Halaman

28 Dis 2010

Aku Dibelenggu Konspirasi

http://spokenrap.files.wordpress.com

Sejak akhir-akhir ini kehidupanku dibelenggu konspirasi. Sebut saja konspirasi semua orang cuak. Konspirasi pembunuhan, konspirasi penjatuhan dan berbagai lagi.

Dua tiga bulan yang lepas.
Saya bertanya pada ummi, “Ummi, apa pendapat ummi dengan orang yang suka fikir tentang konspirasi.” Ummi diam dan enggan jawab. Saya tahu ummi tak mempunyai jawapannya. tentang konspirasi kemudiannya cuma berlegar-legar dalam kepala sehingga akhirnya hilang begitu sahaja. Soalan itu muncul bila terkenangkan rakan dari Australia di asrama dahulu, dia amat menggemari konspirasi katanya pada saya.

Dua tiga minggu yang lalu.
Saya terbaca sebuah pos dari Kereta Mayat. Dengan gaya biasanya yang kasar membantai kaki-kaki yang tak sebulu dengannya, dia kondem kaki-kaki konspirasi. Dan artikel yang dipetiknya juga datang dari seorang yang amat keras menentang teori-teori konspirasi.

Dua tiga hari yang lepas.
Ketika saya mencari-cari buku untuk MUET, saya tertarik dengan buku mengenai simbol-simbol Yahudi. Sesudah balik ke rumah baru saya sedari yang buku tersebut mengenai konspirasi. seingat saya inilah kali pertama membelek buku konspirasi.

Aku sedang membaca buku ‘Rahsia Simbol Yahudi’
Sehingga kepada bab yang menghuraikan tentang kejadian 9/11, kononnya telah dirancang dalam satu dollar Amerika. Konon lagi bila dilipat-lipat dapat perkataan O S A M A. Saya lantas mencari not seringgit di dalam poket, melipat-lipat dan... A L I. Oh... kalau begitu ayahku mungkin konspirator.Walau tiada sesiapa bersamaku ketika itu untuk berkongsi ketawa, aku tetap ketawa seorang diri.

Kesimpulannya janganlah percaya 100% pada teori-teori tersebut. Bukan semuanya logik pun. Mungkin penulis dan pengkaji konspirator sangat obses mengenai konspirasi sehingga perkara remeh-remeh pun diperbesarkan. Walaupun ada kemungkinan teori-teori selain daripada itu benar...

18 Dis 2010

Ayam Hutan Ohh...

Enjin kereta dihidupkan. Sambil mengunyah buah-buahan potong yang dihulur ummi, pandangan saya berkeliaran sama dengan ayam-ayam katik yang mencari makan di bawah sepohon pokok.

Abah  : Dari mana agaknya ayam-ayam hutan ni datang?
Saya   : Bukan ayam katik ke ?
Ummi : Ayam katik tu ayam hutan lah.
Saya   : Cantiknya ayam hutan...
Ummi  : Mestilah... berapa ramai sanggup masuk hutan nak tangkap...
Saya   : Ayam hutan lain, ayam kampung lain, ayam bandar lain. Ayam hutan cantik, ayam kampung comot, ayam bandar gemuk. Lain-lain ke ayamnya?

http://farm4.static.flickr.com

Abah tergelak kecil.

Abah     : Itulah namanya Natural Selection.
Saya      : Tapi kenapa orang asli walaupun duduk di hutan tidak cantik seperti ayam katik. (Sambil membayangkan sekeluarga orang asli yang menjual akar-akar kayu. Aku membayangkan orang asli  ditumbuhi bulu-bulu yang indah seperti merak tidak seperti orang bandar yang gemuk-gemuk walaupun putih melepak)
http://ternakanayamkampung-asroi.blogspot.com/

Satu kereta tergelak.

Abah     : Nampaknya Natural Selection hanyalah teori...

Suasana dalam kereta tidak terkesan langsung oleh terik mentari siang. Pendingin hawa menghembus deras angin dingin. Dengan lafaz Basmallah aku menekan pedal minyak dan kereta perlahan-lahan meninggalkan parkir Perhentian Rehat dan Rawat Sungai Perak. Perjalanan kami masih jauh.

http://pru.com.my

p/s: Aku bukan menghina orang asli. Aku juga orang asli (baca 'tulen'). Bukan orang sintetik dari besi atau plastik. 

-Maha Suci Tuhan-

7 Nov 2010

Gangguan Seksual Kepada Lelaki

PERMATANG PAUH: Walaupun statistik menunjukkan kebanyakkan gangguan seksual terhadap perempuan adalah dari lelaki, namun menurut satu sumber di sini hari ini menyatakan sebaliknya. Menurut sumber tersebut, golongan wanita lebih banyak melakukan gangguan seksual terhadap lelaki.Kenyataan ini adalah berdasarkan jumlah wanita yang semakin ramai mendedahkan aurat mereka dan berpakaian seksi. 

Menurut seorang responden, sekarang ini semakin ramai wanita yang tidak berpakaian dengan sempurna dan hal ini menyebabkan gangguan terhadapnya. "Masuk kelas pun tak dapat tumpu pada guru yang mengajar kerana fikiran saya telah lari."

Walaupun ada yang mempersalahkan responden tersebut kerana dikatakan tidak pandai 'menjaga mata', responden mempertahankan dirinya dengan memberi alasan bahawa gangguan ini bukan sahaj terdapat dalam kelas bahkan berpunca dari luar kelas lagi. "Hendak beli makanan kena beratur belakang perempuan, hendak naik bas pun kena duduk di tepi perempuan, dekat kaki lima pun penuh dengan perempuan seksi."

