Halaman

31 Okt 2009

Rindu Yang Menjengah

12.00 pm, aku sudah bebas dari beban Fizik untuk Kejuruteraan I. Sudah dua kertas aku selesaikan. Kertas yang terhampir pula adalah kertas Prinsip-Prinsip Ajaran Islam. Kertasnya agak ringan dan masanya cukup untuk aku berehat sebentar. Kata orang 'release tension'.

Beban yang tersangkut di pundakku

6.00 pm, aku menghadap komputer riba yang sudah agak lama juga aku tinggalkan. Setelah menyemak kotak mel-e, aku merayau-rayau di laman sesawang pula. Tanpa aku sedari, jari jemariku memetik aksara-aksara lalu membentuk empat kalimat di kotak carian. 'Miftahul Ulum Sri Petaling'. Enjin carian akhirnya membawaku kepada beberapa blog peribadi. Ayat-ayat dan gambar-gambar yang muncul di skrin komputerku menjadi sebuah panggilan bisu. Memanggil kenangan-kenangan... Aku rindu. Aku rindukan detik-detik di sana...

Anda tahu apa Miftahul Ulum?

Miftahul Ulum tempatku membesar. Miftahul Ulum tempatku belajar. Miftahul Ulum, di pinggir bandaraya Metropolitan Kuala Lumpur. Di jantung Bandar Baru Sri Petaling itulah Miftahul Ulum. Bersebelahannya Bukit Jalil. Tempat orang bersukan...

Duduk di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang gila membuatkan Sri Petaling bukan sahaja terkena tempias globalisasi, bahkan segala sampah sarap turut dihanyut arus globalisasi ke sini. Sri Petaling bukan bandar Islam, macam Kota Bharu. Sri Petaling bandar cina, yang tak tahu malu menayang punggung dan aurat mereka yang lain. Bukit Jalil pula tempat bersukan dan berseksi... opps... Tapi di situlah letaknya Madrasah Mifatul Ulum. Madrasah Tahfiz dan Kitab.

Aku mula belajar di sana pada akhir Disember 2001. Ketika itu aku baru habis peperiksaan UPSR. Bermulalah pengajian tahfizku. Aku membaca dan menghafal Quran. Aku belajar tajwid dengan Ustaz Azam dan Ustaz Suhaimi. Aku dipukul dan ditibai. Sampai bulan April 2006, aku menamatkan pengajianku. Aku membawa pulang sijil syahadah dengan keputusan Jaid.

Masjid Bandar Baru Sri Petaling: Tempat letaknya Madrasah Miftahul Ulum

Oktober 2009. Sudah 3 tahun aku meninggalkan bangku madrasah, namun kemarahanku kadang-kadang datang. Sukar aku menerangkan kepada diriku, mengapa aku terlalu memusuhi madrasah yang banyak berjasa padaku. Mungkin aku termakan hati dengan lagak ustaz-ustaznya. Atau aku berdendam dengan pelajarnya. Yang pasti adalah kebencianku membuatkan segala kebaikan madrasah terhijab dariku. Hal ini menambahkan lagi benciku pada madrasah.

Tapi hari ini aku rasa rindu pada Sri Petaling. Pada Miftahul Ulum. Pada bangunannya. Pada pelajarnya. Pada ustaznya. Pada kerenahnya. Mungkinkah sama aku ini seperti lagu yang basah di bibir muda mudi masa ini, 'adakah perasaan benci ini sebenarnya cinta'... Atau mungkin kerana eskapisma, ingin melarikan diri dari dorongan (impulse) fizik akibat kepesatan (momentum) peperiksaan. Sehingga kepalaku dipengaruhi tenaga putaran (torque).

Catatan hujung: Aku tidak mahu memuat turun gambar-gambar madrasahku dari internet. Aku ingin menangkapnya sendiri. Mencerlung ke setiap bucu-bucu yang menggamit memori.

20 Okt 2009

Jadual Dari Tuhan

Irfan berlarian mendapatkan aku. Tangan dihulur dan kami berjabat. Seperti biasa dia menghadiahkan senyumnya padaku.

