Halaman

20 Sep 2009

Mesej Raya

Saya percaya, ramai yang sudah kurang mendapat kad raya tahun ini. Jangan bimbang, bukan populariti anda berkurang, bukan juga anda dilupai. Sebenarnya saya pun begitu juga, Cuma tak gelabah je (poyo). Sebenarnya, teknologi telah mengurangkan pendapatan kakak-kakak yang membuat design kad raya. Teknologi yang saya maksudkan adalah SMS. Betulkan. Di bawah ini sebahagian mesej-mesej raya yang saya terima.

Gemersik takbir mengundang hiba,
salam diutus tanda ingatan,
Syawal dinanti menjelma tiba,
salam diutus pohon kemaafan,

BjLn2 dtEpi mUaRa….
dtEpi mUaRa cARi Nak dRa….
nAk AnTaR kAd RayE dAH XdE mASa….
hAnYa SMS pnGaNti BiCaRa….
sLmT HaRI RaYe & MaAf ZaHIRbatiN…

PeLiTa iNdAh LaGi BeRsEri,
MeNjADi HiAsAn D mAlAm HaRi,
Mesej rAyA d HaNtAr PeNgGaNti DiRi,
TaNdA inGaTaN tAk LaYu D hAti,
sELAmAt HaRi RaYa AiDiL fiTri….
MaAf Zahir bAtin….

Masak lemang sambil berdiri,
hendak makan di Aidilfitri,
nak hantar kad raya posmen dah cuti,
SMS sahaja dapat saya beri.
Bukan lupa tradisi tapi ikut teknologi (…)
dr Penghantar & keluarga….
Jemputla ke rumah….B-)

Semoga teknogi SMS dan teknologi-teknologi lain sepertinya terus memberi manfaat kepada umat manusia.

19 Sep 2009

Tauhid: Pegangan Muslim

Perkataan Tauhid berasal dari kata dasar wahada - waahid bererti satu atau esa. Tauhid bererti mengesakan Allah, meyakini bahawa hanya Allah yang layak disembah dan melakukan suruhan dan meninggalkan larangannya. Tauhid terbahagi kepada tiga, Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, dan Tauhid Asma wa al-Sifat.

Tauhid Rububiah
Perkataan Rububiah itu sendiri berasal dari perkataan rab bermaksud mencipta, memiliki, memerintah dan memberi reaeki. Perkataan rab juga boleh merujuk kepada ibu bapa. Bukankah dalam doa kepada ibu bapa, kita ada menyebut 'rabbayani'. Justeru tauhid Rububiah bermaksud meyakini bahawa Allah swt menciptakan kita. Allah juga memelihara serta mendidik kita dan sebagainya. Bahagian tauhid ini juga diyakini oleh penganut agama lain. Firman allah swt:
وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ(٦١
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? (61)

Tauhid Uluhiah
Uluhiah berasal dari perkataan 'illah', sesuatu yang dipuja dan disembah. Bahagian tauhid inilah yang membezakan antara muslim dan musyrik. seorang muslim hanya mengakui Allah swt sebagai zat yang layak disembah.

Tauhid Asma wa al-Sifat
Selain mempunyai tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, seorang muslim juga mesti meyakini Tauhid Asma wa al-Sifat. Tauhid asma wa al-Sifat bererti meyakini 99 nama Allah dan Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan.

(Tulisan ini adalah berdasarkan usrah yang dihadiri penulis pada Khamis, 17 Sept 2009)

15 Sep 2009

Tarawikh oh Tarawikh

Terasa seperti baru semalam menunaikan tarawikh yang pertama, menyuapkan sahur dan berbuka di awal Ramadhan. Lebih kurang seminggu lagi kita akan beraya, ia juga bermakna Ramadhan akan pergi meninggalkan kita seperti tahun-tahun yang lalu. Orang-orang beriman akan merindui bulan yang istimewa ini sedangkan orang-orang yang fasik, sama sahaja bulan ini dengan bulan-bulan yang lain. Ramadhan sangat bererti bagiku, banyak memoir dan kenangan terpahat dalam sanubariku sampai bila-bila, lebih-lebih lagi pengalamanku menjadi imam Solat Tarawikh.

Tahun ini permintaan untuk aku mengimamkan Solat Tarawikh lebih banyak dari tahun-tahun yang sudah. Masjid Pulau Sepom seperti biasa wajib menempah aku awal-awal lagi. Masjid Tikam Batu pula malu-malu merisik aku, masakan tidak, baru tahun lepas mereka menjemput imam Tahfiz mengimami Solat Tarawikh. Apabila aku pulang ke kampus pula, pihak surau kolej sibuk bertanya samaada aku lapang atau tidak. Boleh atau tidak. Mahu atau enggan. Pada minggu yang kedua pula, sepucuk surat biru menambahkan lagi tugasku. Setiap hari Selasa aku perlu mengimami Tarawikh di Pusat Islam, masjid UiTM kampus Pulau Pinang.