Menurut seorang ustaz, gangguan daripada wanita ini juga boleh menyebabkan kurangnya khusyuk dalam sembahyang dan merupakan punca ketirisan iman. Ustaz tersebut menegaskan bahawa apabila seseorang dapat menjaga pandangannya maka dia akan merasa kemanisan dalam sembahyang.

Selain daripada itu, gangguan ini juga mampu mengganggu pembangunan negara apabila sumber modal insan sesebuah negara hanya memikirkan tentang seks sepanjang hari. Seseorang penghantar piza mungkin terlambat menghantar pesanan kerana terganggu dengan wanita-wanita seksi. Begitu juga dengan seorang posmen mungkin akan tersilap mengepos surat kerana asyik dengan wanita seksi.
Modal insan merupakan keperluan kepada sebuah negara yang membangun namun dikhuatiri tiris
oleh wanita yang tidak berpakaian sopan.
Sumber gambar - www.workbloom.net 

Ada juga pihak yang merasa bimbang bahawa kemalangan yang semakin meningkat sekarang berpunca dari wanita-wanita seksi. "Sekarang kalau saya dari utara nak ke selatan melalui lebuh raya PLUS, banyak di tepi-tepi lebuh raya dengan iklan yang memaparkan wanita-wanita seksi."

Mungkinkah kemalangan yang semakin kerap kini berpunca dari pemandunya teganggu oleh
iklan-iklan wanita seksi di papan iklan yang dipasang sepanjang lebuh raya.
Sumber gambar mazaaida.blog.friendster.com  
Menyedari akan hal ini, beberapa kumpulan lelaki menuntut resolusi agar hak mereka agar tidak diganggu lagi oleh kaum hawa. Mereka juga berharap agar pihak berkenaan mengambil langkah bijak dengan megatasi gejala yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat Islam seluruh dunia secara umumnya.

"Kami bukan nak mereka pakai jubah pakai purdah. Kalau tak mampu berubah terus, berubahlah perlahan-lahan. Baju kurung pun lawa juga." Kata seorang pakcik yang ditemui sedang minum kopi dan makan roti canai di sebuah kedai pagi tadi.

"Baju kurung merupakan baju orang Melayu. Ada falsafah di dalamnya. 'Kurung' bermaksud mengurung kemuliaan dan kehormatan diri dalam pakaian yang sopan dan tertib." Terang seorang pereka fesyen Muslim.

"Wanita akan dimuliakan apabila mereka memuliakan diri mereka. Kaum Adam akan menghormati mereka dan melindungi mereka jika mereka berpakaian sopan." Kata seorang guru sekolah menengah. -hafizuddinali.blogspot.com news.

20 Okt 2010

Aku Tak Takut Hantu Lagi?

Semalam aku pergi menduduki ujian kalkulus, MAT235. 


Petang, lebih kurang 5.00pm,
Aku mesej Amirul Afiq, bertanyakan tentang ujian, pukul berapa? Di mana?

Balas Amirul Afiq,
  Test MAT jam 8.30 malam di BKM 2.11

Oh... BKM, Bilik Kuliah Mekanikal. Kata kawan-kawanku tempat itu berhantu... malam pulak tu...
 
Malam, 8.25pm,
Aku tiba di padang parkir kereta pelajar. Malam itu padang parkir sungguh lapang. Hanya ada beberapa buah kereta diparkir di sana. Mungkin ramai yang pulang ke kampung sempena dengan cuti ulangkaji selama seminggu sebelum peperiksaan akhir bermula. Beberapa pelajar lelaki sedang bersembang di bawah  simbahan cahaya lampu jalan yang suram. Terdapat juga beberapa pasang kekasih berjalan pulang ke kolej masing-masing, baru balik dari  menonton movie di Jaya Jusco agaknya atau baru balik dari pulau.

Aku menapak langkahku sendiri, menuju ke bangunan Mekanikal. Sebuah blok akademik dikhususkan untuk Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sahaja. Di bawahnya ditempatkan mesin-mesin berat untuk tujuan kelas praktikal. Selain itu juga terdapat makmal-makmal lain seperti makmal mekanik bendalir dan sebagainya. Di tingkat dua terdapat kelas untuk kegunaan syarahan dan tutorial. Hanya di tengahnya sahaja lampu kalimantang terpasang. Cahaya itu sahaja yang ada di bangunan mekanikal. Mana mungkin boleh menerangi keseluruhan bangunan mekanikal yang besar itu.


Bangunan Mekanikal kelam sahaja di malam hari.

Di mana mesin-mesin berat disimpan

Benarkah di sini ada hantu?

Cahaya lampu kalimantang ini mungkin datangnya dari bilik-bilik pensyarah ataupun dari tempatku mengambil ujian nanti.

Aku menuju ke lif. Beberapa orang rakan sekelasku juga menggunakan lif bersamaku. Sampai sahaja di tingkat dua, kami terus mencari bilik syarahan 11. Oh, aku terlambat seminit dua, ujian telah pun bermula.

Usai sahaja ujian, aku bergegas keluar kelas. Aku perlu segera sembahyang Isyak sebelum memikirkan tentang perutku yang berkeroncong. Apabila aku melangkah keluar dari kelas baru aku sedari bahawa di sebelah kananku adalah ruang yang luas dan gelap. Kelas-kelas lain kosong dan kelam. Hanya bilik syarahan 11 sahaja yang cerah. Teringat pada kejadian gambar hantu 'lekat' pada fotografi-fotografi seperti yang selalu dicerita dalam majalah-majalah misteri. Aku lantas mengeluarkan Sony Ericson K770i secondhandku dan memetik butang capture... dan...