"Assalamualaikum, apa khabar." Irfan memulakan bicara.

Kami saling bertanya khabar.

Irfan kemudiannya meluahkan kemusykilannya. "Ana serabutlah. Nak periksa ni. Dahlah ana tak dapat istiqomah."

"Apa yang perlu dirungsingkan, bukankah kedua-duanya saling membantu?."

"Memanglah betul, kedua-duanya saling beriringan, tapi beriringan pun susah juga."

"Maksud anta?" Aku sedikit bingung dengan penjelasannya.

"Masalah periksa senang je selesai, ulangkaji selesailah. Masalah nak istiqomah dengan agama ni, macam mana?".

"Ana rasa kalau anta selesaikan salah satu dari dua masalah anta tu insyaallah dua-dua masalah anta selesai." Aku mencadangkan kepadanya.

"Masalah yang mana?"

"Masalah 'Istiqomah dengan agama'."

"Macam mana tu." Irfan semakin teruja.

"Bila kita beristiqomah dengan amal agama, kita tidak akan bersendirian di atas muka bumi ini. Seperti anta sebagai seorang mahasiswa yang baik, selalu tepat masa buat assingment, tak ponteng kelas, hormat lecturer. Lecturer akan sayang anta, cuba tolong anta, akan bagi markah extra untuk budi bahasa anta. Macam tu juga Allah, Dia bukan robot, tapi zat yang maha pengasih, penyayang, lemah lembut. Dia pasti bantu anta, malah lebih lagi dari lecturer anta. bukankah dialah yang memiliki hati lecturer anta?" Aku berhenti seketika memberinya ruang untuk bernafas dan berfikir.

"Misalnya pembahagian sembahyang lima waktu oleh Allah, seorang yang menjaga sembahyangnya tepat pada waktunya sekurang-kurangnya sudah mempunyai jadual waktunya yang tersendiri. Jika dia membahagi 'masa-masa' yang diperoleh dari 'jadual'nya itu kepada dua, bukankah dia sudah mempunyai sepuluh bahagian masa?."

Irfan cuba menghitung aktiviti-aktivitinya dalam jadual harian 'tuhan'. Sengaja Irfan memilih hari cuti agar jadualnya itu tidak bertembung dengan jadual kuliah dan tutorial.

"Haa..." Irfan menunjukkan kepadaku jadualnya.

"Hebat Irfan, anta bijak memanfaatkan 'jadual dari tuhan'."

"Nak buat jadual memang senang tapi nak ikut tu yang susah." Irfan masih mengeluh.

"Itulah, anta perlukan bantuan tuhan untuk mengikuti 'jadual' anta". Tapi ana yakin dengan kemahuan yang menggunung kita pasti boleh melakukannya. Kita cuba dulu, jangan mengalah lagi."

6 Okt 2009

Di Puncak Mazmumah


Di puncak mazmumah ini
merenung diri di pantai usia
yang ditemui
jejak onak duri dosa
mencakar kengerian mimpi
di kelam hari

Kaca-kaca derita terapung di lautan
tak bernilai kerangan
bertahun mengimbau rasa
sedetik usia tidak punya apa-apa
ingin melarikan diri
melupakan daerah ini
belukar api
membatasi

Suasana tidak keruan
seketika angin damai membelai
seketika ombak ganas menghempas

Renungan tak berkesudahan
hanya ketemu wajah kesepian
terbiar diri ditarik badai
hanyut tenggelam
timbul dan tersadai

Leka dek nyanyian ombak menghempas
pasrah menanti sang penyelamat sejati
menghulur simpati
menarik hamba ini
kembali ke pantai damai

Dewan Siswa
November 2008

Air Tangan Ibu


Kontang tangan ibu
air tangannya disejat mentari
disisip bilah-bilah penyapu
bergaul bersama baja di batas.

Kering tangan ibu
air tangannya
sebati dengan santapanku
mengalir dicelah rerambutku
mengalir dalam bulir darahku.

Kini tangan ibu basah kembali
disimbah air mataku
meratap pemergiannya

Kerana air tangan itu
mengalir bersama darahku

Dewan Siswa
September 2008