Halaman

12 Jan 2010

Kembara Mujahadah

Kembaraku di rimba mujahadah
bukanlah perjalanan mudah
berat nafsuku melangkah
memijak duri-duri tarbiah
air yang mengalir deras
dari  mata yang membengkak
membasuh segala keladak mazmumah.

Tekadku menyelongkar rimba mujahadah
mengutip benih-benih takwa
untuk ku semai di perbatasan jiwa.

Biar merimbun pohon mahmudah
menjadi teduhan yang nyaman
dari terik bara neraka.

Ingin ku kecap manis buahnya nanti
dalam taman firdausi.

Hafizuddin Ali
10:30pm, 11 Januari 2009

Dewan Siswa
April 2010


Ramai rakan-rakanku yang sama-sama menumpang 'bahtera MPR' telah menulis dalam blog mereka tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang bahtera itu berlayar di persisiran pantai Port Dickson. Tinggal aku belum menulis tentang program itu. Ramai rakan-rakanku yang bercerita tentang suka duka, tentang teori teorem tentang pesan dan nasihat dan sebagainya. Biarlah aku ingin menulis tentang perkara lain pula...

25 Disember,
Hari Pendaftaran
Kakakku yang bersemangat itu membawaku sehingga ke kaunter pendaftaran. Aku selalu bimbang melalui jalan-jalan di kota Kuala Lumpur. Sudah berapa kali aku sesat jalan. Malah aku amat risau dengan sikap pemandu Kuala Lumpur. Namun dengan izin Allah, kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mudah.

Semakin menghampiri menara Dewan Bahasa, terasa berbagai-bagai perasaan berebut-rebut menyelinap masuk ke dalam hatiku. Ada gusar dan risau kerana ternanti-nanti, apa akan berlaku. Ada juga gembira, kerana dapat bercuti dalam pakej percutian termurah, hanya tiga puluh ringgit untuk seminggu. Ada juga aku rasa dielus kerinduan, muncul dari dalam lubuk hati yang paling dalam. Ya, aku rasa seperti mengunjungi taman di mana aku jatuh cinta buat kali pertama!

Walaupun aku telah melupai zaman kecilku, kerinduan yang timbul tiba-tiba ini membuatkan sehelai demi sehelai lembaran kenangan melayah di hadapanku. Aku sering ke sini mengikut abah ku. Dia merupakan seorang penulis sezaman dengan Muhamad Haji Salleh dan Shahnon Ahmad. Dia juga merupakan seorang intelek yang aku kagumi.

Abah pernah bercerita kepadaku, kali pertama dia menulis adalah ketika dia masih duduk di bangku sekolah. Sebuah cerpen misteri tentang pulau rahsia. Cerpen pengembaraan sekumpulan remaja menaiki sampan. Sejak itu dia mula membina namanya dalam arena akademik.

Abah selalu membawa keluarga mengikutinya jika dia ada urusan. Aku selalu ke pejabat abah di kampus USM. Ketika itu aku amat kagumi bilik pejabatnya yang dingin seiap masa. Aku teruja melihat banyaknya pena dan alatulis abah dalam lacinya. Aku kagum melihat projektor berat di atas almarinya. Abah juga pernah membawa kami tinggal sebentar di Kajang kerana ada tugasan di UKM. Di sini (DBP) juga abah pernah membawaku. Ketika itu tiada lagi menara mencakar langit, dan aku akan melilau-lilau antara rak-rak buku Kedai DBP. Aku akan menghidu bau buku yang aneh. Aku akan menyelak buku-buku yang mempunyai gambar berwarna-warni yang menarik. Akhirnya ibuku terpaksa membayar harga buku tersebut atas desakanku. Kemudian kami bersama-sama pergi ke kedai makan DBP yang aku lihat seperti sebuah gudang di dalam perut kapal.

DBP; Antara bangunan baru dan lama. Antara kenangan dan cita-cita.

Akhirnya kereta Proton Wira kakakku berhenti di tempat meletak kenderaan yang tersedia. Lamunanku terhenti. Mampukah aku menjadi seorang penulis. Aku masih ragu-ragu dengan diriku.

10 Jan 2010

Kesibukan Kembali Membelit Diri

Sekembalinya dari MPR, saya berehat selama tiga hari di rumah kakak sulung saya di Tampin. Sempat saya mengikuti kakak saya yang kedua (datang dari Bangi untuk berlibur di Tampin) menerokai tempat-tempat menarik di Negeri Sembilan. Antaranya adalah Istana Raja Melewar, Negeri Sembilan Crystal, Istana Seri Menanti dan Teratak Za'ba. Dapatlah saya bercuti bersama-sama anak-anak saudara sambil melayan kerenah mereka. Setelah itu saya kembali ke Kedah setelah hampir dua minggu berkursus dan rehat di rumah kakak.

Istana Raja Melewar





Rembau Crystal



Istana Seri Menanti



Teratak Za'ba

Empat hari setelah pulang ke Kedah, saya terpaksa pergi lagi ke Kuala Lumpur pula untuk mengambil ayah saya di Sri Petaling. Dia baru pulang dari kelana imannya dan destinasi kali ini adalah negara kanggaru, Australia. Setelah tidur semalaman di rumah kakak di Tampin, pagi esoknya kami kembali ke Kedah.

Sekembalinya ke Kedah, saya jadi kalut kerana saya perlu mendaftar di kampus UiTM Permatang Pauh. Jadual pula masih belum dicari sedangkan esok kuliah akan bermula. Pada 4 Januari 2010, kuliah di UiTM bermula dan saya kembali sibuk menguruskan nota-nota kuliah, kerja-kerja kursus dan tugasan-tugasan lain.

Saya berasa agak kesal kerana belum mampu mengisi blog ini dengan pos yang baru. Cukupkah dengan sebuah keluhan begini? Sekurang-kurangnya ianya tidak terus lapuk. Saya juga ingin menghantar sajak-sajak saya tetapi masih sedang mengintai, apakah di celah-celah kesibukan ada secebis kelapangan.