Cubalah cari kalau-kalau tersembul kepala hantu...
Ahh... tak payahlah aku cari hantu. Daripada aku cari hantu lebih baik aku cari seketul burger atau sebungkus nasi goreng ekonomi. Daripada aku mengkaji hantu lebih baik aku mengkaji litar elektrik dalam subjek Circuit II. Daripada aku meneliti hantu lebih baik aku meneliti kalkulus dan mencari jawapan untuk First Derivatives dan Second Derivatives. Ya... aku tak kisah pun hantu. Sebab peperiksaan lebih menakutkan dan mengerikan dari hantu-hantu...


PENGWAJARAN
Rasanya tempat tu (bangunan mekanikal) sama sahaja seperti bangunan-bangunan lain. Cuma ianya suram dan kelam pada waktu malam. Tidak seperti di fakultiku yang menumpang bangunan Perdana. Di situlah tempatnya Laman Siswa (LS) tempat pelajar berbincang sampai larut mala (tak tahu apa yang dibincangkan, ada juga yang panggil LS dengan Laman bermasalah Sosial). Di situ juga ada Laman Perdana (LP) di mana majlis-majlis besar, kecil dan sederhana dijalankan. Lagipun ianya berlatarbelakangkan tapak pembangunan Dewan UiTMPP. Sudah tentu suram dan menakutkan. Sekarang ni dewan pun sudah boleh digunakan. Setiap malam cerah dan cantik pulak tu. Harap-harap segala 'hantu-hantu' yang mendiami bangunan Mekanikal pergi. Tak berlakulah lagi nanti kes kelas ganti (yang dibuat pada malam hari) dihabiskan awal kerana pensyarah seram dengar suara orang mejerit...

15 Okt 2010

Cerita Pada Suatu Hari dan Soal Persahabatan

Kereta aku rosak, dan aku kini menumpang bas. Ketika hampir habis kelas kokurikulum aku pada suatu petang Rabu, aku mendapat mesej dari Azrol...

SMS Azrol:   
Kul agk2 blik.. 
         Nnti xxxx aku pegi ambik
(Pukul berapa agak-agak boleh balik nanti aku pergi ambil)

Aku berasa berat mahu menyusahkan kawan aku yang seorang ni. Sudahlah aku tak banyak membantunya. Sebagai AJK surau dan group JPK di bawahnya, pelbagai kerja yang sepatutnya aku buat, namun tidak sempurna... Aku segan... Lalu aku menekan butang 'REPLY'

SMS aku:      
Tak pelah tuan.
Tak perlulah susah-susah.

Azrol membalas kembali,

SMS Azrol:    Xsush pun.. tlg mn0l0ng.. 
kte pakat bne ukhwah, 
Utk bhgia, 
Agr hrum wgian prshabtn, 
Dlm menempuh liku2 hdup
Agr sntiasa brsma dlm sng jua dlm ksempitan.
Mmburu rhmat Allah,
Untuk bhgia hdup,
Dunia dan akhirat. 
(Tak susah pun... (kita) tolong menolong... Kita pakat bina ukhuwah demi kebahagiaan. Agar harum wangian persahabatan dalam menempuh liku-liku kehidupan. Agar sentiasa bersama dalam senang juga dalam kesempitan. Juga memburu rahmat Allah. Untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.)

'Ahh... kacau', getus kecilku. Kini aku rasa semakin rumit. Jika menolak tawarannya dengan sekadar dua tiga patah kata melalui SMS terasa agak tidak patut pula. Sebenarnya memang bertuah kalau ada orang yang ambil. Perjalanan lebih dua kilometer menggunakan bas amat menyesakkan perut. Bertuahlah kalau dapat duduk di kusyen bas. Selalunya berdiri sahaja dalam sesak pelajar UiTM yang berbau keringat kerana seharian berada di kampus. Namun menyusahkan kawan terasa tidak patut. Aku ini orangnya yang tidak suka termakan budi, walau sekecil mana. Biarlah aku yang berbudi, dan orang lain terhutang budi denganku. Susah...

Aku memakai kasut sambil berfikir. Dan aku membalas dalam kemalasan. Sengaja tak direct to the point... aku terus membalas mesejnya...


CITU (Centre of Islamic Though and Understanding) dalam kesamaran senja. Di sinilah aku menjalani program Kokurikulum

SMS aku:       
Sebenarnya tak dapat dinafikan,
         pentingnya kau hadir dalam persahabatan ini,
         demi haruman syurga yang kekal abadi.

Telefon bimbit bergetar. Mesej baru masuk. Ketika itu aku baru melangkah masuk ke dalam bas ISA. Syarikat yang mengambil kontrak dengan UiTM - kerana kekurangan bas. Mujur UiTM pakai bas kontrak. Kalau tak tentu sudah sesak. Rasanya sekarang ini (perkhidmatan bas kontrak ISA) lebih baik dari bas UiTM sendiri yang seperti mahu menjimatkan minyak...





Ketika masih menuntut aku sanggup berhimpit dalam bas ISA kerana tak nak menyusahkan kawan. Harapnya nanti aku akan sanggup juga naik lori ISA demi agama, bangsa dan negara - demi keadilan dan kebenaran... Haha...