Sebenarnya aku ingin membocorkan rahsia para imam tahfiz. Sebenarnya bulan ini juga mereka sama naik dengan Pak Long dan Mak Ngah yang membuka gerai di Bazar Ramadhan. Cumanya mereka bekerja selepas Isyak. Tarawikh boleh memberi kita pendapatan lumayan, kata sebahagian orang 'buat tambah duit poket'. Mana boleh aku nafikan. Sehari aku menjadi imam di Pulau Sepom sahaja aku mendapat RM40. Di Tikam Batu RM50. Jumlahkan semua lebih RM200. Kalau setiap hari aku menjadi imam di sana? 40x25=RM1000. Itu yang selalu dapat. Katanya ada yang dapat sehingga RM3000-RM4000. Mungkin aku rugi sedikit mendengar nasihat ayahku, "tak elok ambil duit atas agama". Terus aku salurkan semua pendapatanku ke saluran yang tidak melibatkan kepentinganku...

Manis-manis buah limau ada masamnya juga. Lemak-lemak buah durian ada kelatnya juga. Kenangan-kenangan yang kelat, pahit dan masam itulah yang sering lekat di ingatanku. Bagaimana aku kelam-kabut mencari doa tarawikh dan witir. Semuanya gara-gara aku tak bersedia lebih awal untuk tarawikh dan malamnya giliranku. Aku juga terpaksa mencega baacaan selawat bilal. Hal ini kerana tiada sebuah musolla pun yang pernah aku sembahyang di sana seragam bacaan selawat dan zikirnya (selepas setiap dua rakaat tarawikh). Tragedi menggerunkan aku pula berlaku setiap minggu... Tertidur ketika manjadi imam.

Sebagai pengajaran kepada diriku sendiri, persediaan awal itu mustahak, untuk menjadi imam yang benar-benar imam (pemimpin). Aku juga perlu rehat yang mencukupi, sebaiknya qoilulatun (tidur sebentar di tengah hari). Harap selepas ini aku tidak jatuh tersungkur lalu digelak makmum.

14 Sep 2009

Selamat Kembali

Bismillahirrahmanirrahim,
Sudah lama aku tidak update blogku... Seperti yang irfankhairy.com katakan, selalunya orang tidak update blog sebab sibuk dan takde idea nak tulis. Benarlah tu. Aku rasa agak sibuk kebelakangan ini, mengendalikan pelajar syahadah di Mahad Tahfiz ayahku. Aku juga sibuk memikirkan persediaan untuk menjejakkan kaki ke UiTM. Namun begitu, frasa yang tepat untuk menggambarkan aku adalah 'tidak pandai mengurus masa'. Alhamdulillah, di atas katil double decker Kolej Mutiara ini aku seperti merasakan yang laman blogku ini memanggil-manggil aku kembali. Hasilnya sebuah penulisan 'selamat kembali'.

Seputar melihat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku...
Aku berjaya mengendalikan pelajar tahfiz ayahku sehingga Quran yang hampir-hampir terlupa diingat semula sebanyak +-10Juzuk. Alhamdulillah, boleh juga aku jadi seorang pengajar tahfiz.

Peristiwa yang mengharukan seterusnya adalah aku dapat masuk UiTM. Yang menariknya, kampus tersebut cuma 30 kilometer dari rumahku. Itulah yang ibuku inginkan, aku sentiasa berdekatan dengannya. Aku kemudian berjaya mendaftar pada 29 Jun sebagai mahasiswa di UiTM kampus Permatang Pauh (Pulau Pinang). Pogram yang aku dapat adalah program Kejuruteraan Elektronik di bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Apa-apapun Alhamdulillah. Jalan untuk aku menjadi seorang jurutera telahpun tersedia, cuma aku mahu bersungguh-sungguh menempuh jalan tersebut, itu terpulang kepadaku... Aku terus mengharap taufik darinya.

Semoga percubaan aku untuk memberi nafas kepada blogku ini berterusan. Aku memohon taufik darinya. Di samping itu, aku juga ingin menjadikan blog ini sebagai gelanggang latihan untukku. Latihan penulisan, pengukuhanku dalam bidang sains (terutama dalam bidang kejuruteraan), mengasah kebolehan literasi (termasuk sastera) dan mendalami ilmu agama. Amin.