang disampaikan oleh siapa sahaja ustaznya itu meresap masuk ke setiap roma ahli jemaah, bersamanya terserap ideologi-ideologi parti dan harakah Islami.

Aku juga pernah sembahyang Jumaat di sana mendengar khutbah dari seorang ustaz. Oleh kerana hadir lambat, aku terpaksa duduk ditepi ruang wuduk yang sudah pasti basah. Orang yang menghadirinya ramai tak terkata. Sebenarnya khutbah Jumaat di masjid ini dua minggu sekali sahaja. Minggu depan akan dibuat di Masjid Papan. Aku tidak tahu adakah keadaan di Masjid Papan sama seperti Masid Batu atau biasa-biasa sahaja. Namun baru-baru ini aku dimaklumkan atau ditakutkan, jika kesana lagi akan ada mata yang mengintip seterusnya tindakan disiplin akan dikenakan oleh UiTM. Aku mendengar dengan separuh minat sahaja. Ahh… Akupun bukannya minat sangat menerima dan menjaja ideologi-ideologi… Tapi ada kebenarannya juga, kerana sangkaku kerajaan perlu melakukan itu demi ‘survival’ hidupnya yang semakin terdesak.
Di tengah-tengah kegelapan dan antara desakan ideologi islami pembangkang dan kekangan ‘survival’ kerajaan, aku terus melangkah ke kereta Kancil hijauku. “Pommm” aku tak pasti sama ada kanak-kanak, remaja, pemuda atau orang dewasa yang bermain mercun. Tetapi seolah-olah dia tidak terkesan langsung dengan ideologi islami pembangkang mahupun desakan ‘survival’ kerajaan... Aku? Aku punya arahku sendiri, ke kereta Kancil hijau di hadapanku.