SMS Azrol:    
Syukur pd ALLAH krna kte dprtemukan,
Mge ukhwah yg trbna,
kukuhn hngga aku kawen ngan adik ang..
hehe
Mge kekal hgga akhir hyt
(Syukur kepada Allah kerana kita dipertemukan. Semoga ukhuwah yang terbina terus kukuh... sehingga... aku berkahwin dengan adik hang (kamu dalam bahasa utara - Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan sebahagian orang Perak). Hehe... Semoga kekal sehingga ke akhir hayat)

Sengaja aku bermain-main dengan mesej, lagipun bosan berada di atas bas...

SMS aku:        Dambakanlah segala perhubungan,
         Selagi tuhan meredainya,
         Namun ketahuilah,
tiada yang lebih baik daripada seribu satu     perhubungan,
melainkan perhubungan…
yang dihubung oleh Tauhid

Aku merangka mesej sehingga bas berhenti di hadapan restoran makanan segera McDonald. Seterusnya aku perlu melintas jalan dan bertapak sehingga ke kolej kediamanku.

Dan aku menghantar kepadanya mesejku yang terakhir,

SMS aku:        Sesungguhnya ‘soal’ persahabatan terus kekal sehingga kita bertemu…

Ketika itu aku sudah berada di hadapan pintu rumah, dan dia sedang mebaca mesej terakhirku.
Sempat pula dia membalas,   

SMS Azrol:     Ya benar…
Kte la yg mmbjak tnah prshabtn itu,
baekkah atau sbliknye..
klau baek mka baekla jdnya…
klau tanah itu dbjak dgn baek,
mks benih2 kmurnian prshbtn akan tmbuh di tanah itu,
kte pnta hujn dari Allah agr tnah itu brtmbh subur..
(Ya benar, kitalah yang membajak tanah persahabatan itu. Samada baik atau sebaliknya. Jika baik maka baiklah ia. Jika tanah itu dibajak dengan baik, maka benih-benih kemurnian persahabatan akan tumbuh di tanah itu. Kita memohon hujan dari Allah supaya tanah itu bertambah subur.)

Tak payahlah aku termakan budi kawan... walau cuma menumpangnya sahaja...


30 Sep 2010

Jeans Lusuh Seorang Mahasiswa

Ketika minggu orientasi UiTM, ada seorang pelajar yang bertanyakan tentang seluar jeans, "Boleh pakai seluar jeans tak abang?"

Dengan sengih sehingga ke telinga, fasilitator juga dikenali sebagai 'pembantu minggu siswa' iaitu seorang senior jawab dengan sindiran, "Ini bukan sekolah dik, ini universiti."

Tidak pula saya berasa hairan dengan soalan yang nampak seperti tidak bijak itu kerana rasanya mana-mana sekolah pun terutamanya sekolah berasrama penuh menyenaraikan seluar jeans dalam senarai barang-barang larangan. Hal inilah yang mungkin membentuk persepsi remaja sekolah tentang jeans. Dan persepsi itu dibawa ketika baru mula melangkahkan kaki ke universiti.

Apabila mengetahui mereka kini agak bebas, mereka menghela nafas lega kerana boleh menggayakan apa sahaja. Lebih-lebih lagi mereka boleh mengikut fesyen arus perdana. Terutamanya gaya kasual, dipadan dengan seluar jeans.


APA SALAHKAH MEMAKAI JEANS


Pakaian apa pun terikat dengan adab-adab yang telah diajar agama.

1. Aurat.
Aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali wajah dan tapak tangan manakala aurat bagi lelaki pula adalah antara pusat dan lutut. Untuk memelihara diri dari 'berpakaian tapi telanjang' seharusnya  wanita dan lelaki muslim memakai jeans yang tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badannya. Lagipun memakai seluar jeans yang terlalu ketat membuatkan sesiapa yang melihat merasa sakit kangkang.

Ada juga yang sengaja
melubang jeansnya.
(Kredit Gambar:  http://images.
marthastewart.com)





Selain itu biasa juga kita melihat seluar jeans yang berlubang pada lutut. Ingatlah bahawa ianya adalah aurat kita, sama ada lelaki lebih-lebih lagi wanita. Oleh sebab universiti mengutamakan kekemasan dan keterampilan, seluar yang berlubang diperosok di dalam almari. Nanti akan dipakai bila berjalan pada musim cuti.

Agak menyedihkan juga bila sembahyang di surau kampus. Seorang siswa yang sedang sujud hampir-hampir mendedahkan punggungnya lantaran bahagian atas seluar jeansnya sangat singkat. Sudahlah begitu, bajunya juga terlalu kecil. Mujur ada seluar dalam yang menghalang pandangan. Namun begitu, terdapat juga segelintir siswa yang malah menampakkan pangkal juburnya. Bagaimanakah dengan sembahyangnya? Hairan, tidak perasankah dia?

2. Kesucian
Antara alasan utama para siswa memilih jeans daripaa fabrik jenis lain adalah kerana ianya tidak perlu dibasuh selalu. Hal ini kerana menurut mereka, jeans tidak berbau walaupun sudah dipakai berbulan-bulan. Bagi mereka banyak masa boleh diperuntukan untuk pelajaran. Memang tidak bahawa belajar di IPT sangat meletihkan, letih dengan belajar dan tugasan, assignment, kuis dan ujian.

Masalahnya adalah segelintir rakan-rakan yang tidak pernah membasuh jeans kusamnya semenjak baru dibuka plastiknya. Masih bersih dan suci lagikah jeans yang tidak dibasuh berbulan-bulan, walaupun tidak berbau. bukankah kebersihan itu sebahagian ajaran agama?

MENGAPA JEANS?

Mengapa Jeans? Mungkin kerana jeans merupakan budaya dan fesyen terkini yng dipilih oleh rakan-rakan saya. Mengenai akhlak dan etika pemakaian, sama sahaja denim dengan fabrik-fabrik lain. Yang utamanya adalah kita berpakaian untuk menutup aurat.

Pakaian Denim telahpun menawan dunia.
(Kredit Gambar: http://wallpaperslife.files.wordpress.com)




Adakah saya membenci jeans? Tidak. Tiada alasan untuk saya membencinya. Mungkin saya adalah seorang dari peminatnya. Bukan semua yang kurang sempurna pakaiannya, ada juga antara kita yang sopan dalam berpakaian, walaupun selalu mengenakan jeans.

Sudah ada jubah untuk wanita daripada fabrik denim.
(Kredit:http://sphotos.ak.fbcdn.net) 

20 Sep 2010

SALAM AIDILFITRI


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Masih belum terlambat mengucapkan salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Ramai pelajar sekolah dan IPT yang sudah kembali mula belajar. Ibu bapa pun ramai yang sudah bekerja. Walaubagaimanapun, rasanya pelajar-pelajar sekolah puas bercuti kerana cuti agak lama. Ada yang mendapat cuti dua minggu. Semoga selepas ini dapatlah memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan akhir tahun.

Aku bersama adik-adikku ber'posing' di luar rumah kerana pagi raya tidak meriah - tidak pulang ke kampung dan kakak-kakakku tidak pulang lagi ke sini. Tidak mengapa, petang raya ketiga nanti kakaku yang sulung dari Tampin akan datang bersama keluarganya. Kasihan kakakku yang kedua, terpaksa berhari raya di Hospital Seremban. Pengorbanan demi tugas sebagai seorang doktor pakar sakit puan. Suami dan anak-anaknya pula pergi berhari raya ke Terengganu.

Beraya bersama umi dan abah selepas sembahyang raya


Di tepi 'kolam' 



(Dari Kiri Belakang) Abang Mat Sukses, Ikram dan Afwan
(Dari Kiri Depan) Atikah dan Hakim



3 Sep 2010

Mereka, Mereka dan Aku

Aku baru pulang dari bertarawikh di Pusat Islam kampus UiTM. Berjalan dalam gelap antara bangunan perpustakaan yang baru dibina dan kolej kediaman siswi. Tarawikh di Pusat Islam hanya lapan rakaat tambah tiga rakaat witir, kerana itu belum pukul sepuluh lagi sudah habis. Bangunan hotel melantunkan suara ceramah antara tarawikh di Masjid Batu. Berselang seli dengan bacaan surah al-Ikhlas oleh imam di Masjid Papan.

Masjid Papan dan Masjid Batu cuma dipisahkan oleh sebatang jalan yang menghubungkan Permatang Pauh dan Sungai Dua dan sentiasa sibuk. Pada zahirnya memang dipisahkan oleh sebatang jalan namun pada hakikatnya dipisahkan oleh aliran ideologi politik. Suara yang tegas lagi lantang bergema lagi dari celah-celah bangunan Hotel UiTM. Aku tahu ceramah agama yang disampaikan oleh siapa sahaja ustaznya itu meresap masuk ke setiap roma ahli jemaah, bersamanya terserap ideologi-ideologi parti dan harakah Islami.

Aku juga pernah sembahyang Jumaat di sana mendengar khutbah dari seorang ustaz. Oleh kerana hadir lambat, aku terpaksa duduk ditepi ruang wuduk yang sudah pasti basah. Orang yang menghadirinya ramai tak terkata. Sebenarnya khutbah Jumaat di masjid ini dua minggu sekali sahaja. Minggu depan akan dibuat di Masjid Papan. Aku tidak tahu adakah keadaan di Masjid Papan sama seperti Masid Batu atau biasa-biasa sahaja. Namun baru-baru ini aku dimaklumkan atau ditakutkan, jika kesana lagi akan ada mata yang mengintip seterusnya tindakan disiplin akan dikenakan oleh UiTM. Aku mendengar dengan separuh minat sahaja. Ahh… Akupun bukannya minat sangat menerima dan menjaja ideologi-ideologi… Tapi ada kebenarannya juga, kerana sangkaku kerajaan perlu melakukan itu demi ‘survival’ hidupnya yang semakin terdesak.
Di tengah-tengah kegelapan dan antara desakan ideologi islami pembangkang dan kekangan ‘survival’ kerajaan, aku terus melangkah ke kereta Kancil hijauku. “Pommm” aku tak pasti sama ada kanak-kanak, remaja, pemuda atau orang dewasa yang bermain mercun. Tetapi seolah-olah dia tidak terkesan langsung dengan ideologi islami pembangkang mahupun desakan ‘survival’ kerajaan... Aku? Aku punya arahku sendiri, ke kereta Kancil hijau di hadapanku.

27 Ogo 2010

Ramadhan Al-Mubarak atau Al-'Murtabak'

Sudah dipertengahan Ramadhan rupanya. Baru-baru ini, di Kolej Mutiara kami menjemput Ustaz Fahmi untuk memberi pengisian dalam majlis Iftar Jam’i. Dia berbicara tentang Ramadhan ‘al-Murtabak’. Ada benar kata-katanya…



(Gambar dari http://pegasuskl.wordpress.com)

Sepanjang perjalananku dari kampus ke kolej, anda boleh melalui sekurang-kurangnya tiga Bazar Ramadhan. Belok ke simpang selepas Petronas menuju ke Pangsapuri Pauh Damai anda akan menjumpai sebuah lagi Bazar Ramadhan yang sangat panjang. Sekarang Bazar Ramadhan antara kampus dan kolejku sudah berjumlah empat. Belum masuk lagi gerai-gerai kecil di kiri kanan jalan.

Kata Ustaz Fahmi, di Arab sana orang-orang yang berharta berebut-rebut memberi makan bukan menjual makan. Beliau menukilkan sebuah hadis,

Sabda Nabi "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ."

Sememangnya perkara yang berkaitan dengan pahala dan dosa amat sukar sedikit… tepuk dada tanya iman.

Aku tidak menentang pakcik dan makcik yang mencari rezeki yang halal sempena bulan Ramadhan ini. Aku cuma sedih bila terbeli air minum yang dijual murah. 3 dua ringgit. Aku membeli air tebu, kelapa dan bandung dan membayar kepadanya dua ringgit. Air kelapanya cuma rasa gula, air tebunya pun sama dan air bandungnya ceroi kata orang utara. Akhirnya air itu tidak habis dan berada di tepi sinki sampai ke sahurnya, sampai ke Dhuhanya. Lebih baik aku beli air yang dijual seringgit satu. Apa yang pakcik dapat? Pahala memberi orang minum di Bulan Ramadhan?
Ambil sahaja sebagai iktibar. Ayuh sudah pukul 6.30. Cari juadah berbuka. Nanti beli air minum dua bungkus. Dapat pahala puasa kawan yang minum air kita…

Gambar dari http://kawasan-syafiq.blogspot.com)

2 Jul 2010

SAFAR 40 HARI

Aku baru pulang dari safar. Safar 40 hari. Bila aku semakin lalai dalam sembahyang.Bila zikirku semakin kurang. Bila hatiku rasa tak tenang lantaran semakin jauh dari tuhan. Aku meletakkan diriku dalam safar selama 40 hari itu.

Bila bas bertolak dari Sri Petaling menuju ke Surau Tengkera Melaka, safarku pun bermula. Di bandaraya bersejarah itu aku (beserta jemaahku) dihantar ke Merlimau.

Pada mulanya aku terbayang yang aku berada di taman perumahan di pinggir pekan. Akhirya aku menyedari yang aku menyusuri persisiran pantai Selat Melaka yang berlumpur.

Berjalan di atas pasir yang hitam yang subur dengan pohon mangga yang rimbun membuatkan aku rasa kagum sendirian. Menerokai lorong-lorong di bawah naungan pohon-pohon palma seperti kelapa dan rumbia membuatkan aku rasa seperti di tempat yang sangat asing. Pohon nipah pula tumbuh subur dalam genangan air paya laut.

Walaupun kami berada dekat dengan pantai, aku hanya dapat merasai anginnya dan cuma dapat mencium bau masin laut. Pohon-pohon nipah menghalang aku dari mendekati laut Selat Melaka. Ikan belacak pula melompat-lompat seolah-olah tidak senang melihatku di habitatnya.

40 hari. Walau di manapun aku berada, aku telah dipagari dengan ketaatan-ketaatan dalam beragama. Aku berharap jika aku tidak dapat masuk ke 'gerabak keretapi' yang membawa sahabat-sahabat, tabi'n, tabi' tabi'in, orang alim dan orang yang soleh, dapat berpaut pada tiang-tiangnya sahaja pun cukup. Kerana pasti ianya menuju ke arah yang sama.

Pesan amir sab (ketua jemaah), jika ayam hutan dikurung tiga hari dalam sangkar, ia akan terbiasa dengan tempat barunya itu. Jika dikurung selama 40 hari, ia pasti tidak akan ke mana-mana lagi, kerana hatinya telah terpaut di situ. Jika diri ini dikurung 40 hari dalam ketaatan...

27 Apr 2010

‘Malam ini ada mesyuarat Musolla an-Nuur, semua AJK diwajibkan hadir’

Begitulah pengumuman pada siang tadi, begitu jugalah bagaimana aku berada di ruang mesyuarat JPK Mutiara.

“Bismillah…,” saudara Saiful Aswad selaku exco kerohanian mempengerusikan mesyuarat terakhir musolla. Sidangnya diwakili oleh AJK surau. Malam itu cuma dua orang AJK lelaki dan beberapa orang AJK perempuan yang tidak hadir. Rasanya aku hanya banyak menjadi pemerhati dari mengambil bahagian dalam perbincangan…

“Oleh sebab ini adalah mesyuarat yang terakhir sebelum cuti semester dan ada diantara kita yang akan menghabiskan pengajiannya, saya berbesar hati menjemput setiap daripada kita memberi barang sepatah kata.” Aku mengharap agar mesyuarat malam itu sudah hampir ke penghujungnya. Namun aku menyedari, sebelum itu aku perlu mendengar ucapan daripada lebih sepuluh orang AJK surau termasuk aku.

“Bismillahirrahmanirrahim…,” saudara Rizli memulakan ucapannya.

“Sebenarnya pada awal semester exco kerohanian telah pun membuat jadual giliran imam dan bilal, namun tidak ramai yang dapat mengikutinya. Tidakkah hadirin kasihankan saudara kita, dia menaip, dia cetakkan, istemewanya lagi cetakkannya berwarna-warni pula.” saudara Rizli memulakan sungutannya.

“…bila suruh buat tazkirah kata tak reti, kalau tak reti kita dah sediakan banyak buku-buku. Cuma perlu baca sahaja…” saudara Rizli meneruskan sungutannya pada malam itu. Aku resah apabila mengerling ke arah jam. Sudah hampir sebelas malam, mesyuarat masih belum habis lagi.
Giliran untuk memberi ucapan berpusing elok. Akhirnya sampai kepada Saiful kembali. Aku si pemerhati melihat Rizli mengunjukkan buku tulis pada Saiful. Aku tahu di situ ada sesuatu yang Rizli ingin sampaikan lagi. ‘Banyak betul brader ni nak bagi tahu, tak habis-habis’, getus hatiku.

“Orang yang …” Saiful menyampaikan kepada sidang mesyuarat akan pesan dari Rizli.
Malam itu walaupun mesyuarat telah habis, aku berjalan pulang ke bilik dengan perasaan yang resah.

“Hakim, aku rasa Rizli asyik komplenkan aku sahaja ketika di mesyuarat tadi.” Aku meluahkan perasaanku kepada Hakim.

“Kenapa kau kata begitu?,” Hakim kehairanan.

“Aku merasakan pandangannya sentiasa dipanahkan kepadaku.”

“Ahh engkau, dia memandang kau mungkin kerana dia merasakan kau lebih berilmu darinya, mungkin dia ingin kau memperbetulkan apa yang kurang betul.” Hakim cuba mengikis segala syak wasangka dalam hatiku.

Aku terkedu. Mungkinkah demikian? Mungkinkah memang benar aku tidak melaksanakan tugas-tugasku. Aku mengesip biji lada di celah gigiku. ‘Patutlah pedas’ getus hatiku, ada biji lada di celah gigiku.

14 Apr 2010

Peng'HIDUP'an dan Secawan Kopi Susu

Biarlah sawang mendiami laman ini…

Ketika ini aku sedang duduk di sudut terpencil dewan seminar Pusat Islam. Bersama aku adalah Zul dan kami sama-sama bersembang mengenai pengkuliahan-pengkuliahan yang kami lalui. Empat bulan lebih berhempas pulas memanjat anak-anak tangga ilmu di bangunan UiTM, kini suasana peperiksaan akhir perlahan-lahan bersatu dengan kuliah yang masih berbaki dua atau tiga kali lagi. Seperti susu yang perlahan-lahan bersatu dengan kopi hitam di tengah malam ketika aku sedang bersengkang mata mentelaah pelajaran.

“Zul, cuma kelas ini aku rasakan berbeza sekali, lain daripada kelas yang lain…” aku cuba membayangkan diri berada dalam kelas Matematik dan kuliah Asas Elektrik.

“Zul kau tahu, dalam kelas matematik aku merasakan diriku seperti seorang genius sebaliknya ketika aku mengikuti kuliah Asas Litar Elektrik aku merasakan seperti aku ini adalah pelajar yang paling dungu sekali…” pendingin hawa yang melekat pada dinding dewan berdesir dengan kuatnya seolah-olah menyetujui aku.

“Zul…lagi…dalam kelas Bahasa Inggeris aku merasakan seperti seorang bijaksana yang gagap. Dalam kelas Tamadun Islam pula aku rasakan yang aku adalah roh yang berkeliaran terkurung dalam bilik kelas itu. Dalam kelas Sukatan Elektrik lagi dahsyat, aku membayangkan bahawa aku adalah tembok kelas yang terpaksa juga mengikuti segala peristiwa yang berlangsung dalam kelas tersebut.” Zul mahupun aku sama-sama membisu selepas itu. Yang terdengar hanyalah desiran pendingin hawa yang merendahkan suaranya, seperti bunyi orang mengeluh pula.

“Zul, dalam kelas ini sahaja aku menyedari bahawa aku adalah sebuah kehidupan. Bernyawa, boleh bercakap, boleh berfikir, boleh ketawa, boleh melihat, boleh mendengar, boleh dan boleh.”Aku menoktahkan kata-kataku di sisi Zul. Kami seperti telah ditakdirkan, kebetulan mengikuti kursus kokurikulum yang sama setiap semester.

“Memanglah…” tokok Zul setelah lama membisu…

Di luar dewan, suasana peperiksaan semakin menguasai segenap pelusuk universiti. Seperti susu yang semakin bersatu dengan kopi hitam di atas meja belajar.

“Azrul, mahu kopi hitam bersusu menemani ulangkajimu?” Soalku ketika melihat Azrul seperti orang kejang kerana terlalu letih belajar.

“Terima kasih, rasanya tidak perlu, peperiksaan ini lebih hebat dari kopi hitam bersusu… peperiksaan telahpun membunuh kantuk dan kelaparanku.” Malam itu Azrul membuktikan kata-katanya. Lampu biliknya cerah terpasang sehingga pukul empat dinihari.


Kopi 'White Coffee' tidaklah seputih namanya.

12 Jan 2010

Kembara Mujahadah

Kembaraku di rimba mujahadah
bukanlah perjalanan mudah
berat nafsuku melangkah
memijak duri-duri tarbiah
air yang mengalir deras
dari  mata yang membengkak
membasuh segala keladak mazmumah.

Tekadku menyelongkar rimba mujahadah
mengutip benih-benih takwa
untuk ku semai di perbatasan jiwa.

Biar merimbun pohon mahmudah
menjadi teduhan yang nyaman
dari terik bara neraka.

Ingin ku kecap manis buahnya nanti
dalam taman firdausi.

Hafizuddin Ali
10:30pm, 11 Januari 2009

Dewan Siswa
April 2010


Ramai rakan-rakanku yang sama-sama menumpang 'bahtera MPR' telah menulis dalam blog mereka tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang bahtera itu berlayar di persisiran pantai Port Dickson. Tinggal aku belum menulis tentang program itu. Ramai rakan-rakanku yang bercerita tentang suka duka, tentang teori teorem tentang pesan dan nasihat dan sebagainya. Biarlah aku ingin menulis tentang perkara lain pula...

25 Disember,
Hari Pendaftaran
Kakakku yang bersemangat itu membawaku sehingga ke kaunter pendaftaran. Aku selalu bimbang melalui jalan-jalan di kota Kuala Lumpur. Sudah berapa kali aku sesat jalan. Malah aku amat risau dengan sikap pemandu Kuala Lumpur. Namun dengan izin Allah, kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mudah.

Semakin menghampiri menara Dewan Bahasa, terasa berbagai-bagai perasaan berebut-rebut menyelinap masuk ke dalam hatiku. Ada gusar dan risau kerana ternanti-nanti, apa akan berlaku. Ada juga gembira, kerana dapat bercuti dalam pakej percutian termurah, hanya tiga puluh ringgit untuk seminggu. Ada juga aku rasa dielus kerinduan, muncul dari dalam lubuk hati yang paling dalam. Ya, aku rasa seperti mengunjungi taman di mana aku jatuh cinta buat kali pertama!

Walaupun aku telah melupai zaman kecilku, kerinduan yang timbul tiba-tiba ini membuatkan sehelai demi sehelai lembaran kenangan melayah di hadapanku. Aku sering ke sini mengikut abah ku. Dia merupakan seorang penulis sezaman dengan Muhamad Haji Salleh dan Shahnon Ahmad. Dia juga merupakan seorang intelek yang aku kagumi.

Abah pernah bercerita kepadaku, kali pertama dia menulis adalah ketika dia masih duduk di bangku sekolah. Sebuah cerpen misteri tentang pulau rahsia. Cerpen pengembaraan sekumpulan remaja menaiki sampan. Sejak itu dia mula membina namanya dalam arena akademik.

Abah selalu membawa keluarga mengikutinya jika dia ada urusan. Aku selalu ke pejabat abah di kampus USM. Ketika itu aku amat kagumi bilik pejabatnya yang dingin seiap masa. Aku teruja melihat banyaknya pena dan alatulis abah dalam lacinya. Aku kagum melihat projektor berat di atas almarinya. Abah juga pernah membawa kami tinggal sebentar di Kajang kerana ada tugasan di UKM. Di sini (DBP) juga abah pernah membawaku. Ketika itu tiada lagi menara mencakar langit, dan aku akan melilau-lilau antara rak-rak buku Kedai DBP. Aku akan menghidu bau buku yang aneh. Aku akan menyelak buku-buku yang mempunyai gambar berwarna-warni yang menarik. Akhirnya ibuku terpaksa membayar harga buku tersebut atas desakanku. Kemudian kami bersama-sama pergi ke kedai makan DBP yang aku lihat seperti sebuah gudang di dalam perut kapal.

DBP; Antara bangunan baru dan lama. Antara kenangan dan cita-cita.

Akhirnya kereta Proton Wira kakakku berhenti di tempat meletak kenderaan yang tersedia. Lamunanku terhenti. Mampukah aku menjadi seorang penulis. Aku masih ragu-ragu dengan diriku.

10 Jan 2010

Kesibukan Kembali Membelit Diri

Sekembalinya dari MPR, saya berehat selama tiga hari di rumah kakak sulung saya di Tampin. Sempat saya mengikuti kakak saya yang kedua (datang dari Bangi untuk berlibur di Tampin) menerokai tempat-tempat menarik di Negeri Sembilan. Antaranya adalah Istana Raja Melewar, Negeri Sembilan Crystal, Istana Seri Menanti dan Teratak Za'ba. Dapatlah saya bercuti bersama-sama anak-anak saudara sambil melayan kerenah mereka. Setelah itu saya kembali ke Kedah setelah hampir dua minggu berkursus dan rehat di rumah kakak.

Istana Raja Melewar





Rembau Crystal



Istana Seri Menanti



Teratak Za'ba

Empat hari setelah pulang ke Kedah, saya terpaksa pergi lagi ke Kuala Lumpur pula untuk mengambil ayah saya di Sri Petaling. Dia baru pulang dari kelana imannya dan destinasi kali ini adalah negara kanggaru, Australia. Setelah tidur semalaman di rumah kakak di Tampin, pagi esoknya kami kembali ke Kedah.

Sekembalinya ke Kedah, saya jadi kalut kerana saya perlu mendaftar di kampus UiTM Permatang Pauh. Jadual pula masih belum dicari sedangkan esok kuliah akan bermula. Pada 4 Januari 2010, kuliah di UiTM bermula dan saya kembali sibuk menguruskan nota-nota kuliah, kerja-kerja kursus dan tugasan-tugasan lain.

Saya berasa agak kesal kerana belum mampu mengisi blog ini dengan pos yang baru. Cukupkah dengan sebuah keluhan begini? Sekurang-kurangnya ianya tidak terus lapuk. Saya juga ingin menghantar sajak-sajak saya tetapi masih sedang mengintai, apakah di celah-celah kesibukan ada secebis kelapangan.